WALAUPUN kerajaan masih mengekalkan subsidi minyak masak peket untuk keperluan rakyat Malaysia, isu minyak masak tetap menjadi topik hangat ketika ini apabila kerajaan mengumumkan bahawa subsidi keperluan dapur itu tidak diteruskan bermula... Klik di sini untuk terus membaca

WALAUPUN kerajaan masih mengekalkan subsidi minyak masak peket untuk keperluan rakyat Malaysia, isu minyak masak tetap menjadi topik hangat ketika ini apabila kerajaan mengumumkan bahawa subsidi keperluan dapur itu tidak diteruskan bermula 1 Julai ini.

Oleh itu, harga minyak masak botol satu hingga lima kilogram dijangka mengalami peningkatan di pasaran. Saya pun tidak pasti berapa harganya selepas ini kerana dengan suntikan subsidi pun harga bagi lima kilogram sudah ada yang mencecah RM50.

Saya adalah antara pengguna minyak masak dalam botol dan sudah melalui fasa berperingkat kenaikan harga barang itu daripada ia berharga RM13 sekilogram (kg) hinggalah mencecah kepada harga semasa ketika ini.

Seperti semua maklum, kenaikan harga minyak masak berlaku disebabkan kenaikan harga sawit dunia pada masa ini kesan selepas pandemik Covid-19, perang Ukraine-Rusia dan kenaikan harga minyak kacang soya.

Disebabkan kesan-kesan rantaian berkenaan, golongan peneroka Felda yang menanam kelapa sawit dan pemilik ladang boleh tersenyum lebar kerana tanaman itu kini menjadi amat berharga.

Jika sebelum ini peneroka Felda terpaksa bergantung kepada elaun sara hidup, kini boleh dikatakan hidup mewah apabila pendapatan sudah mencecah puluhan ribu ringgit setiap bulan.

Siapa sangka, tanaman yang dulu berdepan dengan pelbagai kekangan, cabaran dan sekatan oleh negara luar seperti Amerika Syarikat (AS), akan menjadi tanaman yang bernilai pada masa sekarang.

Apabila berlaku keadaan seperti ini, saya mula teringatkan zaman kanak-kanak di mana banyak pokok-pokok yang ada di sekeliling rumah pada masa itu dilihat tidak berharga tapi kini amat tinggi nilainya.

Pertamanya buah durian belanda yang dulunya tiada siapa yang pedulikannya, jatuh gugur di keliling pokok dilihat tidak bernilai.

Kini, buah durian belanda berdasarkan harga pasaran boleh mencecah RM26 sekilogram.

Begitu juga dengan durian kampung yang dulunya biasa-biasa sahaja tetapi kini ada yang menjualnya RM10 sekilogram.

Tidak terkecuali buah cempedak yang sebelum ini hanya gugur dan busuk di kaki pokok menjadi makanan lembu berubah menjadi buah-buahan yang amat berharga.

Banyak lagi buah-buahan dan tanaman yang dulunya dipandang rendah kini makin tinggi harganya.

Pada masa sama kita tidak tahu apa akan berlaku pada masa depan apakah pokok atau tanaman yang boleh menjadi lebih berharga daripada 'emas'.

Mungkin ada yang boleh membuat jangkaan atau telahan, tetapi tiada siapa yang mampu mengesahkan tanaman apa yang boleh memberikan pulangan lumayan.

Namun, di sebalik semua tanaman itu, bagi saya satu tanaman yang masih berada di takuk lama ialah getah.

Walaupun produk akhir bagi getah banyak digunakan seperti tayar dan sarung tangan, harga getah di peringkat penoreh masih rendah.

Penoreh getah rata-ratanya masih hidup di bawah garis kemiskinan kerana pendapatan yang tidak menentu hasil menoreh getah.

Jika musim hujan, sudah pasti getah tidak dapat ditoreh kerana keadaan pokok yang basah, manakala jika panas berpanjangan atau kemarau ada halangan seperti daun luruh dan jumlah susu yang sedikit.

Ketika ini jika ada pemilik kebun getah yang mahu mengupah buruh untuk menoreh getah juga pasti menghadapi kesukaran kerana tiada yang berminat kerana upah dan hasil yang rendah.

Mengikut harga semasa semalam, harga sekilogram getah sekerap tidak sampai RM3 dan dalam situasi kenaikan harga barang dan bebanan kos sara hidup, ia adalah rendah.

Klik di sini untuk terus membaca