SHAH ALAM - Kurang kesedaran dalam kalangan orang ramai terhadap tipu daya sindiket penipuan kewangan merupakan antara punca menyebabkan berlakunya kes kehilangan wang dalam akaun bank. Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), tanggapan orang... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kurang kesedaran dalam kalangan orang ramai terhadap tipu daya sindiket penipuan kewangan merupakan antara punca menyebabkan berlakunya kes kehilangan wang dalam akaun bank.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), tanggapan orang ramai bahawa kes tersebut terjadi kerana kelemahan sistem keselamatan perbankan adalah andaian yang kurang tepat.

"Sindiket penipuan kewangan menggunakan pelbagai kaedah memperdaya mangsa untuk menyerahkan maklumat perbankan sama ada secara sedar atau tidak dengan teknik-teknik yang berbeza.

"Contohnya, sindiket penipuan kewangan mengarahkan mangsa memuat turun fail aplikasi APK (Android Package Kit) yang boleh membaca sistem pesanan ringkas (SMS) tanpa disedari mangsa.

"Selain itu, sindiket-sindiket ini turut menyamar sebagai pihak berkuasa atau bank bagi memancing maklumat perbankan daripada mangsa-mangsa,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Baru-baru ini, tular di media sosial beberapa kes penipuan kewangan melibatkan kehilangan wang yang dihadapi oleh begitu ramai individu yang menjadi mangsa.

Sehubungan itu, BNM dan industri perbankan mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dan melindungi maklumat perbankan daripada dikongsi dengan pihak yang tidak bertanggungjawab.

BNM turut memaklumkan bahawa selain media massa, pihaknya turut menggunakan saluran sosial media rasmi untuk meningkatkan kesedaran orang ramai bagi mengelakkan mereka menjadi keldai akaun di samping mendapat makluman berkenaan kesan bakal dihadapi jika membenarkan pihak lain menggunakan akaun mereka.

Sehubungan itu, usaha meningkatkan kesedaran melalui media sosial oleh BNM turut melibatkan laman-laman Facebook ‘Amaran Scam’ yang berkongsikan maklumat terkini mengenai taktik penipuan dan tips melindungi diri daripada menjadi mangsa.

Klik di sini untuk terus membaca