PENDEDAHAN seorang Ketua Polis negeri betapa Macau Scam pernah cuba memperdaya beliau membuktikan sindiket berkenaan tidak pernah kenal erti takut atau gentarkan pihak berkuasa.
Senario tersebut membuatkan penulis tertanya-tanya setakat manakah kumpulan sindiket Macau Scam memiliki pengetahuan atau data untuk menipu insan yang tidak berdosa. Penulis difahamkan lebih 5,500 kes penipuan Macau Scam melibatkan kerugian lebih RM320 juta direkodkan sehingga 2019.
Pertanyaan tersebut terjawab apabila penulis menerima 'panggilan istimewa’ daripada kumpulan Macau Scam Jumaat lalu sekitar jam 9.30 pagi. Memperkenalkan diri sebagai Muhammad Amirul Aiman,
Ketua Pegawai Operasi Cukai Bahagian Operasi Cukai Ibu Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cyberjaya, anggota Macau Scam itu meminta penulis membuat pengesahan Mykad terlebih dahulu.
Berasa agak ragu dengan cara pegawai berkenaan, penulis bertanya apakah tujuan panggilan itu dibuat. `Pegawai LHDN’ berkenaan mendakwa penulis mempunyai cukai syarikat tertunggak lebih 15 bulan berjumlah RM36,000 atas nama syarikat Azaj Enterprise (syarikat pembekal peralatan pembinaan) beralamat di No 11, Lorong Guar Perahu 41, Taman Guar Perahu, Bukit Mertajam 14400, Seberang Perai, Pulau Pinang dengan pendaftaran syarikat AS0147267-W. Surat tagihan cukai dikeluarkan pada 10 Disember 2020.
Masih terngiang-ngiang di telinga penulis kata-kata tegas beliau: "Encik perlu bayar RM36,000 sebelum jam 5 petang hari ini. Kalau tak, Encik akan ditangkap dan dikenakan tindakan undang-undang”. Menyedari kemungkinan ia ada berkaitan dengan kumpulan Macau Scam, penulis membalas ulasan pegawai LHDN itu dengan nada penuh kegusaran.
Malah, penulis menyatakan tidak mempunyai syarikat atas nama Azaj Enterprise.
'Pegawai LHDN’ itu terus mengasak penulis dan menyatakan ada kemungkinan pernah hilang kad pengenalan. Seterusnya beliau berpura-pura cuba membantu penulis untuk berhubung dengan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang menggunakan ‘talian rahsia’. Beliau mendakwa mempunyai kenalan rapat di IPK Pulau Pinang.
Penulis diarahkan membuat laporan polis termasuk untuk dihantar kepada Mahkamah Majistret Pulau Pinang dan Bank Negara kononnya bagi melindungi akaun peribadi di bank. Penulis kemudian disambungkan oleh `Pegawai LHDN’ tersebut untuk berbicara dengan `Inspektor Shahrul’. Selepas berbual beberapa minit, penulis disambungkan lagi kepada ‘Inspektor Khairul’ di IPK Bukit Aman.
Menggemparkan apabila beliau mendakwa penulis terlibat dengan kegiatan ‘pengubahan wang haram’ dan ‘pengedaran dadah’. Penulis berpura-pura dan berkata: "Saya cuma seorang pensyarah di sebuah universiti tempatan sahaja.” ‘Inspektor Khairul’ mendakwa penulis bersubahat dengan penjenayah tegar bernama ‘Tan Bon Kit’, 45 tahun, tinggi 175 sentimeter, berkepala botak yang ditahan bulan lalu atas tuduhan tuduhan mengedar dadah seberat 90 kilogram dan turut terlibat pengubahan wang haram.
‘Inspektor Khairul’ mendakwa ‘Tan Bon Kit’ memaklum penulis menerima upah RM250,000 sebulan melalui akaun ‘Public Bank Cawangan Pulau Pinang’. Penulis kemudian segera memutuskan panggilan berkenaan. Kumpulan Macau Scam tidak berputus asa menelefon penulis menggunakan nombor 8904 222 1522 sebanyak lebih 10 kali.
Insiden berkenaan membuatkan penulis terpinga-pinga dengan senario tersebut. Ternyata kumpulan Macam Scam mempunyai rangkaian maklumat dan data yang canggih untuk memperdaya mangsa. Sebenarnya, ALLAH SWT telahpun memberi peringatan kepada manusia supaya berwaspada dengan penipuan seumpama itu menerusi Surah al-Furqaan ayat [25:41-44].
Apa yang berlaku kepada penulis boleh terjadi kepada insan yang kurang peka dengan perkembangan semasa. Mereka terus mempercayai dakwaan kumpulan Macau Scam dan akhirnya mendedahkan nombor Mykad, akaun peribadi dan kata laluan bank. Akibatnya wang disimpan dalam akaun lesap tanpa disedari.
Penulis dimaklumkan LHDN tidak pernah membuat panggilan terus kepada pelanggan atau pembayar cukai. Penulis berharap orang ramai lebih peka kepada penipuan sindiket Macau Scam. Jangan dedahkan butiran peribadi dan perbankan terutamanya kata laluan atau cuba untuk melayari pautan diterima melalui e-mail meragukan. Penulis juga ingin menasihatkan orang ramai agar melakukan urusan cukai di pejabat LHDN. Cuba bersikap pro-aktif dengan menyemak rangka kerja pungutan cukai atau audit cukai menerusi portal rasmi LHDN (www.hasil.gov.my).
Kesimpulannya, penulis ingin berpesan kepada masyarakat supaya tidak sekali-kali melayan panggilan yang tidak dikenali. Terus letak panggilan telefon sekiranya berasa ragu-ragu dengan dakwaan tidak masuk akal.
Klik di sini untuk terus membaca