TIADA angin, tiada ribut namun tiba-tiba sahaja, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, dipecat daripada jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO oleh Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkuat... Klik di sini untuk terus membaca

TIADA angin, tiada ribut namun tiba-tiba sahaja, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, dipecat daripada jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO oleh Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkuat kuasa serta-merta Selasa lalu.

Pemecatan Tajuddin sebagai Ahli MKT sudah pasti memeranjatkan banyak pihak kerana beliau baharu sahaja dilantik sebagai Duta Besar Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, pada bulan lalu.

Pemecatan bekas Pengarah Pilihan Raya UMNO berkenaan bagaikan memberi isyarat dan amaran makin 'jelas' kepada pemimpin UMNO yang tidak sebulu dengan Ahmad Zahid.

Pemimpin yang tidak bersama dalam kem Presiden perlu lebih berhati-hati supaya mereka tidak menerima nasib sama dengan Tajuddin dan berkemungkinan besar tidak diangkat menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Pendek kata, pemecatan Tajuddin memberi gambaran bahawa 'peperangan' antara geng 'kluster mahkamah dan geng Putrajaya' kini sedang meletus dalam UMNO, biarpun Mesyuarat MKT sebelum ini sebulat suara menyokong Ismail Sabri diangkat menjadi ‘poster boy’ Barisan Nasional (BN) dalam PRU15.

PEMECATAN LUAR BIASA

Penganalisis politik merangkap Pensyarah Kanan, Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, pemecatan Tajuddin adalah sesuatu yang agak luar biasa kerana bukan hanya pemimpin veteran itu seorang sahaja yang dilihat tidak sebulu dengan Presiden UMNO, tetapi ramai lagi.

Berikutan itu, Mazlan melihat pengguguran Tajuddin menunjukkan naratif bahawa wujudnya pertembungan terbuka dalam UMNO antara kem pemimpin yang disokong oleh Presiden dan kem disokong oleh Perdana Menteri.

"Pemecatan Tajuddin mungkin ada kaitan dengan tindakan beliau memberikan kenyataan berbeza daripada keputusan Mesyuarat MKT dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang mendesak supaya PRU15 diadakan secepat mungkin.

"Tindakan itu juga memberikan isyarat jelas kepada pucuk pimpinan UMNO supaya tidak perlu tunjuk berani menentang Presiden jika tidak mahu mengalami nasib sama seperti Tajuddin," katanya kepada wartawan Sinar Premium.

Selain Tajuddin, beberapa pemimpin UMNO nampak ketara tidak sebulu dalam kem Ahmad Zahid termasuklah Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa; Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Berikutan itu, Mazlan tidak menolak kemungkinan bahawa Nazri, Annuar, Shahidan mungkin bakal menempa nasib serupa seperti Tajuddin jika terus menunjukkan penentangan terbuka terhadap kepimpinan Presiden UMNO.

Mengulas lanjut, Mazlan berpandangan pemecatan Tajuddin boleh membawa implikasi positif dan negatif kepada parti.

Katanya, Impak negatif tersebut mungkin ia boleh menimbulkan keretakan dalam UMNO dan menggugat persiapan BN menghadapi PRU15. Namun dari sudut positifnya, Ahmad Zahid mengggugurkan pemimpin yang menentangnya untuk menyatu dan menguatkan kepimpinan tertinggi UMNO.

"Saya tidak sangka Ahmad Zahid berani memecat Tajuddin selaku ahli MKT kerana beliau adalah orang lama dan mempunyai pengaruh tersendiri dalam UMNO.

"Bagaimanapun pemecatan Tajuddin menunjukkan UMNO tegas, tidak memilih bulu dan sesiapa sahaja tidak kira pemimpin baharu atau lama yang menentang Ahmad Zahid akan menerima padahnya.

"Tidak ketinggalan, keputusan itu membolehkan ahli Parlimen Pasir Salak berkenaan menumpukan sepenuh perhatian kepada tugas baharunya sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia," kata Mazlan.

MELAGA-LAGAKAN PEMIMPIN

Dalam pada itu, Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, pihaknya berharap penamatan jawatan Tajuddin sebagai Ahli MKT yang dilantik tidak akan disalah tafsir oleh mana-mana pihak yang mahu melaga-lagakan pemimpin.

Mustapha

Berikutan itu, Mustapha berkata, Veteran UMNO yakin Tajuddin memahaminya dan menerima dengan hati terbuka dan berlapang dada.

"Tajuddin adalah Ahli MKT yang dilantik oleh Presiden mengikut Fasal 9.8.1.4. Perlembagaan UMNO. Ini bermakna Presiden berhak menamat khidmat seseorang yang dia lantik mengikut budi bicaranya demi kebaikan barisan kepimpinan dan parti.

"Ia perkara biasa dilakukan oleh mana-mana badan dan persatuan dimana presiden atau pengerusi menamatkan khidmat AJK yang dilantik. Ianya juga berlaku dalam kerajaan bila Perdana Menteri merasakan seseorang menteri itu perlu ditukar atau ditamatkan khidmatnya," katanya ketika dihubungi Sinar Premium.

Tambahan pula, Mustapha berkata, Tajuddin baru saja dilantik sebagai Duta Besar Malaysia di Indonesia dan sudah tentu beliau akan sibuk dengan tugasan barunya di samping tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen Pasir Salak.

Klik di sini untuk terus membaca