SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk mengambil tindakan tegas dengan tidak membenarkan penjualan minyak peket secara dalam talian yang dijual melebihi harga siling ditetapkan. Timbalan Pengerusi Persatuan Peniaga Petaling Jaya, Zambri... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk mengambil tindakan tegas dengan tidak membenarkan penjualan minyak peket secara dalam talian yang dijual melebihi harga siling ditetapkan.

Timbalan Pengerusi Persatuan Peniaga Petaling Jaya, Zambri Shahbhari berkata, perkara tersebut adalah sama sekali dilarang dan memberi bebanan kepada rakyat terutama golongan yang memerlukan.

"Saya amat berharap kerajaan melakukan tindakan segera. Jangan benarkan mereka ini jual minyak masak peket dengan harga yang mahal. Kalau tidak, perkara ini akan terus berleluasa.

"Apabila ia dijual dengan harga yang mahal, kemudian di kedai pula susah untuk jumpa. Jadi, golongan B40 ini tiada pilihan. Ada antara mereka terpaksa juga membeli dengan harga yang ditetapkan. Oleh itu, ia membebankan golongan ini.

"Perkara ini tidak boleh berlanjutan. Kalau berlanjutan, ia menyebabkan minyak peket ini lebih sukar untuk didapati di kedai runcit dan pasar raya kerana akan dijual secara dalam talian,” katanya.

Mengulas mengenai isu tersebut, Zambri berkata, ia merupakan perbuatan yang melampaui batas dan perlu dikenakan tindakan tegas.

"Peniaga dalam talian ini sepatutnya dipantau oleh pihak berkuasa. Kalau tidak, ia akan menjadi lebih parah. Yang akan terima kesan adalah pengguna,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan pembeli agar membandingkan harga terlebih dahulu sebelum membeli sesuatu barangan meskipun dalam keadaan terdesak.

"Pembeli perlu bijak. Kita jangan beli daripada mereka yang menjual barangan mahal ini. Kita perlu buat perbandingan harga. Kemudian, kalau jumpa harga yang lebih murah, beli lebih sedikit.

"Pembeli juga perlu laporkan kepada KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) sekiranya mengetahui berkaitan perkara ini agar tindakan lanjut dikenakan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca