CARA Thailand atasi krisis kos hidup Krisis kenaikan harga barangan disebabkan peningkatan harga minyak mentah di pasaran dunia menyebabkan kerajaan Thailand mengumumkan lapan langkah untuk mengurangkan kesan yang dihadapi oleh rakyatnya.... Klik di sini untuk terus membaca

CARA Thailand atasi krisis kos hidup Krisis kenaikan harga barangan disebabkan peningkatan harga minyak mentah di pasaran dunia menyebabkan kerajaan Thailand mengumumkan lapan langkah untuk mengurangkan kesan yang dihadapi oleh rakyatnya.

Lapan langkah itu diumumkan oleh Perdana Menteri negara itu, Prayut Chan-o-cha pada Selasa lalu dan akan berkuat kuasa pada 1 Julai sehingga September depan.

Sebelum ini, kerajaan Thailand turut mengumumkan langkah-langkah bagi mengurangkan kesusahan penduduknya yang terpaksa menanggung kenaikan kos sara hidup berikutan peningkatan harga minyak akibat Perang Ukraine.

Antara langkah yang diperkenalkan pada Selasa lalu dan akan dikuatkasan mulai bulan depan itu merangkumi pemberian subsidi gas memasak 100 baht (RM12.41) secara bulanan untuk peniaga jalanan dan pemegang kad kebajikan antara Julai hingga September depan.

Pemandu teksi juga akan mendapat diskaun harga gas asli untuk kenderaan (NGV) sebanyak 13.62 baht (RM1.69) sekilogram untuk pemandu sehingga 15 September depan.

Subsidi petrol sebanyak 250 baht (RM31.03) secara bulanan untuk pemandu teksi motosikal turut diberikan dan kilang penapisan minyak diminta menyumbang 8 bilion baht (RM992,814,603) sebulan daripada margin penapisan kepada Dana Bahan Api Minyak selama tiga bulan.

Kerajaan yang berhasrat untuk merangsang industri pelancongan bertindak membenarkan syarikat-syarikat menuntut pelepasan cukai ke atas perbelanjaan dari 15 Julai hingga 31 Disember selain meminta rakyat, perniagaan dan sektor pengangkutan untuk menjimatkan penggunaan tenaga.

Langkah-langkah baharu itu diperkenalkan selepas kerajaan Thailand memperkenakan 10 langkah lain bagi mengurangkan tekanan rakyatnya menghadapi kenaikan harga minyak di pasaran.

Ia turut merangkumi diskaun pembelian minyak masak selama sebulan untuk peniaga jalanan yang memegang kad kebajikan dan meningkatkan subsidi tambahan selama tiga bulan kepada 3.6 juta pemegang kad kebajikan kerana membeli gas memasak.

Langkah lama itu juga melibatkan subsidi sebanyak 250 baht (RM31.02) diberikan untuk pemandu teksi motosikal, mengekalkan harga NGV pada harga 15.59 baht (RM1.93) sekilogram dan membenarkan pemandu teksi membeli Gas Petroleum Cecair (LPG) pada harga 13.62 baht (RM1.69) sekilogram.

Penjaja mendapat pemberian subsidi gas memasak di Thailand. - Foto AFP.

Ia turut merangkumi kos pelarasan bahan api (Ft) bagi penduduk yang menggunakan elektrik tidak melebihi 300 unit sebulan dari Mei hingga Ogos, mengekalkan harga diesel pada 35 baht (RM4.34) seliter dan memberikan subsidi 50 peratus ke atas harga diesel melebihi 30 baht (RM3.72) seliter.

Kerajaan juga sebelum ini mengumumkan pembekuan kenaikan harga ke atas 46 barangan termasuk mi segera, minyak sayuran, makanan dalam tin dan lima perkhidmatan sehingga akhir Jun tahun depan.

Menteri Perdagangan negara itu, Jurin Laksanawisit dilaporkan berkata pada minggu lalu bahawa kawalan harga adalah perlu berikutan kenaikan harga makanan dan banyak produk pengguna yang masih berterusan.

Antara barangan yang harganya dibekukan itu ialah tayar basikal dan kereta, pam air, baja, ayam, telur ayam, susu tepung dan produk susu, tepung gandum, pakaian seragam pelajar, ubat-ubatan, simen, batang keluli, kepingan besi, keluli struktur, syampu, kertas sanitari, tuala wanita, produk pencuci pinggan mangkuk, lampin, sabun, trak ladang, racun perosak, jentera penuaian, makanan haiwan serta banyak lagi.

Pada April lalu, ladang-ladang di beberapa wilayah Thailand menaikkan harga telur daripada 3.4 baht (RM0.42) kepada 3.5 baht (RM0.43) setiap sebiji disebabkan oleh kenaikan harga makanan haiwan ekoran Perang Ukraine.

Arun Sammasap, 72, pemilik sebuah kedai makan di daerah Muang dilaporkan oleh akhbar The Nation Thailand pada bulan lalu bahawa kedai makanan nasi dan karinya telah kehilangan hampir 50 peratus keuntungan kerana harga bahan mentah meningkat sehingga 20 peratus tetapi masih menjual pada harga lama iaitu 20-30 baht (RM2.48 - RM3.72) untuk setiap hidangan.

Namun, syarikat-syarikat bas swasta baru-baru ini juga telah mengancam untuk menggantung perkhidmatan sehingga 80 peratus jika kerajaan tidak membenarkan harga tambang dinaikkan sebanyak 0.59 baht (RM0.07) setiap kilometer sejajar dengan kenaikan kos bahan api.

Thailand juga kini mengalami penyusutan nilai baht berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS) dan pada Khamis lalu nilai AS$1 (RM4.40) adalah bersamaan dengan 35.48 baht (RM4.40).

Pada 2 Jun lalu, nilai AS$1 ialah 31.108 baht (RM3.85) tetapi Kementerian Perindustrian Thailand menyatakan baht yang lebih lemah dijangka meningkatkan ekonomi negara itu dan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar sebanyak 0.4 peratus namun tidak semua pengilang akan mendapat faedah daripada penyusutan nilainya.

Ahli ekonomi memberi amaran bahawa baht akan terus melemah sepanjang bulan ini kerana turun naik yang lebih tinggi dalam pasaran wang dan modal di seluruh dunia selepas kenaikan kadar faedah Rizab di AS.

Krungthai Compass iaitu sebuah syarikat penyelidikan meramalkan baht akan menurun kepada paras 34 (RM4.22) hingga 35 (RM4.34) berbanding dolar AS menjelang akhir bulan ini. - Agensi Gambar 1. Harga barangan tinggi melanda Thailand akibat Perang Ukraine. - Foto AFP 2. Penjaja mendapat pemberian subsidi gas memasak di Thailand. - Foto AFP

Klik di sini untuk terus membaca