SHAH ALAM - Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan meminta semua pihak tidak mensensasikan isu pemecatan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman selaku Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. Katanya, beliau percaya... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan meminta semua pihak tidak mensensasikan isu pemecatan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman selaku Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Katanya, beliau percaya pemberhentian Tajuddin tidak akan menyebabkan perpecahan dalam parti tersebut.

Ini kerana Shahril yang juga Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri berkata, pelantikan jawatan Ahli MKT berkenaan adalah hak mutlak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan perlu dihormati semua pihak.

"Kita sudah sepakat mengatakan Presiden jaga parti dan Perdana Menteri jaga kerajaan. Maka keputusan soal lantikan kepartian yang sememangnya bidang kuasa Presiden tak perlu dipertikaikan.

"Dalam surat dikeluarkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan kepada Tajuddin pun jelas penghargaan terhadap sumbangan beliau dan saya yakin perjuangan beliau tidak akan terhenti semata-mata bukan lagi ahli MKT," katanya kepada Sinar Premium.

Shahril berkata demikian ketika ditanya sama ada isu pemecatan Tajuddin sebagai Ahli MKT akan menyebabkan UMNO kini berpecah kepada dua kumpulan iaitu Team Zahid dan Team Ismail Sabri.

Terdahulu media melaporkan Tajuddin yang juga bakal Duta Malaysia ke Indonesia kini digugurkan daripada jawatan Ahli MKT UMNO berkuat kuasa Selasa lalu.

Menurut surat bertarikh 21 Jun yang dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, pelucutan jawatan itu berikutan komitmen Tajuddin sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

Berikutan itu, Ahmad merakamkan ucapan tahniah kepada Tajuddin atas pelantikan sebagai Duta Besar dan berharap beliau dapat melaksanakan khidmat yang terbaik untuk negara.

"Dimaklumkan bahawa Presiden UMNO melalui surat ini (bertarikh 21 Jun 2022) menamatkan pelantikan Dato’ Sri sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

"Menurut Perlembagaan UMNO Fasal 9.8.1.4, Presiden UMNO telah melantik Tajuddin sebagai ahli MKT UMNO.

"Saya bagi pihak Presiden UMNO ingin merakamkan ucapan berbanyak terima kasih atas khidmatnya sebagai ahli MKT selama ini,” katanya.

TAJUDDIN TIDAK BOLEH MERAYU

Dalam pada itu, Zahid dalam satu program pagi ini mendedahkan Tajuddin digugurkan sebagai ahli MKT UMNO disebabkan sikap beliau yang mengkritik parti.

"Kena tanya beliau sendiri. Apa kenyataan beliau telah buat, apakah bahan-bahan ucapan beliau atau ceramah atau bahan-bahan yang telah beliau nyatakan dalam mesyuarat tertutup." katanya.

Zahid juga menegaskan berdasarkan perlembagaan parti Tajuddin tidak mempunyai ruang untuk merayu untuk jawatan tersebut.

"Rayuan untuk keahlian boleh dibuat terapi rayuan untuk sesuatu jawatan yang dilantik saya fikir tidak ada,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca