SHAH ALAM - Orang ramai mempersoalkan tindakan segelintir pemilik kedai dan pasar raya yang tidak mengehadkan pembelian minyak masak peket subsidi sehingga menyebabkan kekurangan bekalan dalam pasaran.
Pekerja swasta, Ayuni Razali, 26, berkata, dia sebelum ini pernah mengunjungi beberapa buah pasar raya untuk membeli minyak masak berkenaan tetapi kesemuanya telah kehabisan stok.
"Saya pernah melihat ada pelanggan yang memborong minyak masak peket penuh satu troli.
"Saya sendiri pun tidak faham bagaimana pelanggan tersebut boleh membeli sebegitu banyak tanpa dihalang oleh pekerja pasar raya tersebut,” katanya.
Suri rumah, Rosni Osman, 56, turut mengakui pernah berdepan situasi sama yang mana ada segelintir pekerja pasar raya tidak menegur pembeli yang membeli minyak masak melebihi dua peket.
"Mereka sepatutnya tegur tidak boleh pilih kasih dengan pelanggan. Ini penting bagi membuatkan pembeli mendapat bekalan sama rata.
"Kita semua tahu rakyat semakin merasakan kenaikan harga barang, ditambah lagi kekurangan stok pada masa ini.
"Minyak masak adalah keperluan asas yang amat penting pada semua keluarga apatah lagi untuk peniaga,” ujarnya.
Seorang jurutera, Muhammad Fauzi Jais, 32, berkata, kerajaan harus segera menangani isu minyak masak tersebut kerana ia menjejaskan ramai pengguna khususnya peniaga kecil.
"Harga minyak masak melambung bukan lagi isu baharu. Ini berlaku akibat daripada kekurangan bekalan minyak masak yang kerap diseludup ke negara jiran dan peruncit yang menyimpan stok untuk dijual pada harga lebih tinggi.
"Kerajaan wajar mengambil langkah proaktif untuk memberikan hukuman yang lebih berat kepada pihak bersalah.
"Pengguna juga patut membuat laporan kepada pihak berkuasa jika ada pemborong yang mencurigakan menjual minyak masak kepada pihak tertentu sahaja,” menurutnya.
Seorang kerani, Muhammad Iskandar Jasni, 22, berkata usaha mengatasi perkara itu perlu dilakukan semua pihak bukan hanya terletak di bahu kerajaan.
"Semua main peranan jangan dibiar berterusan supaya pengguna tidak terus menjadi mangsa,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca