SHAH ALAM - Pakar mengesyorkan pelbagai langkah perbelanjaan berhemat kepada pengguna dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup ketika ini. Pakar Kewangan Pengguna, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, pengguna disaran menyemak serta... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pakar mengesyorkan pelbagai langkah perbelanjaan berhemat kepada pengguna dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup ketika ini.

Pakar Kewangan Pengguna, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, pengguna disaran menyemak serta menganalisis rancangan perbelanjaan bulanan dengan mengenal pasti barangan yang perlu, kurang perlu dan tidak perlu.

"Pengguna harus memberi keutamaan ke atas perbelanjaan yang penting terlebih dahulu seperti keperluan makanan, utiliti dan perjalanan.

"Pengguna juga wajar mengelak daripada membuat keputusan membeli mengikut emosi bagi mengelak perbelanjaan berlebihan,” katanya kepada Sinar Harian.Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) itu turut menyarankan pengguna mengubah suai gaya perbelanjaan dengan mencatat semua pembelian yang dilakukan agar ia boleh disemak sebagai rujukan.

Gambar hiasan

Oleh itu katanya, pengguna perlu mempertimbang perkhidmatan atau barangan buatan tempatan sekali gus dapat memperkasa Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia."Kurangkan juga aktiviti jalan-jalan (window shopping) ke pusat beli-belah atau melayari media sosial yang boleh menggalakkan anda untuk membeli-belah.

"Pengguna juga mesti bijak mendapatkan maklumat dan buat perbandingan harga untuk barangan serta perkhidmatan yang ingin dibeli atau diperoleh.

Selain itu kurangkan perbelanjaan makanan di luar, menyediakan juadah atau makanan sendiri mengikut kesesuaian masa dan bajet seterusnya bawa bekal ke tempat kerja dan sekolah bagi anak-anak.

"Paling penting, elakkan penggunaan kad kredit semasa melakukan pembelian atau perbelanjaan selain tidak menambah hutang baharu. Jangan pinjam daripada pemberi pinjam wang tidak berlesen atau ah long atau salah pelaburan,” katanya.

Mohamad Fazli turut menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan pandangan pakar sekiranya berhadapan dengan masalah mengurus dan merancang perbelanjaan.

Gambar hiasan

Sementara itu, Pakar Ekonomi, Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, rakyat harus mengubah atau menggantikan makanan yang biasa dimakan kepada sumber alternatif lebih murah ekoran sebahagian besar perbelanjaan adalah untuk makanan.

"Misalnya sekarang harga ayam, daging dan ikan memang meningkat. Jadi, kita boleh beralih kepada telur sebagai sumber protein.

"Meskipun harga telur naik, tetapi peningkatannya kurang berbanding ayam dan daging. Sudah tiba masanya kita cari barang pengganti yang lebih murah,” katanya.

Jelas beliau, antara inisiatif lain yang boleh dilakukan adalah mengawal corak perbelanjaan harian merangkumi tujuh keperluan asas iaitu makanan, rumah, pengangkutan, pinjaman, simpanan, utiliti dan perlindungan.

"Empat kategori yang perlukan belanja besar adalah makanan, sewa rumah, pinjaman dan pengangkutan tetapi kita boleh kawal perbelanjaan utiliti.

"Dalam kajian saya mendapati ada kumpulan B40 yang tidak tahu cara menggunakan utiliti dengan betul sehingga berlaku pembaziran,” ujar beliau.


REAKSI

Untuk mengurangkan beban keluarga, perbelanjaan bulanan terpaksa disusun semula mengikut keperluan. Masakan di rumah terpaksa dipelbagaikan dengan tidak hanya bergantung kepada ayam semata-mata. Macam saya memang suka ayam, tapi apabila ayam mahal kena tukar dengan menu lain untuk jimat belanja. Ini bukanlah masa sesuai untuk bermewah membeli barang-barang bukan keperluan. Penjimatan berganda perlu dilakukan demi memastikan kehidupan tidak terjejas.

Suri rumah, Irma Suryani Nasrul, 33, Ipoh, Perak

Menyediakan bekal untuk anak-anak ke sekolah merupakan salah satu usaha dilakukan untuk mengurangkan kos perbelanjaan susulan peningkatan harga makanan serta bahan mentah sekarang. Usaha itu boleh menjimatkan antara 20 hingga 40 peratus perbelanjaan harian persekolahan anak-anak. Biasa saya beri belanja RM5 sehari, sejak bawa bekal saya kurangkan kepada RM3. Saya bangun seawal 4 pagi untuk sediakan makanan mudah seperti roti telur untuk anak-anak ke sekolah.

Kakitangan awam, Daing Siti Norbaity Abd Latif, 41, Kuala Terengganu


Klik di sini untuk terus membaca