MULAI 1 Julai, tiada lagi harga kawalan siling untuk ayam dan telur ayam serta subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol. Sudah pasti ramai rakyat berpendapatan rendah akan rasa kesempitan.
Sudah tentu ada yang rasakan kerajaan tidak prihatin, tetapi adakah ini benar-benar salah kerajaan?
Ya kalau kita berbincang pasal kerajaan Rusia. Satu faktor utama kenaikan harga makanan ialah peperangan di Ukraine.
Peperangan ini berlaku semata-mata kerana imperialisme Presiden Putin yang ingin meluaskan wilayah Rusia seperti Tzar (Maharaja) Peter Yang Agung dalam abad ke-18. Secara terus-terang, Putin sendiri mengakui motivasinya pada 9 Jun.
Kerana Ukraine adalah pengeksport utama jagung dan gandum yang menjadi makanan haiwan dan juga minyak bunga matahari, maka, peperangan telah mengganggu bekalan sehingga kos pembelaan ayam dan minyak masak melambung naik di seluruh dunia.
Keadaan menjadi lebih teruk kerana Rusia dihukum oleh Barat dengan sekatan ekonomi. Maka, kerana kezaliman seorang, sedunia menderita.
Selain itu, harga ayam dan minyak juga naik kerana faktor lain seperti wabak ‘selesema ayam’, kemarau di Kanada dan Argentina, kenaikan permintaan untuk biofuel dan kenaikan ‘misteri’ harga minyak sawit di Indonesia.
Sejauh mana kerajaan Malaysia juga harus bertanggungjawab?
Daripada satu segi, kerajaan-kerajaan dari dahulu sampai sekarang semua bertanggungjawab kerana tidak mementingkan ‘keselamatan makanan’, yakni kecukupan bekalan makanan.
Daripada segi yang lain, tiada negara yang terselamat dan tiada kerajaan dapat bertahan dengan subsidi atau kawalan harga untuk jangka panjang. Sehingga Putin sedia berhenti perang atau dikalahkan, kita perlu sedia menghadapi kenaikan harga makanan.
Persoalan yang penting, apabila rakyat kebanyakan terpaksa mengikat perut, adakah kerajaan dan penjawat-penjawat tinggi juga akan mengikat perut?
Ini yang berlaku di New Zealand semasa wabak Covid-19 melanda. Dari April ke September 2020, Perdana Menteri Jacinda Adern, menteri-menteri, Ketua Pembangkang dan ketua-ketua agensi kerajaan memotong gaji sebanyak 20 peratus.
Potongan 20 peratus beberapa puluh orang pegawai tinggi tidaklah besar bila dibahagikan untuk lima juta rakyat New Zealand.
Yang besar adalah semangat kekitaan atau solidariti, yang pemerintah sedia timbul tenggelam bersama rakyat.
Selalu yang menyakitkan hati rakyat bukan kekurangan, tetapi ketidaksamarataan.
Semasa pandemik, kita sudah lihat pelbagai ragam ‘dua darjat’. Kesalahan yang sama, satu undang-undang untuk rakyat kebanyakan, satu undang-undang untuk golongan kayangan.
Dua minggu yang lepas, kita baru tahu daripada perbicaraan Najib Razak bahawa gaji RM29,125 sebulan (untuk Ketua Setiausaha Negara ketika itu Tan Sri Mohd Sidek Hassan) dikira terlalu kecil, sehingga perlunya satu lagi gaji tambahan RM30,000 sebagai penasihat 1MDB untuk tidak berbuat apa-apa.
Kalau kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ingin rakyat menerima potongan subsidi dengan lebih kesabaran, maka tolong umumkan potongan gaji dan elaun gaji menteri-menteri serta penjawat-penjawat tinggi untuk enam bulan bermula pada 1 Julai juga, seperti apa Jacinda Adern lakukan di New Zealand.
Ini barulah semangat sekeluarga di mana ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’.
* Prof Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen
Klik di sini untuk terus membaca