SHAH ALAM - Golongan M40 berharap mereka turut menerima bantuan daripada kerajaan disebabkan oleh peningkatan kos sara hidup pada ketika ini.
Ini berikutan golongan tersebut juga berhadapan dengan tekanan sama seperti golongan B40.
Menurut Eksekutif Hartanah, Ladin Rashid Said, 45, amat wajar M40 diberikan bantuan berikutan golongan itu turut terkesan sama dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini.
"Saya difahamkan sebelum ini kerajaan akan memperkenalkan pelbagai subsidi bersasar kepada golongan berpendapatan rendah bagi menangani kenaikan harga barang.
"Ini termasuk subsidi untuk minyak dan tarif elektrik. Jadi, saya berharap kerajaan akan mempertimbangkan pemberian subsidi bersasar ini kepada M40, tidak hanya tertumpu kepada B40 sahaja,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Penolong pengarah di sebuah agensi kerajaan negeri, Amirullah Othman, 41, pula berkata, semua pihak sama ada B40 dan M40 terjejas akibat pandemik Covid-19.
Katanya, perlu satu langkah yang berkesan supaya kesemua golongan tersebut mendapat manfaat sama rata.
"Justeru, subsidi kepada golongan B40 dan M40 amat perlu bagi melonjakkan kestabilan perniagaan dan kos sara hidup kedua-dua golongan ini,” katanya.
Mengulas isu sama, pekerja swasta, Farhana Sulaiman, 33, turut meminta agar kerajaan memberikan bantuan subsidi barang keperluan untuk jangka masa panjang.
Ia berikutan katanya, kenaikan harga barang menyebabkan golongan M40 yang berpendapatan RM5,000 ke atas menjunam ke dalam kumpulan B40.
"Disebabkan itu saya cadangkan supaya kerajaan menyalurkan bantuan subsidi barang keperluan untuk jangka masa panjang kepada M40,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan, Aws Qarny Adli, 30, pula berkata, jika kerajaan tidak dapat menyalurkan bantuan dari segi wang ringgit, sekurang-kurangnya kerajaan boleh melaksanakan semula polisi bekerja dari rumah (BDR) bagi mengurangkan kos sara hidup M40.
"Ini bukan sahaja dapat mengurangkan kos pengangkutan seperti minyak dan tol, malah turut menjimatkan masa.
"Tak perlu berjam-jam hadap kesesakan atas jalan raya. Jadi banyak perkara yang boleh jimat,” katanya.
Dalam pada itu, Aws Qarny turut mengakui bahawa ada di antara M40 hidupnya lebih susah daripada B40 susulan pelbagai faktor dan komitmen yang dihadapi golongan itu.
"Ini termasuk bayaran untuk semua jenis cukai,” katanya.
Pada Khamis, kerajaan mengumumkan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) sebanyak RM100 kepada isi rumah dan RM0 kepada bujang.
Klik di sini untuk terus membaca