SHAH ALAM - Isu ketiadaan ‘nakhoda baharu’ yang bakal menerajui Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebelum penghujung tahun ini, berpotensi menyebabkan agensi kerajaan itu berdepan pelbagai masalah operasi termasuk dilema perlucutan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Isu ketiadaan ‘nakhoda baharu’ yang bakal menerajui Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebelum penghujung tahun ini, berpotensi menyebabkan agensi kerajaan itu berdepan pelbagai masalah operasi termasuk dilema perlucutan lesen senjata api bagi tujuan penguatkuasaan.

Sumber jabatan itu memberitahu Sinar Premium, hal ini berdasarkan kolum Perintah Tetap Penguatkuasaan Bil 3 Senjata Api dan Peluru/Amunisi, di mana pemilikan lesen senjata api dikeluarkan Polis Diraja Malaysia atau lebih dikenali lesen A kepada pegawai penguat kuasa kastam di seluruh negara, hanya dikeluarkan atas nama Ketua Pengarah JKDM semata-mata.

Jelas beliau, kuasa pemberian lesen kepada Ketua Pengarah JKDM juga adalah selaras dengan peruntukan Seksyen 4 (2) Akta Senjata 1960.

"Justeru, apabila tarikh lesen A dijangka tamat hujung bulan Jun ini, timbul tanda-tanya sama ada pemilikan lesen A berkenaan bakal terlucut sekiranya kerajaan termasuk Kementerian Kewangan (MOF) masih gagal melantik Ketua Pengarah JKDM baharu dengan segera.

"Selain isu besar melibatkan lesen senjata api, ketiadaan seorang Ketua Pengarah JKDM baharu sejak lebih dua bulan lalu juga ternyata memberi implikasi besar terhadap kelancaran operasi jabatan terutama melibatkan keputusan dasar,” ujar sumber berkenaan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas teka-teki siapakah individu yang bakal mengisi jawatan penting sebagai Ketua Pengarah JKDM yang masih tidak terjawab walaupun jawatan nombor satu agensi di bawah MOF itu sudah kosong sejak tiga bulan lalu.

Agak mengejutkan, Sinar Premium turut difahamkan kastam berdepan masalah ketiadaan pemangku bagi jawatan Ketua Pengarah susulan jawatan nombor dua iaitu Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) juga kosong berikutan penyandangnya, Datuk Abdul Wahabi Abdullah bersara wajib Februari lalu.

Sebagai rujukan, jawatan nombor satu agensi berkenaan mula kosong pada 24 Mac lalu selepas penyandangnya, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir bersara wajib.

Sinar Premium difahamkan, antara implikasi lain yang ditanggung kastam sekiranya polemik kekosongan jawatan Ketua Pengarah berlarutan adalah isu pertukaran dan pemangkuan kenaikan pangkat pegawai, proses tuntutan elaun perjalanan anggota serta urusan percukaian antaranya Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) terjejas.

"Ketiadaan seorang Ketua Pengarah JKDM pastinya akan menyukarkan usaha pembayar cukai untuk memohon rayuan penangguhan, pengurangan atau rebat pembayaran cukai SST.

"Hal ini kerana kebanyakan Akta JKDM memang melibatkan kuasa Ketua Pengarah terutama dalam urusan pencukaian SST,” tegas sumber itu lagi.

Setakat ini, Sinar Premium dimaklumkan terdapat tiga nama yang sedang dipertimbangkan bagi mengisi kekosongan jawatan berkenaan.

Tiga individu berkenaan juga merupakan tiga pegawai tertinggi kastam yang memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah Kastam untuk tiga bahagian berbeza iaitu Pengurusan, Perkastaman dan Cukai Dalam Negeri serta Penguatkuasaan dan Pematuhan.

"Di antara nama-nama yang disebut-sebut bakal mengisi jawatan Ketua Pengarah JKDM ialah Datuk Mohd Yunus Charlie Charington yang kini memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah Kastam.

"Berusia 60 tahun, anak jati Sandakan, Sabah itu mempunyai latar belakang memberangsangkan sebagai seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang pernah bertugas di beberapa kementerian lain seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengangkutan,” ujar sumber berkenaan.

Bagaimanapun, nama Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Zazuli Johan juga tidak boleh diketepikan susulan beliau merupakan salah seorang pegawai tertinggi yang termaktub di bawah skim perjawatan kastam.

Berpengalaman mengendalikan sistem percukaian cukai barang dan perkhidmatan (GST) sewaktu pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ia dimansuhkan, Zazuli juga dianggap pegawai paling senior dalam hierarki kastam.

"Dengan kerajaan difahamkan sedang mempertimbangkan pelaksanaan semula cukai kepenggunaan ala-ala GST, pemilihan Zazuli mungkin dianggap bersesuaian susulan pengalaman beliau dalam mengendalikan sistem GST sebelum ini,” kata sumber itu lagi.

Selain kedua-dua pegawai berkenaan, individu ketiga yang difahamkan dalam pertimbangan kerajaan adalah Datuk Abdullah Jaapar yang kini Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan).

Sumber sama memaklumkan, nama mereka yang disebut mengisi jawatan itu juga sudah dipanjangkan kepada Pejabat Perdana Menteri namun pelantikan berkenaan tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong.

"Terdapat juga kemungkinan bahawa jawatan nombor satu itu diisi orang luar dari JKDM yang kini memimpin agensi penguatkuasaan lain.

"Bagaimanapun, saya difahamkan Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia dan Persatuan Pegawai Kanan Kastam Malaysia sudah mengemukakan permohonan kepada Pejabat Perdana Menteri agar lantikan Ketua Pengarah JKDM baharu harus dipilih dalam kalangan anggota jabatan itu sendiri,” tambah sumber berkenaan.

Klik di sini untuk terus membaca