PERANG Karabakh Kedua atau dikenali sebagai ‘Perang Patriotik’ yang tercetus pada 27 September 2020 hingga 10 November 2022, merupakan operasi ketenteraan Azerbaijan untuk mengembalikan wilayah Karabakh yang telah dirampas oleh kerajaan... Klik di sini untuk terus membaca

PERANG Karabakh Kedua atau dikenali sebagai ‘Perang Patriotik’ yang tercetus pada 27 September 2020 hingga 10 November 2022, merupakan operasi ketenteraan Azerbaijan untuk mengembalikan wilayah Karabakh yang telah dirampas oleh kerajaan Armenia ketika Perang Nagorno-Karabakh Pertama (1988-1994).

Azerbaijan semenjak kemerdekaannya daripada Kesatuan Soviet pada Oktober 1991, terpaksa menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan. Antaranya adalah pendudukan tentera Armenia ke atas wilayah Karabakh milik Azerbaijan. Selain itu, pergolakan politik dalaman sehingga hampir meletusnya perang saudara di Azerbaijan.

Bagaimanapun keadaan telah mula stabil apabila Heydar Aliyev dilantik sebagai Pengerusi Majlis Tertinggi Republik Azerbaijan pada 15 Jun 1993. Semenjak itu, 15 Jun diperingati sebagai ‘Hari Keselamatan Negara’ atau National Salvation Day.

Azerbaijan yang terletak di rantau Caucasus Selatan dan bersempadan dengan Laut Caspian di timur, Rusia di utara, Georgia di barat laut, Armenia dan Turki di barat dan Iran di selatan. Baku adalah ibu kota dan bandar terbesar.

Hubungan diplomatik Malaysia-Azerbaijan telah terjalin semenjak 1993 lagi. Malaysia telah menyokong Azerbaijan ketika menghadapi konflik Nagorno-Karabakh. Malaysia menyokong empat Resolusi PBB (UNSC 822, 853, 874, 884) yang telah diterima oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang menuntut pengunduran segera tentera Armenia dari wilayah Azerbaijan dan tanpa syarat.

Pada masa yang sama, Malaysia juga menaja Resolusi 62/243 yang bertajuk ‘Situasi di Wilayah-wilayah Pendudukan Azerbaijan’ ketika Sesi ke-62 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada 14 Mac 2008.

Deklarasi Bersama mengenai Hubungan Persahabatan dan Kerjasama antara Azerbaijan dan Malaysia ditandatangani, di mana melalui Deklarasi ini kerjasama di antara kedua-dua negara dalam sektor tenaga dan cari gali diperkukuhkan. Petronas terlibat secara aktif dalam industri minyak dan gas Azerbaijan.

MEMBANGUNKAN SEMULA NAGORNO-KARABAKH

Perang Patriotik 44 hari, telah menamatkan pendudukan hampir 30 tahun oleh Armenia di sebahagian daripada wilayah Azerbaijan yang diiktiraf antarabangsa, Azerbaijan memulihkan integriti wilayahnya, memenuhi keperluan kedua-dua resolusi yang berkaitan Majlis Keselamatan PBB, serta pelbagai resolusi yang dikeluarkan oleh OIC.

Selepas pembebasan Nagorno-Karabakh daripada pendudukan Armenia, Azerbaijan memulakan usaha pembinaan semula secara besar-besaran. Proses pembinaan semula ini termasuk rancangan untuk membangunkan semula kawasan Nagorno-Karabakh, memastikan kepulangan mangsa pelarian dengan selamat, menyediakan projek kebajikan dan ekonomi untuk semua penduduk, termasuk orang Armenia, serta memulakan semula pusat kebudayaan dan sejarah.

Kerajaan Azerbaijan telah membina Lapangan Terbang Antarabangsa Fuzuli dalam tempoh lapan bulan dan dirasmikan oleh Presiden Azerbaijan, Presiden Ilham Aliyev bersama Presiden Turki, Presiden Tayyip Erdogan.

Selain itu, jalan raya di wilayah Karabakh kini sedang dibina supaya kemudahan infrastruktur membolehkan mangsa pelarian kembali.

Presiden Ilham Aliyev mempunyai rancangan untuk membangunkan wilayah Karabakh sebagai kawasan warisan bagi penduduk Muslim dan bukan Muslim. Kawasan itu berpotensi untuk dibangunkan sebagai kawasan kebudayaan dan pelancongan.

Sejajar itu, projek-projek utama sedang dilaksanakan di bandar Shusha, Karabakh, Azerbaijan, termasuk pemulihan makam penyair Molla Panah Vagif, dan muzium rumah penyanyi ulung Azerbaijan Bulbul dan komposer Uzeyir Hajibeyli serta pemulihan sejarah, pusat keagamaan dan monumen seni bina Islam.

Di samping itu, kerajaan Azerbaijan dengan kerjasama Turkiye sedang berusaha membangunkan Koridor Ekonomi Zangazur yang berperanan sebagai penghubung antara rantau Selatan Caucasus dengan korridor ekonomi lain seperti Belt and Road Initiative (BRI) China, Turkey’s Middle Corridor dan European Silk Road.

Azerbaijan kini melabur dana kewangannya untuk mentransformasikan wilayah Karabakh menjadi bandar pintar dan kampung pintar.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Profesor Madya di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca