PEMBUATAN basikal daripada buluh yang dicipta oleh lulusan Fakultas Seni Rupa dan Desain Institut Teknologi Bandung (ITB), Singgih S Kartono kian popular setelah ciptaannya itu digunakan oleh Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese pada... Klik di sini untuk terus membaca

PEMBUATAN basikal daripada buluh yang dicipta oleh lulusan Fakultas Seni Rupa dan Desain Institut Teknologi Bandung (ITB), Singgih S Kartono kian popular setelah ciptaannya itu digunakan oleh Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese pada awal bulan ini.

Dalam satu rakaman video di akaun instagram rasmi Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali dengan panggilan Jokowi, beliau mengayuh basikal yang diperbuat daripada buluh hasil ciptaan Kartono di Istana Bogor.

Malah, Kartono, 54, sudah mengetahui bahawa Albanese akan mengayuh basikal buluh ciptaannya itu terlebih dahulu sebelum pemimpin dari negara yang berjiran dengan Indonesia itu berbuat demikian bersama dengan Jokowi.

Presiden negara itu juga menghadiahkan basikal yang diperbuat daripada buluh itu kepada Perdana Menteri tersebut.

Basikal itu dikenali dengan jenama spedagi dan mula diperkenalkan pada tahun 2013.

Kartono yang pernah memenangi pelbagai anugerah itu pernah mengecewakan ibu bapanya apabila dia memutuskan untuk bekerja di kampungnya di Kandangan di Temanggung, Jawa Tengah, pada tahun 1995 ketika berusia 27 tahun.

Mereka menyangka sebagai lulusan Institut Teknologi Bandung yang berprestij, anak mereka akan berusaha untuk menempuh kejayaan di bandar besar itu.

Bagaimanapun, berpegang pada kepercayaannya bahawa kampung-kampung di Indonesia tidak akan maju jika ditinggalkan oleh penduduk yang lebih berpendidikan dan suka mengejar kerjaya di bandar-bandar besar menyebabkannya membuka bengkel di kampungnya sendiri.

Dia juga terkenal dengan ciptaan radio kayu yang diberi nama Magno pada hujung tahun 1990an.

Radio itu mempunyai reka bentuk kayu klasik sehingga menarik perhatian seorang ahli perniagaan dan ahli politik, Rachmat Gobel yang juga Presiden Komisaris PT. Panasonic.

Singgih S. Kartono menunggang basikal buluh ciptannya sejak tahun 2013 di kampungnya di Jawa Tengah. - Foto AFP

Kartono pernah beberapa kali memenangi penghargaan kerana radio tersebut seperti di Seattle Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1997 sehingga membuatkan seorang pereka Jepun tertarik dan mempopularkan produk itu sejak tahun 2004.

Radio itu dijual dengan harga AS$49- AS$56 (RM215.70 - RM246.51) di AS, di Jepun dijual 17,500 yen (RM570.04) dan di Jerman 160-240 euro (RM741.78 - RM1,112.66).

Di Indonesia, ia dijual 1.1 juta rupiah hingga 1.3 juta rupiah (RM325.93 - RM385.19) setiap unit.

Mengutip laman web Spedagi.com, basikal spedagi lulus ujian perjalanan dari Jakarta ke Madiun sejauh 750 kilometer dengan membawa bebanan sebanyak 90 kilogram.

Kartono turut menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk di kampungnya dan menunjukkan bahawa mereka juga boleh memanfaatkan alam sekitar yang terdapat di sekeliling mereka.

"Saya melatih belia di sini yang kurang kemahiran. Kami mempunyai sistem untuk melatih orang yang tidak mahir sehingga mereka boleh mencipta produk yang berkualiti,” katanya seperti dilaporkan oleh AFP.

Nama spedagi itu diberikan sempena gabungan perkataan Indonesia 'sepeda' yang bermaksud basikal dan 'pagi' untuk waktu pagi dan dibina oleh sepasukan 15 pekerja di sebuah bengkel di kampung Kartono di Jawa Tengah di mana dia turut menggunakan basikal tersebut.

Basikal yang digunakan oleh Jokowi dan Perdana Menteri Australia itu dibina dengan alat ganti yang lebih mahal, kata Kartono yang enggan mendedahkan harganya.

Jokowi adalah peminat Spedagi dan pernah membelinya secara peribadi daripada Kartono pada tahun 2015.

Batang buluh yang tumbuh cepat telah dipotong oleh pasukannya yang mencipta basikal tersebut dan ia disalut dengan bahan pengawet dan dikeringkan kemudian dilaminasi sebelum digabungkan dengan bahagian lain untuk memasang rangka basikal tersebut.

Buluh itu sekuat keluli dan kajian telah menunjukkan ia adalah bahan yang sesuai digunakan selain ia juga mesra alam.

Harga spedagi yang sudah siap sepenuhnya dijual sehingga 15 juta rupiah (RM4,443) dan sejumlah basikal buluh itu telah dijual sehingga Jepun, kata pengasas bersama syarikat pengeluar basikal tersebnut, Tri Wahyuni kepada AFP. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca