SHAH ALAM - Pakar-pakar ekonomi mempunyai pandangan berbeza mengenai bantuan tunai yang diberikan kerajaan kepada rakyat ketika ini. Ini kerana rakyat kini berdepan kenaikan mendadak harga barangan asas, ditambah dengan langkah kerajaan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pakar-pakar ekonomi mempunyai pandangan berbeza mengenai bantuan tunai yang diberikan kerajaan kepada rakyat ketika ini.

Ini kerana rakyat kini berdepan kenaikan mendadak harga barangan asas, ditambah dengan langkah kerajaan menarik semula pemberian beberapa subsidi.

Pakar Ekonomi daripada Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, meskipun kerajaan mengumumkan penambahan bantuan RM50 dan RM100 kepada penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), jumlah itu sebenarnya masih tidak cukup untuk menampung beban kos sara hidup rakyat.

Justeru, katanya, kerajaan perlu melaksanakan sistem perlindungan sosial jangka panjang seperti mewujudkan satu tabung endowmen melalui sistem wakaf.

"Sebanyak 50 peratus kumpulan pekerja di Malaysia mempunyai pendapatan kurang RM2,000, sedangkan kos sara hidup adalah RM2,500 minimum untuk satu keluarga, memang tidak cukup untuk menyara hidup.

"Jadi, kita memerlukan sistem perlindungan sosial untuk mengambil kira 50 peratus kumpulan pekerja ini, kumpulan yang bekerja sendiri, bujang dan yang tidak bekerja.

"Kerajaan harus memulakan inisiatif ini. Walaupun kita di bawah sistem ekonomi bebas, tetapi ia patut dimulakan dan kemudian bawa sektor swasta untuk bersama membantu,” katanya kepada Sinar Harian.

Barjoyai

Menurutnya, kerajaan boleh meminta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat persendirian untuk mencarum dengan pemberian insentif cukai dalam bentuk rebat atau potongan cukai.

Penganalisis Ekonomi daripada Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Profesor Madya Dr Baharom Abdul Hamid bagaimanapun berkata, peruntukan kerajaan sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung rakyat.

"Mungkin jumlah ini nampak kecil, tetapi untuk mereka yang berada dalam kalangan yang benar-benar memerlukan, ia amat membantu.

"Tetapi kerajaan harus memainkan peranan memastikan harga barangan tidak berterusan meningkat, jika tidak, sumbangan ini akan kurang bermakna,” ujarnya.

Beliau turut menyarankan agar kerajaan menyediakan ruang untuk rakyat menambah pendapatan seperti melaksanakan inisiatif pertanian bandar, serta menjalani latihan kemahiran yang boleh memberi pulangan dan peluang perniagaan.

Jelasnya, pertanian bandar boleh dilakukan menggunakan teknologi menanam sayur dan menternak ikan menggunakan urban kit yang kecil, boleh diletakkan di balkoni atau depan rumah.

"Ini dijangka mampu meringankan beban kos kewangan belanja dapur, tidak perlu kemahiran dan tidak mengganggu pekerjaan seharian,” katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, masyarakat sendiri perlu bijak mengurus bantuan wang yang diberikan agar berlaku nilai tambah terhadap duit tersebut.

"Contohnya, duit yang diterima dijadikan modal pemula untuk perniagaan kecil-kecilan seperti menjual air minuman sewaktu pelajar sekolah pulang atau di depan kilang yang mempunyai ramai pekerja.

"Dalam erti kata lain, masyarakat yang menerima bantuan perlu bijak menguruskan wang agar mencukupi dan bukan bermewah-mewah,” ujarnya.

Sementara itu, seorang peniaga trak makanan, Mohd Ibrahim Abdullah, 65, berkata, dia gagahkan diri keluar mencari rezeki disebabkan tiada wang pencen selain tidak mahu menyusahkan anak-anak yang telah berkeluarga.

"Sebenarnya saya sudah tidak larat, namun terpaksa juga keluar bekerja untuk cari makan,” katanya yang berniaga minuman soya di Jalan Datuk Senu, Sentul, Kuala Lumpur.

Menurutnya, seawal jam 3 pagi dia sudah bangun untuk menyiapkan jualan air soya dan tau fu fa sebelum memulakan perniagaan dari jam 10 pagi hingga 4 petang.

"Pendapatan sehari sekitar RM60 tetapi selepas ditolak kos barangan dan modal, dapat untung RM30.

"Wang itu yang saya gunakan untuk makan dan jika ada lebih akan disimpan untuk waktu kecemasan,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, kenaikan harga barangan kebelakangan ini turut memberi kesan kepadanya namun dia masih mengekalkan harga minuman RM2 bagi setiap cawan kerana tidak mahu menekan pelanggan.

"Saya harap kerajaan bantu rakyat yang tengah susah, setidaknya kawal harga barang, kalau semua mahal macam mana mahu hidup,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca