SHAH ALAM - Susulan cadangan bekas Menteri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz supaya elaun dan gaji menteri kabinet dipotong bagi menunjukkan empati terhadap rakyat yang bergelut dengan cabaran krisis ekonomi, lebih ramai tampil menyatakan kesediaan untuk berbuat demikian.
Pada Jumaat, Menteri Pelancongan dan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bersedia sekiranya diarahkan.
Bagi Nancy menerusi reaksi ringkasnya berkata, beliau tidak pernah menolak sekiranya ia merupakan keputusan daripada kerajaan.
Bagaimanapun, beliau menyatakan cadangan tersebut sebaiknya mendapat pandangan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
"Tanya Menteri Kewangan, sebab dia tahu keadaan sebenarnya seperti kewangan. Mudah untuk dia bercakap daripada saya,” katanya.
Bagi Mas Ermieyati pula, pemotongan gaji atau elaun barisan menteri dan timbalan menteri bukanlah perkara baharu berikutan pelaksanaan itu juga pernah dibuat beberapa kali seperti tidak mengambil gaji selama tiga bulan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membantu mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
"Saya yakin rakan-rakan kabinet yang lain juga mempunyai pemikiran sama dan mereka pastinya tidak ada halangan kerana semuanya memang sangat mengambil berat terhadap rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi turut menyuarakan perkara sama dan tiada masalah jika kerajaan mahu memotong gajinya sekali lagi bagi meringankan dan mengawal perbelanjaan kerajaan.
"Selama 27 bulan menjawat jawatan dalam kerajaan sejak Mac 2020, menteri dan timbalan menteri pernah mengalami fasa tidak bergaji selama lima bulan,” ujarnya.
Terbaharu pada Sabtu, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Muslimin Yahaya berkata, jika pemotongan gaji dan elaun dilaksanakan bagi menambah tabungan negara beliau bersedia melakukannya.
"Jika perlu menambah tabungan negara, saya sanggup dan tiada masalah,” jelasnya.
Sementara itu pada petang Sabtu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed bersetuju sekiranya semua menteri dan timbalan menteri melaksanakan pemotongan tersebut.
"Kalau semua setuju, saya bersedia (setuju). Apa yang penting keputusan itu mesti diselaraskan,” katanya.
Bagaimanapun, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid menjelaskan saranan pemotongan gaji dan elaun menteri sebanyak 20 peratus bukan jalan penyelesaian sepenuhnya untuk membantu rakyat yang kini sedang bergelut mendepani cabaran krisis ekonomi.
Ujar beliau, masih ada kaedah yang lebih berkesan untuk digunakan bagi menangani kenaikan kos sara hidup rakyat.
Menurutnya, pelbagai usaha kini sedang dilakukan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama menteri-menteri terlibat termasuk mengadakan mesyuarat khas dua kali seminggu untuk membincangkan tentang perkara tersebut.
"Mereka ini akan duduk mesyuarat seminggu dua kali bagi membincangkan hal yang berbangkit dan memberi jalan penyelesaian seperti yang diumumkan Perdana Menteri mengenai tiada kenaikan tarif elektrik dan harga pasaran ayam yang tidak akan diapungkan.
"Sehingga kini pun kerajaan masih memberi subsidi petrol RON95 kepada rakyat dengan harga RM2.05 seliter. Ini adalah antara langkah dan keputusan yang diambil kerajaan agar tidak membebankan rakyat,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca