BARU-BARU ini saya ada terbaca satu pepatah yang berbunyi, seperti merak mengigal di hutan. Saya tidaklah faham akan maksudnya. Kalau burung merak itu tahulah saya bagaimana jenis dan bentuknya.
Cuma pepatah ini seolah-olah sukar untuk diterjemahkan. Saya ada merujuk kamus Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM). Maka dapatlah saya tahu akan maksudnya. Memang bila difikirkan, menarik juga pepatah ini.
Selain itu, ada juga pepatah yang seakan-akan sama iaitu ‘apa gunanya merak mengigal di hutan’. Walaupun ditambah perkataan ‘apa gunanya’, maksudnya berbeza tetapi tidaklah banyak.
Ada orang apabila bercakap di depan orang lain, suka menggunakan bahasa atau perkataan yang canggih. Terutama sekali bila berdepan dengan orang kampung. Walaupun begitu, tidak semestinya orang kampung tidak tahu kerana mereka ini ada juga yang bijak pandai.
Kadang-kadang dengan anak-anak kecil pun suka bercakap untuk menunjukkan bahawa ilmunya penuh di dada. Ada pakar motivasi memberitahu, kalau hendak nampak yakin dan cerdik ketika bercakap, gunakanlah perkataan yang menyebabkan orang perlu membuka kamus.
Perkataan canggih kadang-kadang bukan senang hendak diingat. Kalau diingat pun susah hendak difahami maksudnya. Apatah lagi bila yang mendengarnya bukan orang yang ahli dalam bidang tersebut.
Kata seorang pakar yang saya sudah lupa namanya, orang yang menggunakan perkataan atau jargon ini sebenarnya cuba untuk menyembunyikan kelemahannya sahaja. Mungkin dia sendiri pun tidak faham akan apa yang dicakapnya.
Berbalik kepada pepatah tadi, burung merak ini sangat cantik. Tetapi yang cantik itu hanya yang jantan sahaja. Bulu merak ini berkilau dengan bermacam-macam warna dan amat memukau kita. Hebatnya ciptaan Tuhan yang Maha Berkuasa.
Cuma, burung merak ini menggunakan kecantikannya hanya untuk memikat si betina sahaja. Dan si betina itu tidaklah berminat untuk melayaninya.
Merak cuba mengigal kepada yang betina. Maksudnya mengigal ialah menegakkan dan membentangkan bulu ekornya. Selain itu, ia juga bermakna menari-nari dengan cuba menunjukkan rupa yang gagah.
Begitulah kebiasaannya orang jantan. Ketika hendak memikat gadis-gadis jelita, mereka akan menunjukkan kehebatannya dan lagak untuk menarik perhatian.
Jika ada yang perutnya boroi, di depan wanita cantik akan ditarik nafasnya sedalam-dalam, cuba untuk mengawal lebihan perutnya itu. Begitulah juga burung merak ini.
Walaupun pun merak itu cantik dan cuba berlagak di depan merak betina, namun apa gunanya jika si betina tidak ambil peduli.
Begitu juga dengan setengah orang-orang yang suka bercakap itu dan ini dengan bahasa yang canggih, tetapi tidak difahami oleh orang ramai apalah gunanya.
Maka, maksud pertama pepatah itu ialah apa guna menunjukkan pengetahuan kepada orang yang bodoh. Tidak akan diambil pedulinya kerana tidak faham apa yang dicakap dan cuba diberitahu.
Maksud pepatah kedua itu lebih kurang sahaja, cuma bezanya orang yang mendengar itu mungkin cerdik pandai tetapi tidak mengambil peduli atau menghargai apa yang diberitahu oleh orang yang bijak pandai lain pula.
Kita rakyat jelata ini sudah ramai yang cerdik pandai. Kita tidaklah boleh diperbodohkan seolah-olah kita ini tidak tahu apa-apa. Walaupun ada yang tidak bersekolah tinggi, tidak bermakna tidak pandai.
Ada ramai orang yang cuba memperbodohkan kita hari ini. Kadang-kadang orangnya nampak segak, berkuasa dan bercakap pun hebat. Tetapi apa yang keluar dari mulutnya, bau sahaja madu, buntut bawa sengat.
Oleh itu, kenalah berhati-hati ketika bercakap terutama yang ada kuasa tetapi lupa dia berkuasa kerana dipilih oleh rakyat jelata.
Rakyat sekarang bukan bodoh. Jika tidak berhati-hati, nanti, apa yang dicakapkan itu jadilah seperti merak, sudah tidak dipedulikan si betina lagi.
Apabila sudah tidak dipedulikan, mereka masuk ke dalam mulut harimau pula, maka tidak dapat berbuat apa-apa lagi.
Klik di sini untuk terus membaca