SASTERAWAN terkenal Amerika Syarikat (AS), Mark Twain pernah menyentuh tentang kesetiaan menerusi petikannya yang terkenal, "Kesetiaan kepada negara adalah selamanya, namun kesetiaan kepada kerajaan hanya apabila ia benar-benar... Klik di sini untuk terus membaca

SASTERAWAN terkenal Amerika Syarikat (AS), Mark Twain pernah menyentuh tentang kesetiaan menerusi petikannya yang terkenal, "Kesetiaan kepada negara adalah selamanya, namun kesetiaan kepada kerajaan hanya apabila ia benar-benar selayaknya”.

Walaupun petikan tersebut ditujukan Twain kepada rakyat Rusia yang terbelenggu dengan pemerintahan despotik Rejim Czar, inti pati kata-kata tersebut ternyata malar segar. Ia sangat relevan dengan situasi semasa bukan sahaja di negara kita, malah juga di negara lain.

Lazimnya kesetiaan adalah unsur yang menyatu, mengikat dan timbal balik (reciprocal). Namun begitu, ia juga sering terdedah kepada elemen eksploitasi dan manipulasi. Akhirnya timbul kesedaran palsu mengakibatkan pembodohan minda disebabkan fanatisisme dan kepimpinan memperkecilkan keupayaan rakyat.

Ada beza antara kesetiaan kepada negara dan kerajaan. Ahli falsafah Yunani terkenal Socrates dalam karyanya The Republic menggariskan beberapa kriteria kesetiaan kepada negara iaitu wujud sifat bangga dengan budaya, nilai dan citra negaranya melalui kepatuhan terhadap perlembagaan.

Kesetiaan juga harus disertai pelaksanaan tanggungjawab sivil warga dan sentiasa sedia berkhidmat untuk negara sekiranya diperlukan.

Sebab itu Rukun Negara juga meletakkan unsur kesetiaan kepada Raja dan Negara secara umumnya diperkukuhkan dengan mendukung Perlembagaan sebagai panduan hidup bernegara.

Berbeza dengan kesetiaan kepada kerajaan. Lazimnya ia bersifat setia kepada ideologi dan identifikasi nilai-nilai tertentu yang dibawa kerajaan memerintah. Hal inilah yang sering disalah erti.

Walaupun tidak salah untuk taat setia kepada kerajaan memerintah, namun menganggapnya sebagai sama dengan kesetiaan terhadap negara adalah salah.

Sebab itu kuasa pemerintahan sesebuah kerajaan perlu sentiasa disemak dan diperiksa.

Hal ini bagi memastikan adanya ketelusan kerajaan dalam memainkan tanggungjawabnya seperti digariskan. Justeru, mekanisme semak dan imbang sangat penting bagi memastikan ketelusan tersebut.

Malangnya, sempadan antara kesetiaan terhadap negara dan kerajaan ini kelabu dan sering bertindih. Perdebatan berlaku kerana setiap kali wujud perbezaan pendapat atau kritikan terhadap kerajaan, ia akan dilihat sebagai antinasional dan tidak patriotik.

Sedangkan mengkritik kerajaan sekiranya mereka tidak melakukan yang tidak betul adalah sebahagian cabang demokrasi.

Kalau ia dianggap begitu, maka mengkritik kerajaan apabila ia tidak memenuhi janji pilihan raya, membantu menyelesaikan kesusahan rakyat dan gagal memenuhi serta menjaga keperluan asas mereka juga adalah kesetiaan kepada negara.

Hal ini sangat terkait dengan diktum ‘haiwan politik’ Aristotle yang terkenal tentang manusia sebagai haiwan politik hanya boleh merealisasikan aspirasinya dengan berpartisipasi secara aktif dalam hal ehwal bernegara (baca: berpolitik).

Aktivis hak asasi manusia Martin Luther King turut menekankan prinsip tersebut sebagai hak sivil terpenting warganegara.

Memetik penulisan James Washington (1986) yang mengumpulkan koleksi ucapan dan karya Martin Luther King tentang keperluan menegur kerajaan atas kewajipan seseorang untuk mengambil keputusan tidak selamat, tidak dan popular dan tidak politikal yang dilakukan kerana nuraninya berkata ia perlu dilakukan kerana itulah benar dan betul untuk dilakukan.

Cuma dalam mengkritik juga harus adil. Ia perlu dilakukan secara konstruktif, bijaksana dan berhikmah tanpa prejudis. Tetapi mana-mana pihak yang mengaitkan kritikan terhadap kerajaan sebagai tidak patriotik, antinasional dan tidak setia adalah salah dan sesat.

Selagi kita tidak melawan Tuhan dan melanggar Perlembagaan, mengkritik juga adalah kesetiaan kepada negara dalam erti kata sebenar.

Klik di sini untuk terus membaca