"IRON Lady” kita, Tan Sri Rafidah Aziz cadangkan kerajaan timbangkan pemotongan elaun dan gaji menteri sebanyak 20 peratus serta-merta.
Kata beliau langkah itu untuk tunjukkan sifat empati menteri terhadap penderitaan rakyat. Katanya rakyat sedang berdepan dengan cabaran krisis ekonomi "bertindih” yang semakin parah.
Menurut Rafidah potong elaun dan gaji ini bukan perkara baru. Dulupun sudah dilaksanakan. Malah kata beliau apabila krisis ekonomi berlaku, perkara pertama dilakukan oleh kerajaan masa itu adalah potong elaun dan gaji menteri.
Pada masa itu menteri kabinet sebulat suara sepakat untuk buat potongan walaupun tidak ada paksaan untuk berbuat demikian.
Awang sokong sangat pandangan ini. Tuk Seri Perdana Menteri pun baru umum penarikan subsidi minyak masak botol. Sekarang minyak masak peket mula hilang. Rakyat mengeluh oleh sebab bekalannya sudah berkurang sejak bulan Mac lagi.
Pada pendapat Awang dasar subsidi ini perlu dikaji semula secara menyeluruh. Jangan buat cara ad-hoc. Kesannya bukan sahaja buruk pada industri dan perniagaan tetapi pada rakyat juga. Tapi kita selalu ambil keputusan untuk selesai masalah jangka pendek, bukan untuk lihat secara jangka panjang.
Curah air di daun keladi
Awang setuju sangat dengan pandangan pakar ekonomi bahawa beri bantuan tunai saja tidak cukup. Lagipun tambahan subsidi tunai sebanyak RM100 dan RM50 bagi penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) tak sampai ke mana.
Awang nak tanya apakah yang boleh dibeli hari ini dengan duit sebanyak itu. Harga barang naik mendadak. Kita semua tahu beban kos sara hidup rakyat tak dapat ditampung dengan tambahan yang sebegitu kecil.
Pada pandangan Awang yang bukan pakar ekonomi ini langkah kerajaan bagi wang tunai memang sangat disukai. Itu langkah popular. Dah lama amalan bagi duit kepada rakyat termasuk yang Bossku Tuk Seri Najib buat melalui BRIM. Untuk jangka pendek memang baik. Tapi duit yang dicurahkan macam tuang air di daun keladi. Tak banyak kesannya.
Patut ada perancangan jangka panjang untuk kurangkan beban rakyat. Pastikan kenaikan harga barang terkawal. Subsidi bersasar yang cuba dilaksanakan harus menepati sasaran. Duit yang diberikan patut ada nilai tambahnya. Bukan main tuang sahaja, lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya yang semakin hampir.
Awang rasa rancangan pemulihan ekonomi tidak berlaku macam dirancang.
Klik di sini untuk terus membaca