SHAH ALAM - Pakar menyarankan agar kerajaan melakukan pemotongan cukai kepada golongan sederhana iaitu M40 dalam keadaan negara kini yang sedang mengalami kenaikan harga barangan dan kos sara hidup. Pakar ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pakar menyarankan agar kerajaan melakukan pemotongan cukai kepada golongan sederhana iaitu M40 dalam keadaan negara kini yang sedang mengalami kenaikan harga barangan dan kos sara hidup.

Pakar ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, dalam masa sama, kerajaan juga boleh bertindak dengan memberikan lebih banyak pengecualian untuk perkiraan cukai pendapatan selain menyediakan debit cukai kepada golongan tersebut.

"M40 ini adalah pembayar cukai pendapatan. Mereka juga terjejas dengan kenaikan harga tetapi tidaklah teruk sehingga tidak mampu beli makanan.

"Saya saran untuk kerajaan beri mereka potongan cukai pendapatan dan lebih pengecualian untuk pengiraan cukai pendapatan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurut Nungsari, bagi meningkatkan semula hasil negara, kerajaan disaran untuk menaikkan cukai pendapatan bagi golongan T10 dan T5 selain memperkenalkan cukai keuntungan modal untuk T5.

"Kerajaan kita sedia maklum mengalami kekangan fiskal yang amat teruk. Kerajaan harus melihat kedua-dua belah hasil dan perbelanjaan dalam menentukan keutamaan semasa semua rakyat berdepan dengan peningkatan kos hidup,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan juga perlu melihat pada kaedah penjimatan ataupun pengurangan perbelanjaan yang tidak diperlukan sekarang supaya sumber kewangan dapat disalurkan kepada keperluan semasa.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi, Profesor Madya Dr Mohd Yusof Saari mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan semula kedai yang menawarkan pilihan harga lebih murah kepada kumpulan berpendapatan sederhana ini.

Beliau berkata, ini kerana kedudukan harga barangan keperluan asas ketika ini adalah tinggi dan memerlukan kerajaan serta pihak berwajib melaksanakan bantuan cepat dan pantas.

"Ketika ini golongan tersebut tiada pilihan perbelanjaan sedangkan peningkatan harga tidak mengenal siapa mereka. Dalam masa sama, intervensi bagi mengukuhkan pendapatan M40 juga perlu dilaksanakan.

"Antara intervensi yang boleh dilakukan seperti mengadakan pemadanan pekerjaan (bagi yang masih tidak mempunyai pekerjaan tetap) dan menyediakan peluang pekerjaan separuh masa bagi mereka meningkatkan pendapatan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan juga seharusnya memberikan bantuan tunai kepada golongan tersebut kerana ia mampu menstabilkan keadaan dalam tempoh jangka singkat.

"Kini masa kritikal kepada golongan berpendapatan rendah terutamanya B40 dan sebahagian besar M40. Peningkatan harga barangan yang tinggi memberi kesan signifikan kepada mereka,"jelasnya.

Pertimbangkan bantuan tunai untuk M40

Sementara itu, kerajaan disaran untuk mempertimbangkan pemberian bantuan tunai kepada isi rumah golongan berpendapatan pertengahan (M40) yang turut terkesan dengan krisis ekonomi yang melanda negara pada ketika ini.

Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Profesor Datuk Dr N Marimuthu berkata, ia perlu dilakukan sehingga keadaan ekonomi negara kembali pulih seperti sedia kala.

"Kerajaan harus gunakan dana sedia ada untuk turut memberi peruntukan berbentuk kewangan kepada golongan M40 supaya kos sara hidup mereka yang semakin tinggi dapat dikurangkan.

"Begitu juga dari sudut pelajaran dan sektor kesihatan, mesti ada bantuan kepada mereka. Ketika ini, banyak ubat-ubatan sukar didapati dalam pasaran. Ini merupakan situasi yang bahaya kepada golongan B40 mahupun M40,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Untuk makluman, menerusi Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), individu atau isi rumah dengan pendapatan RM2,500 hingga RM5,000 layak menerima bantuan antara RM300 hingga RM2,000.

Ini bermakna, hanya sebahagian kecil daripada golongan M40 ketika ini yang layak menerima bantuan tunai.

Mengulas lanjut, Marimuthu berkata, selain bantuan kewangan, pemberian subsidi kepada golongan tersebut juga dapat membantu meringankan beban sara hidup mereka.

"Subsidi harus diteruskan, tidak boleh hapuskan dalam kegawatan ekonomi ketika ini,” tegas beliau.

Pada Khamis, kerajaan telah mengumumkan bantuan tambahan BKM sebanyak RM100 untuk isi rumah dan RM50 untuk golongan bujang bagi menangani peningkatan kos sara hidup.

Klik di sini untuk terus membaca