[WAWANCARA] Bakal menginjak usia 70 tahun, bintang rock legenda, Datuk Ramli Sarip menyifatkan tiada tempoh persaraan memandangkan muzik adalah kehidupannya.
Berbekalkan vokal serak-serak basah, Ramli yang turut dikenali dengan gelaran ‘Papa Rock’ sudah berjuang dalam bidang seni muzik selama hampir lima dekad dan bersyukur dengan pinjaman bakat serta suara diberikan daripada Ilahi.
Dalam program wawancara Bersama Johan Jaaffar, Ramli berkongsi kisah permulaannya sebagai penyanyi kumpulan Sweet Charity serta perjalanan kerjaya secara solo sehingga ‘meletup’ dengan lagu-lagu hit seperti Bukan Kerana Nama dan Syair Timur.
Beliau turut berkongsi pegangan untuk berjaya sebagaimana yang dikecapi sekarang iaitu beroleh restu ibu bapa, menjaga waktu, menghormati keadaan dan kenal tentang tema persembahan.
Banyak lagi rahsia yang dikongsi Ramli ketika dalam temu bual yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar di Shah Alam pada Rabu.
JOHAN: Salah satu keunikan Datuk adalah kerana suara, pelbagai teori orang kata tentang suara. Ramai katakan ini adalah anugerah yang diberikan langsung. Adakah sepanjang masa suara sekarang adalah suara serak seperti itu?
RAMLI: Seingat saya, pada awal tahun 70-an, suara saya agak tipis, serak itu ada tetapi tidak begitu serak. Ketika ingin membuat rakaman, ada juga pengkritik daripada majalah-majalah mengatakan saya belum layak menjadi artis rakaman sebab suara serak. Jadi, penerbit suruh saya minum air sampai perut kembung untuk melicinkan (suara) itu. Saya cuba juga, tetapi ketika itu era Woodstock, The Flower Power dan muzik psikedelik sudah bermula. Di situ saya lihat dan dengar kenapa Rod Stewart, Joe Cocker dan lain-lain boleh jadi popular, suara mereka tidaklah merdu sangat. Tetapi, apa yang (mereka) ada ialah rasa, jadi saya yakin akan diterima satu hari nanti.
Ini ialah suara yang dipanggil soulful atau datang daripada jiwa. Pada pandangan Datuk, apa kaitannya suara dengan jiwa?
Selain daripada anugerah, ia adalah satu pemberian yang apabila saya lontar, nyanyi dan luahkan, saya tidak memikirkan tentang sama ada orang suka atau tidak. Saya buat persembahan, bukan buat pertunjukan. Dari zaman mula main (buat persembahan) di kenduri orang kahwin dahulu, saya sudah melatih diri untuk memberi, buat sahaja dan jangan fikir sangat orang nak puji atau tidak. Ia memang satu perkara yang agak lain pada ketika itu kerana semua orang ingin dipuji dan diminati. Tetapi ketika itu saya tidak terlalu nak ke arah itu.
Tidak ramai tahu kumpulan yang Datuk mula aktif kemudian mencipta nama iaitu Sweet Charity bermula dengan nama Funky Jewel.
Jewels dulu adalah satu grup instrumental daripada United Kingdom (UK) yang popular. Nama kumpulan tersebut juga Jewels. Tetapi, kita tidak ada nama lain yang nak digunakan dan pengurus sambilan suruh guna nama Funky Jewel, kita pun tidak tahu makna sebenarnya. Selepas dah agak kukuh, barulah tukar kepada nama Sweet Charity.
Ramai yang mengatakan penyanyi tidak boleh bertahan lama, tetapi Datuk sudah lebih 50 tahun dalam dunia seni ini. Apakah rahsianya?
Rezeki.
Sweet Charity bermula pada awal tahun 60-an iaitu selepas gelombang pop yeh yeh. Kemudian kumpulan ini disebut sebagai ignited rock explosion yang meledakkan revolusi rock di Malaysia dan Singapura pada ketika itu. Apakah beza antara Sweet Charity dengan kumpulan-kumpulan lain pada masa itu?
Kita ada satu chemistry yang saya jarang nampak sekarang yang mana ketika itu, misalnya pada era Woodstock, Deep Purple dan Santana, mereka menggunakan alatan gitar dan papan nada sebagai antara instrumen penting di mana mereka padankan gitar solo dan papan nada solo. Jadi Sweet Charity ada benda itu. Saya tidak nampak kumpulan-kumpulan sekarang yang ada benda itu, mungkin mereka dipengaruhi oleh era tahun 80-an, maknanya waktu Scorpion, Iron Maiden menggunakan gitar sebagai (instrumen) yang mudah dikendalikan.
Mencari pemain papan nada yang boleh buat persembahan dengan sangat baik tidak banyak. Perlu ada kemahiran tinggi untuk memainkan papan nada yang bagus terutamanya lagu-lagu daripada kumpulan Deep Purple dan Santana, ia ada satu ton yang berbeza. Kita dengan album pertama Sweet Charity hinggalah ke album (bertajuk) Berita Gempa, ada (elemen) gitar dan papan nada yang turut memainkan peranan selain daripada lagu itu sendiri.
Sweet Charity bermula daripada kawan-kawan kampung, jadi bagaimana timbulnya idea untuk menubuhkan kumpulan ini?
Kami (berkawan) dari sekolah di mana setiap tahun kita akan adakan konsert. Rakan saya, Joe Salim (gitar) bersekolah di tempat lain, manakala saya dan Rahman Sarbani (dram) di sekolah lain. Kita bermula setelah dapat gitar patah yang dibuang. Kami kutip bawa pulang dan gunakan wayar brek basikal. Kami buka (wayar brek basikal) sampai tangan luka, kemudian kita tune. Itulah permulaan kami.
Kawan saya juga dapat bekerja di sebuah syarikat di bandar pada tahun 1970, dia yang maklumkan ada satu tempat nak pakai kumpulan dan ajak kami cuba. Ketika itu, saya tidak fikir sangat tentang gaji atau berapa jauh kita nak pergi. Saya tidak tahu apa yang menggalakkan kami, tetapi ada perkara yang mendorong ke situ. Kami juga tidak pernah rasa yang kita akan tengok benda-benda yang ganas, kebanyakan (penyanyi) yang datang ke situ semuanya berkelas. Jadi, kami yang datang dari kampung tengok (suasana itu) agak menakutkan. Tetapi, Alhamdulillah sebab kita dari kampung, banyak kumpulan yang membekalkan kami pengaruh budaya termasuk agama. Jadi, di sini kami dapat seimbangkan.
Siapakah penyanyi dari Barat atau lain-lain yang banyak mempengaruhi Datuk?
Walaupun bukan seorang pemain gitar, saya sangat terpanggil dengan gitaris yang ada jiwa seperti Carlos Santana dan Jimmy Page, penyanyi pula saya meminati Rod Stewart, Joe Cocker dan Ian Gillan.
Saya belajar daripada semua gerak langkah tersebut bukan daripada televisyen dan video. Ketika itu hanya di pangkalan tentera laut sahaja yang ada majalah yang diimport dari UK. Jadi, dari situ saya tengok, baca dan tiru cara pergerakan mereka melalui gambar. Saya terapkannya dalam persembahan dan kehidupan.
Bagaimana jolokan Papa Rock muncul?
Tidak silap saya, cucu Datuk Khadijah Ibrahim yang memulakannya. Apabila ada persembahan, Khadijah dan keluarganya tidak tahu nak panggil apa, jadi (mereka) kata panggil Papa Rock sajalah, lekat jolokan tersebut sehingga sekarang.
Sweet Charity bermula pada tahun 80-an, tetapi impaknya masih diingati sehingga sekarang, sehinggakan rekod album dan kaset menjadi bahan koleksi. Apa rahsianya?
Momen, sebab nak cari lagi seperti kumpulan Sweet Charity agak susah. Mereka adalah satu kumpulan yang ikut apa kita nak buat terutamanya apabila saya syorkan sesuatu, mereka tidak banyak membangkang, mereka ke arah itu. Hanya ketika kita di persimpangan jalan, perkara itu berubah, sebab kita dah tahu tidak boleh cari lagi rezeki kerana muzik berubah, keadaan peminat berubah. Muzik, band dan imej baharu keluar.
Datuk bergerak secara solo pada tahun 1986, tetapi adakah perpecahan bersama Sweet Charity itu secara baik atau ada konflik?
Saya tidak pernah mengatakan Sweet Charity berpecah. Saya hanya memberitahu mereka kita dah ada di satu persimpangan. Saya ingat lagi dulu di Singapura, kita kena ‘bekukan’ kumpulan ini, tidak semestinya berpecah dan buatlah hala tuju yang kamu mahukan, jika kamu rasa ada bakat dan nak bawa kumpulan ini, silakan.
Saya pun tidak tahu ke mana mahu pergi sebenarnya. Tetapi ada sesuatu perkara yang saya rasa nak buat sebagai Ramli Sarip. Sebenarnya saya tidak tinggalkan. Sampai sekarang pun, jika saya diundang buat persembahan, kita adakan Konsert Sejuta Wajah yang agak besar di Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada 1996. Kemudian kita ada Hari Bapa, Sweet Charity Bagaikan Bermimpi.
Datuk menyatakan bergerak solo itu satu keputusan yang menakutkan. Kenapa?
Sebab saya tidak tahu menerbitkan (lagu). Buat lagu dan main gitar pun ala kadar. Tapi tahu arah yang saya nak. Saya akan cari Ramli Sarip. Bila pilih lagu, ada yang saya ambil lagu daripada penyanyi lain, tetapi saya masukkan arah yang diinginkan termasuk gubahan sendiri.
Tetapi apabila syarikat rakaman syorkan saya buat album solo dan akan bantu serta sokong saya, jadi saya ingat benda itu sampai sekarang. Saya hanya gunakan waktu rakaman 96 jam sahaja kalau dibandingkan dengan artis atau kumpulan (lain) lebih banyak. Saya cuba jadikan itu satu aset, kerja dan amanah yang saya rasa tidak boleh buang duit syarikat kerana jika kita banyak gunakan masa, banyaklah duit royalti yang akan kena potong.
Datuk pernah menyanyi dengan KiaiKanjeng, kumpulan gamelan dari Indonesia yang terkenal dengan memainkan lagu-lagu spiritual pimpinan Emha Ainun Nadjib atau Cak Nun. Mereka mengagumi suara Datuk dan menyifatkannya anugerah Ilahi. Ada Datuk rasa, pengalaman bekerja dengan kumpulan seperti ini?
Mereka mempunyai satu konsep yang besar dan tersendiri, lebih kepada festival. Kadangkala, di situlah kita kena terapkan seorang penyampai, bukan penyanyi sahaja yang boleh bawanya ke peringkat lebih tinggi. Nak meninggalkan kesan itu bukan boleh dibuat-buat, ada atau tak ada. Kena atau tak kena.