SHAH ALAM - Dua timbalan menteri bersedia gaji mereka dipotong sebanyak 20 peratus bagi membantu meringankan beban rakyat yang bergelut dengan cabaran krisis ekonomi ‘bertindih’ yang semakin parah. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Dua timbalan menteri bersedia gaji mereka dipotong sebanyak 20 peratus bagi membantu meringankan beban rakyat yang bergelut dengan cabaran krisis ekonomi ‘bertindih’ yang semakin parah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pemotongan gaji atau elaun barisan menteri dan timbalan menteri kabinet bukanlah perkara baharu berikutan pelaksanaan itu juga pernah dibuat beberapa kali sebelum ini.

Menurutnya, jemaah menteri pernah tidak mengambil gaji selama tiga bulan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membantu mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

"Saya yakin rakan-rakan kabinet yang lain juga mempunyai pemikiran yang sama dan mereka pastinya tidak ada halangan kerana semuanya memang sangat mengambil berat terhadap rakyat.

"Pelaksanaan pemotongan gaji seharusnya tidak hanya melibatkan menteri dan timbalan tetapi juga untuk duta-duta bertaraf menteri atau mana-mana pihak yang dirasakan perlu,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati mengakui pemotongan gaji bukanlah jalan penyelesaian yang tepat untuk membantu negara menghadapi krisis ekonomi ketika ini.

"Sebenarnya, banyak lagi perkara lain yang perlu dilakukan untuk bawa negara keluar dari masalah yang dihadapi.

"Tetapi, ia sebagai salah satu tanda solidariti untuk kita (pemimpin) bersama-sama dengan rakyat dalam berdepan dengan krisis.

"Ramai yang merungut, barang mahal dan sebagainya, jadi saya sokong apa sahaja tindakan atau usaha yang dapat membantu rakyat,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, beliau akan turut mematuhi keputusan kabinet sekiranya pemotongan gaji ditetapkan kepada semua menteri dan timbalan menteri.

"Saya setuju kalau kabinet putuskan (pemotongan gaji), saya ikut sahaja.

"Berapa peratus nak potong, itu terpulang kepada kabinet. Saya berpendapat ia merupakan salah satu langkah membantu (rakyat), jadi tidak ada masalah,” katanya.

Bagaimanapun, Wan Ahmad Fayhsal berkata, selain memotong gaji dan elaun menteri, sebenarnya ada banyak lagi perkara penting yang memerlukan penyelesaian secara teliti.

"Kerajaan perlu buat penelitian untuk mencari penyelesaian terbaik terutamanya melibatkan bekalan makanan yang mencukupi supaya apabila diapungkan harga makanan di pasaran, kita harap ia dapat mencapai harga pengeluaran yang adil untuk rakyat.

"Buat masa ini, kita semua terpaksa bersabar sedikit, memang tidak mudah nak bercakap dari segi ini kerana bukan kita sahaja yang berdepan dengan masalah ini," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca