MAAF kalau saya silap. Saya yakin mana-mana kerajaan pun, khususnya yang masuk ikut pintu belakang macam kerajaan Malaysia yang ada hari ini, tentulah tidak mahu potong subsidi kepada rakyat. Takkanlah Perdana Menteri UMNO/BN, Datuk Seri... Klik di sini untuk terus membaca

MAAF kalau saya silap. Saya yakin mana-mana kerajaan pun, khususnya yang masuk ikut pintu belakang macam kerajaan Malaysia yang ada hari ini, tentulah tidak mahu potong subsidi kepada rakyat.

Takkanlah Perdana Menteri UMNO/BN, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dan segala Menteri serta Timbalan Menteri yang ramai itu tidak ada hati perut dan hanya berfikir tentang tembolok sendiri saja?

Mereka pun manusia juga. Tentu mereka faham dan bersimpati dengan kesusahan rakyat jelata. Lagi pun mereka tentu hendak menang pilihan raya dengan sokongan rakyat.

Tapi nampak seolah-olah kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ ini tidak ada duit atau kekurangan duit sehingga terpaksa berjinak-jinak dengan cadangan menarik balik subsidi, menamatkan pelepasan cukai dan menaikkan tarif utiliti.

Hanya kerana maklum balas yang negatif daripada orang ramai, khususnya melalui media sosial, menyekat kerajaan daripada meneruskan cadangan tersebut. Itu pun mungkin buat sementara sahaja.

Kalau betul kerajaan tidak cukup duit macam diramalkan oleh sesetengah ahli ekonomi, kita berhak tahu apa puncanya. Adakah ia disebabkan oleh kutipan hasil yang berkurangan atau kerana berbelanja dengan terlalu boros dan terpaksa tanggung beban hutang yang semakin berat?

Laporan media membayangkan hutang terkumpul kerajaan pusat tahun ini dianggarkan sebanyak RM1.2 trilion (RM1,200,000,000,000). Kalau dicampurkan jaminan yang dibagi kepada agensi kerajaan, GLC dan GLIC untuk hutang mereka, jumlah itu lebih tinggi.

Ambil contoh hutang 1MDB sudah cukup membuktikan kesan buruk hutang ke atas kewangan negara. Mengikut Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, baki hutang 1MDB hingga tahun ini masih ada RM38.8 bilion.

Dalam kenyataan kepada Parlimen pada 17 Mac lalu, Tengku Zafrul kata, baki duit curi 1MDB yang kita dapat balik adalah RM15.76 bilion. Ini tidak pun cukup untuk bayar balik pokok dan faedah hutang 1MDB bagi tahun ini. Kekurangan sebanyak RM1.53 bilion terpaksa ditampung oleh kerajaan.

Bayangkan kalau hutang 1MDB ini tidak ada. Kerajaan mempunyai RM17.29 bilion untuk dibelanjakan ke atas rakyat jelata tahun ini. Tetapi inilah najis skandal 1MDB yang dibebankan ke atas kita dan anak cucu kita.

Memang betul ekonomi kita telah mula pulih daripada pandemik Covid-19 sejak tahun lalu macam kata ahli ekonomi kanan Bank Dunia, Apurva Sanghi, dalam analisisnya baru-baru ini.

KERETA MEWAH PAKAI MINYAK SUBSIDI

Dia kata, ekonomi Malaysia sedang berkembang dengan agak baik dalam menghadapi cabaran global. Dinilai daripada sudut makro, meso (pertengahan) dan mikro, dia meramalkan kadar pertumbuhan 5.5 peratus tahun ini.

Kita janganlah seronok sangat dengan ramalan dan perangkaan kasar seumpama itu. Sebaliknya kita kena bagi perhatian kepada pembahagian kekayaan negara yang semakin tidak seimbang. Di sinilah subsidi, kawalan harga dan pembendungan inflasi boleh membantu pembahagian kekayaan dengan lebih adil dan meringankan beban golongan miskin.

Adalah amat hodoh dan menyakitkan hati melihat orang kaya dengan kereta mewah berharga jutaan ringgit berlumba ke hulu hilir menayangkan kenderaan mereka dengan menggunakan minyak subsidi.

Akibat kenaikan pesat harga minyak mentah sekarang, subsidi petrol tahun ini dianggarkan berjumlah RM28 bilion berbanding RM11 bilion tahun lalu. Ini adalah sangat besar dan kebanyakannya dinikmati oleh orang kaya dalam kumpulan T20.

Selain menyusun semula subsidi petrol, kita semua boleh membantu proses penjimatan perbelanjaan negara kalau kerajaan sendiri bersedia menunjukkan contoh dan teladan dengan mengurangkan perbelanjaan Kabinet dan perkhidmatan awam.

Tetapi kerajaan nampaknya sangat liat untuk membuat pengorbanan. Sebaliknya, sebaik saja ekonomi menunjukkan pemulihan ada saja pihak yang menaikkan gaji atau menuntut kenaikan gaji.

Kesimpulannya, kalau kerajaan mahu rakyat jelata berkorban dengan menerima pengurangan subsidi, Perdana Menteri, menteri-menteri dan timbalan menteri kenalah mula dulu. Mereka kena tunjuk teladan yang baik bukan jadi ketam yang menyuruh anak berjalan lurus.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca