KRISIS makanan global yang disebabkan konflik Ukraine akan meragut jutaan nyawa dan mengakibatkan golongan yang kelaparan terdedah kepada penyakit berjangkit, sekali gus berpotensi mencetuskan ‘malapetaka’ kesihatan dunia baharu.
Amaran itu diberikan Pengarah Eksekutif Dana Global untuk Melawan Aids, Tuberculosis dan Malaria, Peter Sands setelah kebanyakan negara berpendapatan rendah kini berdepan kekurangan bekalan makanan.
"Saya berpendapat krisis kesihatan baharu sudah bermula. Ia bukan kerana patogen baharu sebaliknya berpunca daripada malnutrisi.
"Jutaan nyawa berisiko terancam disebabkan gabungan impak penyakit berjangkit, kekurangan bekalan makanan dan krisis bahan api,” ujarnya di luar acara Mesyuarat Menteri Kesihatan G20 di bandar Yogyakarta, Indonesia pada Khamis.
Menurutnya, negara antarabangsa seharusnya meminimumkan kesan krisis makanan dengan menyediakan penjagaan kesihatan kepada komuniti miskin yang paling berisiko tinggi.
Ketika ini, jutaan penduduk terutamanya di Afrika Timur menghadapi risiko kebuluran kerana kemarau yang disebabkan oleh fenomena perubahan iklim.
Negara Tanduk Afrika termasuk Somalia, Ethiopia dan Eritrea turut berdepan kebuluran berskala besar dan diburukkan lagi dengan lonjakan harga barangan keperluan harian sejak perang Rusia-Ukraine bermula.
Selain itu, hampir lapan juta kanak-kanak di bawah usia lima tahun di 15 negara dilanda krisis seperti Afghanistan, Sudan Selatan dan Yemen berisiko maut kerana krisis makanan global.
Data Tabung Kecemasan Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menunjukkan isu tersebut yang berlaku sejak awal tahun lalu telah memaksa 260,000 budak tambahan atau satu kanak-kanak dalam tempoh setiap 60 saat menanggung beban krisis berkenaan dan terdedah kepada kekurangan zat makanan.
"Bantuan makanan kini kritikal. Tetapi, beg gandum tidak dapat menyelamatkan kanak-kanak yang kelaparan. Kita perlu memberikan rawatan terapeutik kepada golongan itu sebelum terlambat,” tegas Pengarah Eksekutif UNICEF, Catherine Russell.
Bagaimanapun, harga makanan terapeutik sedia digunakan untuk merawat golongan itu dikatakan telah meningkat sebanyak 16 peratus sejak beberapa minggu lalu berikutan kenaikan mendadak kos bahan mentah.
Hal itu menyebabkan kira-kira 600,000 kanak-kanak tidak mempunyai akses kepada rawatan tersebut dan berisiko meragut nyawa mereka.
Susulan keadaan yang semakin terdesak, Kesatuan Eropah (EU) memaklumkan ia akan membantu negara terkesan krisis makanan dengan dana tambahan berjumlah 600 juta euro (RM2.8 bilion).
Pengumuman itu dibuat selepas Suruhanjaya Eropah (EC) menerima pakai cadangan bagi menggunakan wang daripada rizab Dana Pembangunan Eropah untuk membantu negara Afrika, Caribbean dan Pasifik menghadapi situasi yang semakin meruncing tersebut.
Sebelum ini, Rusia menafikan ia bertanggungjawab terhadap krisis makanan yang melanda dunia dan turut menuding jari menyalahkan propaganda serta siri sekatan dilaksanakan Barat yang bertujuan untuk ‘menghukum’ Moscow kerana melancarkan kempen pencerobohan ke atas Ukraine.
Kesatuan Afrika (AU) juga percaya sekatan terhadap Kremlin khususnya pengecualian daripada mekanisme pembayaran antarabangsa SWIFT telah menghalang beberapa negara anggota membeli produk makanan. YOGYAKARTA SUMBER: Agensi/ AFP
Klik di sini untuk terus membaca