SHAH ALAM - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, mengesahkan tiada lagi pemimpin yang bakal dilantik sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) selepas bekas Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil, diangkat... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, mengesahkan tiada lagi pemimpin yang bakal dilantik sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) selepas bekas Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil, diangkat ke jawatan itu.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menegaskan, ia kerana Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah mengisi kuota 13 Ahli MKT yang boleh dilantik beliau seperti termaktub dalam perlembagaan parti itu.

Kenyataan Ahmad memberi bayangan bahawa tiada lagi Ahli MKT UMNO akan dipecat dalam masa terdekat bukan seperti didakwa oleh bekas Setiausaha Agung BN merangkap Ahli Parlimen Keterah, Tan Sri Annuar Musa, pada Jumaat lalu.

"Setakat ini, pelantikan sudah penuh kerana Presiden UMNO hanya melantik 13 Ahli MKT seperti mengikut Perlembagaan UMNO.

"Jadi apabila terdapat satu kekosongan berikutan pemberhentian Datuk Seri Tajuddin (Abdul Rahman), maka kita lantik seorang,” kata Ahmad ketika dihubungi wartawan Sinar Premium.

Keratan akhbar Sinar Harian pada Sabtu.

Terdahulu, Annuar yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh, memberi bayangan terdapat beberapa lagi pemecatan individu dalam parti itu.

Ia susulan daripada pengguguran Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin sebagai ahli MKT, pada Khamis.

Media sebelum ini melaporkan, Tajuddin dipecat daripada jawatan selaku ahli MKT oleh Presiden UMNO, berkuat kuasa serta-merta sejak Selasa lalu.

Pemecatan Tajuddin sebagai Ahli MKT pastinya memeranjatkan banyak pihak kerana beliau baharu sahaja dilantik sebagai Duta Besar Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, pada bulan lalu.

Ia juga memberi isyarat kepada pimpinan parti tersebut yang dilihat tidak sebulu dengan Ahmad Zahid supaya lebih berhati-hati dan tidak menerima nasib sama dengan Tajuddin serta berkemungkinan besar tidak diangkat menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ahmad bagaimanapun berkata, Presiden UMNO membuat keputusan menggugurkan nama Tajuddin sebagai Ahli MKT bertujuan membolehkan Ahli Parlimen Pasir Salak itu menumpukan sepenuh perhatian kepada tugasnya selaku Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

Jelasnya, Tajuddin sebagai Duta Besar perlu menetap di Indonesia dan menghabiskan lebih banyak masa melaksanakan pelbagai tugasnya di republik berkenaan berbanding di Malaysia.

"Kerja Duta Besar ke Indonesia memerlukan seseorang itu menumpukan perhatian penuh, duduk di rumah dan pejabat kedutaan Malaysia di Jakarta, bukan boleh dilakukan secara sambilan.

"Isham Jalil pula dilantik kerana beliau bukan hanya memiliki kepakaran dan pengaruh tersendiri di media sosial yang membolehkan beliau memainkan peranan dan tanggungjawab selaku ahli MKT dengan lebih berkesan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca