SHAH ALAM - Penternak mencadangkan agar harga siling baharu ayam ditetapkan ialah tidak lebih RM10.50 selepas kerajaan menarik balik keputusan pengapungan harga ayam dan akan menetapkan harga siling baharu pada Jumaat.
Pengerusi Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor, Idrus Zainal Abidin berkata, kadar RM10.50 adalah harga siling maksimum yang adil bagi pengusaha ayam.
"RM10.50 adalah harga ‘nyaman’ bagi persatuan. Ini diambil kira bersama faktor kenaikan harga pendedak.
"Saya rasa penternak lain juga tidak minta harga siling sehingga RM11 ke RM12. Tapi kami ambil kira pelbagai faktor dan tidak keterlaluan menetapkan harga yang melampau untuk ayam,” katanya kepada Sinar Premium di sini pada Ahad.
Idrus berkata, penternak juga menghadapi pelbagai cabaran terutamanya kenaikan harga dedak-dedak ayam.
"Sekarang ini kami juga kurang tenaga kerja asing. Orang tempatan tidak mahu bekerja di ladang, sementara pekerja asing meminta gaji yang tinggi. Pengguna pula mahukan ayam yang murah.
Selain itu, Idrus berkata, biarlah kuasa permintaan dan penawaran dalam pasaran yang akan menentukan harga ayam.
"Kami sebagai pengusaha juga tidak boleh meletakkan harga ayam terlalu tinggi untuk mengelakkan ia tidak laku. Jadi, biarlah permintaan dan penawaran dalam pasaran yang menentukan.
"Saya percaya pengusaha ayam meletakkan harga berpada-pada. Apa yang penting, kami tidak mahu rakyat rugi dan kami juga tertekan,” katanya.
BILANGAN AYAM BANYAK DI PASARAN
Sementara itu, seorang pengusaha ayam halal, Yani Hardinata Hairuddin, 43, berkata, harga siling yang adil bagi semua termasuk pengguna ialah RM9.90 atau bawah daripada RM10.
"Bagi saya, harga siling yang adil bagi semua ialah RM9.90 atau bawah dari RM10. Jika lebih RM10, orang ramai tidak mahu membeli ayam tersebut. Dalam masa yang sama, penternak boleh membuat duit dengan harga RM6.80 dari reban.
"Harga itu mengikut harga pasaran semasa dengan ayam yang sedang banyak dalam pasaran,” katanya.
Sebagai pengusaha ayam yang mempunyai pengalaman lebih lapan tahun itu, Yani Hardinata berkata, walaupun akan ada harga siling baharu yang akan ditetapkan oleh kerajaan, bilangan ayam dalam pasaran agak banyak.
"Lapan tahun saya berniaga ayam, harga ayam memang akan turun selepas Hari Raya Aidiladha. Ini kerana orang kurang makan ayam dengan adanya daging korban. Oleh itu, harga ayam turun pada kebiasaannya.
"Namun, harga ayam sudah turun 70 sen dalam masa dua minggu ini sebelum raya haji. Sekarang orang sudah tidak berapa hendak makan ayam, jadi membeli atau produksi pengeluaran ayam terlalu meningkat,” katanya.
Tambahnya, tindakan Malaysia menghentikan eksport 3.6 juta ayam sebulan ke Singapura bermula Jun lalu merupakan tindakan yang bernas dan harga ayam yang tinggi akan turun sendiri apabila ayam terlalu banyak dalam pasaran.
"Jika sesuatu barang terlalu banyak, harga turun secara automatik. Oleh itu, tidak perlu ada mekanisme lain. Percaya kepada kuasa permintaan dan penawaran dalam pasaran," katanya.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan akan menaikkan harga siling ayam dan telur manakala subsidi minyak masak peket (1 kilogram) dikekalkan pada 21 Jun lalu.
Bagaimanapun, kerajaan menarik balik keputusan pengapungan harga ayam dan akan menetapkan harga siling baharu, di samping tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air pada Jumaat lalu.
Klik di sini untuk terus membaca