SHAH ALAM - Satelit ke-10 milik negara, Measat-3d berjaya diletakkan di laluan orbit yang dikehendaki dan berada dalam keadaan baik. Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MySA), Azlikamil Napiah berkata, ia berdasarkan pemerhatian... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Satelit ke-10 milik negara, Measat-3d berjaya diletakkan di laluan orbit yang dikehendaki dan berada dalam keadaan baik.

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MySA), Azlikamil Napiah berkata, ia berdasarkan pemerhatian teknikal oleh pihak Pusat Kajian Angkasa Negara (CNES) dan Measat yang mengendalikan pelancaran satelit tersebut pada Khamis.

"Alhamdulillah, berdasarkan pemerhatian teknikal oleh pihak CNES dan Measat yang mengendalikan pelancaran tempoh hari, satelit Measat-3d telah berjaya diletakkan di orbit yang dikehendaki dan berada dalam keadaan baik.

"Sungguhpun begitu, pada ketika ini, beberapa aktiviti teknikal sedang dijalankan bagi memastikan kedudukan satelit di orbit berkenaan dapat diperkemas atau fine tune agar operasi satelit boleh dimulakan seperti mana yang dirancang,” katanya kepada Sinar Ahad pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selepas melaksanakan aktiviti teknikal pada satelit berkenaan, percubaan operasi bagi satelit tersebut akan dilakukan terlebih dahulu sebelum ia boleh beroperasi sepenuhnya.

"Seterusnya, satelit akan melalui tempoh percubaan operasi selama sekitar sebulan, sebelum beroperasi sepenuhnya,” ujarnya.

Pada Khamis lalu, Satelit Measat-3d yang dianggar melibatkan kos RM1.2 bilion itu dilancarkan di Pusat Angkasa Lepas Eropah Kourou, French Guiana, Amerika Selatan pada jam 5.03 pagi hingga 6.43 pagi waktu Malaysia.

Satelit dengan jangka hayat 18 tahun tersebut, merupakan jenis Geostationary Equatorial Orbit atau GEO mempunyai tapak liputan yang luas dan kemampuan untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar pantas serta menyokong aliran tinggi data dikenali sebagai High Throughput Satellite (HTS).

Klik di sini untuk terus membaca