PADA tahun 2019, saya pernah menulis mengenai profesion guaman syarie apabila Akta Profesion Guaman Syarie (Wilayah Persekutuan) 2019 diluluskan. Diberitakan hanya pada 22 Jun 2022 akta tersebut dikuatkuasakan. Peguam Syarie Wilayah kini... Klik di sini untuk terus membaca

PADA tahun 2019, saya pernah menulis mengenai profesion guaman syarie apabila Akta Profesion Guaman Syarie (Wilayah Persekutuan) 2019 diluluskan. Diberitakan hanya pada 22 Jun 2022 akta tersebut dikuatkuasakan. Peguam Syarie Wilayah kini dalam proses transisi pasca akta tersebut.

Dijangkakan dalam masa terdekat Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan akan memanggil mesyuarat bagi para peguam syarie memilih jawatankuasa yang akan menduduki Majlis Peguam Syarie Wilayah Persekutuan.

Pada awalnya, profesion guaman syarie diamalkan oleh peguam bela dan peguam cara sahaja. Dalam erti kata lain hanya peguam sivil sahaja yang dibenarkan beramal di mahkamah sivil dan mahkamah syariah.

Namun begitu umum menyedari bahawa graduan syariah juga berkemahiran dan mempunyai ilmu di dalam bidang syariah dan boleh membantu mahkamah syariah untuk membuat keputusan yang adil berdasarkan Hukum Syarak.

Menyedari hakikat itu, usaha dilakukan untuk mengiktiraf lulusan syariah di dalam dan luar negara bagi menjadi peguam syarie. Oleh hal yang demikian, negeri-negeri mula menggubal Kaedah Peguam Syariah bagi mengiktiraf orang berkelayakan untuk menjadi peguam syarie.

Berdasarkan kaedah itu, kebanyakan negeri mula mengiktiraf peguam bela dan peguam cara sebagai peguam syarie di samping menerima lulusan syariah sebagai peguam syarie dengan syarat tertentu seperti memiliki Diploma Lanjutan Syariah dan Amalan dan sebagainya.

Apabila telah mula ramai diterima masuk sebagai peguam syarie timbul pula keperluan untuk mengadakan suatu badan khusus mengawal selia peguam syarie melalui akta/enakmen dan menubuhkan suatu badan bebas peguam syarie yang dikendalikan sepenuhnya oleh peguam syarie sebagaimana peguam bela dan peguam cara. Apatah lagi tidak ada badan khusus yang memantau peguam syarie.

UNDANG-UNDANG SERAGAM

Peguam syarie juga tidak dapat membuka akaun pemegang taruh bagi menyimpan wang anak guam. Beberapa orang peguam seperti Muhammad Burok, Daud Darus, Mohd Zaidi Zain, Mohd Isa Ralip, Musa Awang, Abdul Halim Bahari dan saya sendiri berbincang untuk mewujudkan wadah peguam syarie.

Keperluan itu sangat perlu kerana tidak ada wadah yang sama untuk peguam syarie.

Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak Sivil dalam persidangannya di Negeri Terengganu telah memutuskan keperluan ini dan telah menggarap beberapa tindakan ke arah itu.

Idea asal adalah untuk mewujudkan suatu undang-undang di peringkat kebangsaan dan Majlis Peguam Syarie di peringkat nasional. Ia dikatakan boleh dilakukan kerana matan perkara adalah ‘peguam’ yang terjatuh di dalam senarai Persekutuan.

Namun begitu dikatakan negeri boleh meminta untuk mengadakan undang-undang seragam bagi peguam syarie. Sekurang-kurangnya dua buah negeri mesti membuat permintaan tersebut melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Oleh itu, PPMM dan PGSM telah mengusahakan mendekati DUN bagi membuat permintaan tersebut. Hasilnya DUN Melaka telah membuat permintaan tersebut walau bagaimanapun tiada negeri lain yang membuat permintaan yang sama. Dalam hal itu metodologi tersebut tidak boleh digunakan.

Dalam hal ini Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak Sivil Jakim telah membentuk suatu jawatankuasa khas yang diketuai oleh Datuk Sulaiman Daud dan saya sebagai anggotanya untuk mengubah kaedah tersebut kepada bentuk akta sepenuhnya dengan mengambil kira pindaan kepada Akta Profesion Undang-Undang 1976.

Jawatankuasa itu juga telah selesai menggubal akta tersebut dengan mewujudkan beberapa badan tertentu dan proses mengambil tindakan tatatertib terhadap peguam syarie.

Pasca akta ini diharapkan peguam syarie khususnya di Wilayah Persekutuan akan menjadi lebih cemerlang efisien dan profesional. Walaupun mungkin akan terdapat kenaikan berkaitan dengan kos peguam syarie kelak, namun natijah kebaikannya mudah-mudahan dapat dinikmati oleh litigan di mahkamah syariah kelak.

Kebebasan peguam syarie yang boleh berdiri sendiri tanpa dinaungi oleh pihak lain sama ada majlis agama ataupun mahkamah sangat penting bagi mewakili anak-anak guam tanpa gentar dan berkepentingan.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca