SERANGAN Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan perdana menteri paling lemah dalam sejarah UMNO tidak lebih daripada strategi ‘to keep the ball rolling’... Klik di sini untuk terus membaca

SERANGAN Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan perdana menteri paling lemah dalam sejarah UMNO tidak lebih daripada strategi ‘to keep the ball rolling’ fraksi tertentu dalam Umno.

Majoriti rakyat faham ia agenda untuk mendesak pilihan raya umum lebih awal dan mengeluarkan Ismail Sabri daripada jawatan Perdana Menteri pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun dakwaan picisan itu boleh menjadi besar jika diulang-ulang berdasarkan peristiwa-peristiwa lain pada masa akan datang.

CABARAN MENGURUSKAN DASAR

Dalam keadaan politik menghasut lebih mendapat sambutan berbanding politik memulihkan negara, maka kerajaan juga harus ada kebijaksanaan dan keberanian untuk menerangkan serta bertindak.

Cabaran ekonomi hari ini bukan eksklusif kepada negara kita sahaja. Seluruh dunia berhadapan masalah inflasi.

Malangnya sebahagian rakyat tidak merasai masalah bahagian lain dunia dan beranggapan negara kita sahaja berhadapan semua masalah ini. Justeru tanggapan yang dibentuk ini adalah kegagalan pentadbiran Ismail Sabri.

Ini harus diperbetulkan. Harus ada kebersamaan antara kerajaan dan rakyat untuk berhadapan inflasi dan cabaran ekonomi global pasca pandemik Covid-19.

Untuk rakyat bersama kerajaan, kepimpinan Ismail Sabri harus dilihat ada idea dan strategi yang jelas dalam menguruskan ekonomi negara.

Penggunaan wang negara yang terlalu banyak untuk subsidi barangan dan bahan api akan menyebabkan ekonomi kita tidak berdaya saing, merencatkan pertumbuhan dan akhirnya negara terpaksa meminjam hanya untuk memberi subsidi.

Idea kerajaan pada masa ini ialah mengadakan pelarasan subsidi bagi mengurangkan beban kewangan dan ketirisan, serta memberi bantuan langsung kepada rakyat yang memerlukan.

HUKUM PENAWARAN PERMINTAAN

Langkah itu akan membolehkan pasaran bertindak secara rasional atas hukum penawaran dan permintaan dalam menentukan harga. Ini akan mendorong rakyat berbelanja dengan berhemah sekali gus mengurangkan tekanan inflasi.

Dalam garis idea ini, rakyat berpendapatan rendah juga tidak akan terjejas berikutan bantuan dapat diberikan secara langsung bagi menampung kenaikan harga barang.

Bagaimanapun kelemahan pelaksanaan idea ini ialah kerajaan menguruskan isu subsidi secara mikro dan terpisah. Isu subsidi harga ayam, telur ayam dan minyak masak tidak ditangani secara bersama dengan subsidi-subsidi lain yang turut mempengaruhi keselesaan hidup rakyat seperti tenaga elektrik, air dan petrol.

Lebih mengejutkan bertentangan dengan jangkaan bahawa kerajaan hanya akan menaikkan harga siling yang berpatutan ke atas ayam dan telur ayam, kawalan harga dihapuskan terus.

Daripada mengejutkan ia jadi melucukan. Berhadapan serangan media sosial dan pimpinan politik, kerajaan kemudian menukarkan kepada kaedah penetapan kawalan harga siling, tanpa menunggu untuk melihat bagaimana pasaran bertindak pada 1hb Julai nanti.

Berhadapan kritikan ini, kerajaan turut mengumumkan tiada kenaikan elektrik dan air yang telah beberapa kali berhadapan penangguhan pelarasan kadar.

Tidak salah membetulkan polisi yang dibuat. Namun pembetulan harus bersandarkan angka dan fakta, bukannya kerana kritikan dan persepsi.

Dalam hal menangani masalah inflasi dan beban subsidi ini kerajaan telah melepaskan satu peluang membetulkan struktur ekonomi negara secara keseluruhan.

Pandangan penulis, kerajaan harus membuat pelarasan secara serentak atas semua subsidi keperluan pengguna merangkumi makanan, bahan api (gas dan petrol), air dan elektrik.

Pelarasan ini harus diikuti bantuan secara langsung kepada kumpulan B40 dan pelarasan cukai pendapatan besar-besaran kepada kumpulan M40.

Justeru satu-satunya keutamaan yang perlu ada dalam pentadbiran Ismail Sabri hari ini adalah untuk menguruskan negara dengan keberanian dan kebijaksanaan, agar rakyat dapat melihat inilah kepimpinan yang boleh menerajui negara untuk jangka masa panjang.

Kerajaan dan rakyat perlu berada dalam satu pasukan yang sama untuk memulihkan ekonomi negara dan meningkatkan indeks keselesaan rakyat.

* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca