SEBETULNYA sifat suka memperlekehkan orang lain adalah penyakit sejagat. Sama ada mereka berada di negara maju, sedang membangun atau mundur, penyakit tersebut tetap berlegar dalam kalangan masyarakat.
Sesungguhnya virus itu bukanlah mudah untuk ditangani kerana melibatkan corak pemikiran serta pengurusan hati dalam diri seseorang yang masih waras.
Justeru, sifat waras tersebut menjadi benteng yang kukuh kepada mereka untuk menafikan gejala ‘penyakit’ memperlekehkan orang lain telah sebati di dalam minda dan sanubari mereka.
Berkaitan dengan berpakaian selekeh, sewaktu saya masih bersekolah, rumah saya dikunjungi isteri jiran baharu dari Perak. Apabila sahutan salam disambut oleh arwah emak, terus dibuka pintu rumah dengan senyuman dan berkata, "Seleke masuk ke rumah saya.” (sebutan bahasa Kelantan yang membawa maksud ‘silakan’).
Secara tiba-tiba saya nampak muka tetamu berkenaan berubah air mukanya dan berkata, "Mohon maaflah, saya datang dengan pakaian yang agak selekeh, saya balik dulu untuk tukar pakaian. Insya-ALLAH datang lain kali.”
Mujurlah arwah emak saya cepat faham situasi berkenaan dan terus memberi penjelasan bahawa maksud ‘seleke’ adalah ‘silakan’, bukannya selekeh. Akhirnya, tergelaklah mereka berdua kerana salah faham dan berborak panjanglah mereka berdua pada hari itu.
Sejujurnya, natijah daripada keperibadian yang suka ‘memuja makhluk’ menyebabkan sifat suka memperlekeh menjadi suatu penyakit dalam masyarakat yang tidak berkesudahan.
Secara peribadi, saya sendiri pernah diperlekehkan dengan cara bercakap tidak tengok wajah kita, bersikap acuh tak acuh melayani urusan kita, payah untuk menjawab pertanyaan kita dan tidak fokus dalam kerja buatnya kepada kita.
Salah saya ialah berpakaian tidak kemas (agak selekeh) pada hari berkenaan. Pun begitu, apabila ada seseorang yang mengenali diri saya dan menggunakan laras bahasa, "Dr, ada urusan apa di sini?” Secara 360 darjah individu yang memperlekehkan saya tadi terus melayani dengan begitu santun sekali.
Yang jelas, konsep kasih sayang yang hanya berlegar dalam kalangan mereka menjadi penghalang kepada suburnya kasih sayang secara sejagat. Berkaitan dengan takrif ‘kasih sayang’ daripada Abi Musa al-Asyari: Sesungguhnya aku mendengar Nabi SAW bersabda, "Kamu tidak dianggap beriman sehingga kamu saling menyayangi.”
Para sahabat berkata, "Wahai Rasulullah, kami semua adalah penyayang.” Rasulullah SAW bersabda, "Kasih sayang dimaksudkan bukanlah kasih sayang di antara kalian sahaja, bahkan kasih sayang kepada seluruh manusia dan makhluk.” (Hadis Riwayat Tobrani).
Selain itu, menurut hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda, "ALLAH hanya akan menyayangi hamba yang menyayangi (makhluk-Nya)” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Pada hemat saya, golongan yang masih ada jarak pemisah antara kelompok itu dan ini, mereka sebenarnya masih belum faham makna ketamadunan dan kesejagatan. Lantaran itu, mereka tidak mempunyai wawasan untuk berjaya bersama-sama.
Memetik tulisan Dr Yusof al-Qaradhawi menerusi bukunya Kemanisan Iman, "Kehidupan akhirat yang kekal abadi ialah matlamat bersama yang dikongsi oleh insan. Manakala syaitan yang menghalangnya adalah musuh mereka bersama”.
Akidah Islam tidak membenarkan gejala sentimen perkauman dan bibit-bibit kebangsaan wujud dalam kalangan muslimin. Insan muslim beriktikad bahawa manusia semuanya anak Adam dan Adam berasal dari tanah.
Berlainan bahasa dan warna kulit tidak memberi apa-apa makna selain dari bukti kekuasaan ALLAH SWT.
Justeru, sekiranya kita berasa pahitnya diperlekehkan oleh orang lain, seharusnya kita menjauhi sikap sedemikian.
Jika kita tetap diperlekehkan, tidak perlu bertindak balas dan hanya senyum dengan perlakuan itu kerana mereka hanyalah kelompok kelas ketiga dan belum bertamadun.