SHAH ALAM - Minyak masak peket bersubsidi satu kilogram (kg) didapati mula sukar diperoleh di kedai runcit sejak beberapa bulan lalu berikutan pemborong tidak lagi membekalkan barangan keperluan berkenaan.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa kedai runcit sekitar kawasan perumahan di sini mendapati, rak yang menempatkan minyak masak peket bersubsidi telah digantikan dengan barangan keperluan lain bagi memenuhi ruang kosong tersebut.
Pemilik kedai runcit, Sharifah Abdul Katahar, 50, berkata, premisnya sudah terputus bekalan minyak masak peket bersubsidi sejak Mac lalu ekoran pemborong mendakwa sukar mendapatkan bekalan daripada pengilang.
"Sekarang saya tidak jual minyak masak peket kerana sudah lama tidak dapat bekalan.
"Ada juga pelanggan merungut kerana terpaksa beli minyak masak botol yang kini harganya memang mahal,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Dalam pada itu, Sharifah memaklumkan, ada juga pemborong yang menetapkan pembelian barangan sehingga RM700 untuk mendapatkan bekalan minyak masak peket daripada mereka.
"Saya kena ambil barang jualan sehingga RM700 barulah mereka (pemborong) benarkan untuk beli sekotak minyak masak peket bersubsidi. Kalau tak cukup RM700, pemborong tak bagi beli minyak masak peket dengan mereka,” dakwanya.
Sementara itu, pemilik kedai runcit, Abdul Rafie, 28, mengakui bekalan bahan mentah itu semakin sukar diperoleh walaupun sudah membuat pesanan awal kepada pembekal.
Katanya, pesanan bekalan bahan mentah itu telah dibuat sebelum perayaan Aidilfitri, namun pembekal memberi alasan tidak mendapat stok daripada pengilang walaupun mereka sudah membuat tempahan awal.
"Hari ini sudah hampir dua bulan minyak masak peket tidak dihantar pembekal dan secara tidak langsung memaksa golongan berpendapatan rendah (B40) membeli minyak botol yang harganya lebih mahal untuk kegunaan harian.
"Pembekal juga mengehadkan pesanan kerana mendakwa stok yang diperoleh dari kilang terhad selain perlu bersikap adil kepada peruncit lain,” katanya.
Pekerja sebuah pasar raya mini, Shirley Yong, 48, berkata, majikannya telah membuat keputusan untuk tidak lagi menyediakan minyak masak peket ekoran kesukaran mendapatkan bekalan selain ingin menunggu harga minyak masak lebih stabil di pasaran.
Shirley berkata, ketika ini kedai tersebut hanya menjual minyak masak botol mengikut harga pasaran dan mungkin akan membuat pesanan minyak masak peket daripada pemborong bermula Julai nanti.
"Buat masa ini memang sudah tidak jual (minyak masak peket) kerana tidak ada stok, jadi kami jual yang botol sahaja.
"Mungkin selepas harga minyak masak di pasaran kembali stabil bulan Julai nanti kami akan buat pesanan stok daripada pemborong dan harap pada masa itu bekalan sudah ada dan mudah untuk didapati,” katanya.
Sementara itu, situasi sama turut berlaku di ALOR SETAR di mana bekalan minyak masak peket didakwa semakin sukar diperoleh sejak tiga bulan lepas.
Peniaga, Hong Poo Gaik, 60, memberitahu, bekalan minyak masak peket diterima di kedai runcit juga makin berkurangan berbanding sebelum ini.
"Pada kebiasaannya saya terima 30 beg minyak masak peket namun sekarang hanya menerima sekitar 15 beg bahan mentah tersebut sahaja setiap hari.
"Tiada alasan diberikan pembekal di sebalik pengurangan tersebut. Jadi, bekalan ini adakalanya tidak cukup untuk menampung permintaan pengguna hingga hujung bulan,” katanya yang terpaksa mengehadkan kuantiti pembelian kepada pengguna.
Seorang lagi peniaga, Fatimah Sulong, 57, berkata, bekalan minyak masak peket di kedai runcitnya di Jalan Datuk Kumbar di sini masih ada namun dalam kuantiti sedikit.
"Minyak masak ada tetapi terpaksa had pembelian satu peket seorang sahaja bagi membolehkan semua pengguna berpeluang mendapatkan bekalan.
"Kami buat tempahan banyak tetapi hanya menerima separuh daripada tempahan bahan itu sahaja daripada pembekal,” katanya.
Di MELAKA, terdapat sesetengah kedai terpaksa mengehadkan hanya sepeket minyak masak yang boleh dijual kepada seorang pembeli berikutan kekurangan bekalan itu.
Pekerja kedai runcit di Limbongan Permai di sini, Qadir Abdullah berkata, pembelian itu terpaksa dihadkan bagi mengelakkan orang ramai membuat pembelian panik dan memastikan bekalan minyak masak peket di kedai itu mencukupi.
Seorang suri rumah, Norehan Nikmat pula mengakui sukar untuk mendapatkan bekalan minyak masak peket dan terpaksa pergi mencari di beberapa kedai runcit serta pasar raya.
"Saya tinggal sembilan beranak dalam satu rumah, jadi memang perlu beli minyak masak peket yang murah lebih-lebih lagi dengan kenaikan harga barang sekarang ini,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca