DESAS-desus Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan tidak berapa lama lagi sudah kedengaran. Gendang sudah berbunyi walaupun tarikh luputnya adalah 16 Julai 2023. Ramalan tarikh PRU juga semakin dibisikkan di sana sini, walaupun ia... Klik di sini untuk terus membaca

DESAS-desus Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan tidak berapa lama lagi sudah kedengaran. Gendang sudah berbunyi walaupun tarikh luputnya adalah 16 Julai 2023.

Ramalan tarikh PRU juga semakin dibisikkan di sana sini, walaupun ia kuasa mutlak Perdana Menteri dan perakuan Yang Di-Pertuan Agung. Ada yang sudah mengadakan latihan kepimpinan, gerakan berkempen dan mendalami pendekatan untuk berdamping dengan pengundi setempat.

Walaupun begitu, ada segelintir yang masih memainkan isu lama dan cara kerja yang dianggap bertentangan dengan arus perubahan yang sedang berlaku.

Pembunuhan karakter nyata masih menjadi bahan utama untuk serangan ke atas musuh politik. Berita palsu menjadi hebahan berterusan untuk mengurus persepsi pengundi. Wajarkah ia masih digunakan ketika kita dahagakan kematangan berpolitik?

Bagaimanakah kita mahu mewariskan sebuah negara yang kedaulatannya tidak tercalar, penghuninya memahami keperluan menghormati dan menerima kewujudan kepelbagaian ideologi politik tanpa perlu bertindak keterlaluan atau taksub dengan sikap emosi berlebihan.

Adakalanya, kita melihat sebahagian menggunakan pelantar penyaluran informasi untuk sebar dan mendekati kumpulan sasar tertentu dengan cara sendiri termasuk penyampaian kandungan di pelantar tersebut yang penuh dengan penipuan, fitnah, berita palsu dan mengaibkan serta cacian semata-mata untuk memenangi hati pengundi.

Pujukan dan rayuan juga tidak ketinggalan. Apakah ini satu konspirasi untuk membelakangkan politik nilai dan politik budi? Di manakah politik bermoral, hemah dan kesediaan untuk meyakinkan dengan idea, fikiran dan model baharu yang berteraskan agenda rakyat dari agenda sendiri.

Penyebaran maklumat atau informasi yang mencurigakan bukan baharu. Namun, dengan perubahan teknologi dan kecanggihan peralatan yang memudahkan komunikasi antara pemimpin dan pengikut; pemimpin dan pemimpin; pengikut dan pengikut; masing-masing cuba sebar luas dalam carian pengikut agar sokongan dapat memudahkan mendapat mandat.

SURAT LAYANG

Dahulu, sebaran ini dilakukan dengan skil tersendiri kerana keterbatasan ruang dan peluang. Khabar angin dan surat layang adalah instrumen yang popular di masa itu.

Hari ini, skil berkenaan masih sama, cuma ekosistemnya sudah berubah. Persekitaran yang memudahkan perhubungan politik menyebabkan apa sahaja cara diguna pakai demi meraih sokongan.

Politik nilai mesti diangkat secara menyeluruh agar generasi akan datang memahami dan memberi maksud serta makna ke atas pencarian politik yang rasional dan praktikal bersesuaian dengan kehadiran golongan remaja dalam kancah pilihan raya.

Demokrasi bukan sekadar membuka ruang untuk kita menggunakan kebebasan dalam terlibat bersama ke atas pembentukan kerajaan. Ia juga adalah politik berpartisipasi. Ada yang menamakan demokrasi bersifat palsu kerana demokrasi bukan sekadar terlibat di hari PRU.

Demokrasi juga mahukan kepimpinan berkualiti menerajui sesebuah negara. Usaha memantapkan demokrasi boleh dilakukan dengan bergerak ke arah politik nilai.

Cerminan karakter mulia yang memastikan prinsip politik nilai dipertahankan dengan menyanggah amalan songsang yang tidak dikongsi majoriti akan membolehkan demokrasi diteropong dengan lensa berbeza.

Politik kelas satu memerlukan masyarakat bermentaliti kelas pertama. Walaupun infrastruktur negara adalah seiring dengan pemodenan, kemajuan fizikal, ia harus dilengkapi dengan nilai dalaman masyarakat yang menghuni negara tersebut.

Masyarakat kelas pertama adalah yang berliterasi tinggi dalam politik dan ada ilmu, kemahiran dan kebolehan kreatif diselaputi dengan keperibadian mulia kepimpinan yang boleh diteladani yang lain dan menjadi pemangkin kepada ‘politik bersih’ sebagai telapak baharu dalam warna-warni politik yang semakin menjadi saingan dalam suasana politik mutakhir tanah air hari ini.

*Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah profesor di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca