SHAH ALAM - Peniaga dalam talian didapati mengaut keuntungan berganda apabila memanipulasi harga minyak masak peket subsidi dengan menjual barang kawalan itu secara pakej bersama produk lain. Tinjauan yang dilakukan Sinar Harian di platform... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Peniaga dalam talian didapati mengaut keuntungan berganda apabila memanipulasi harga minyak masak peket subsidi dengan menjual barang kawalan itu secara pakej bersama produk lain.

Tinjauan yang dilakukan Sinar Harian di platform pembelian terkenal mendapati, ada peniaga yang menjual minyak masak peket subsidi lima kilogram (kg) bersama dua peket mi segera dan satu peket minuman coklat dengan harga RM50.

Mengambil kira penjualan tersebut, peniaga telah mengaut keuntungan sekitar RM11.70, tidak termasuk caj perkhidmatan dan penghantaran.

Berbeza pula di platform pembelian lain di mana minyak masak peket bagi enam kg dijual bersama dua pek keropok pada harga RM28.60.

Ada juga yang menjual minyak masak peket bagi lima kg bersama satu peket mayonis (satu kg) pada harga RM30.90, manakala minyak masak (tiga kg) bersama cecair pencuci pinggan pada harga RM15.20.

Terdapat juga peniaga yang secara terang-terangan menjual minyak masak peket subsidi itu secara pukal minimum lima kg pada harga RM20.

Mengambil kira harga minyak masak subsidi berharga RM2.50 untuk satu peket, peniaga telah mengaut keuntungan sebanyak RM7.50 bagi lima kg minyak masak tersebut, tidak termasuk caj perkhidmatan dan penghantaran sekitar RM6.50 berbeza mengikut kawasan.

Memandangkan produk bersubsidi itu sukar didapati di kedai dan pasar raya, pembeli terpaksa membelinya bersama pakej tersebut meskipun dijual pada harga yang lebih mahal.

Mereka juga tiada pilihan kerana jika dibandingkan dengan harga minyak masak dalam botol yang lebih mahal berbanding harga minyak masak peket yang dijual di platform online.

Bagaimanapun, ada penjual menjelaskan harga yang dijual dalam talian lebih mahal kerana caj komisen yang dikenakan syarikat pengendali platform e-dagang tersebut.

Menurut salah seorang pembeli yang menggunakan akaun babykiddos berkata, walaupun harga minyak masak itu dijual pada harga RM5 untuk satu peket, namun dia sanggup membelinya berikutan sukar untuk mendapatkan bekalan itu di kedai runcit dan pasar raya.

Malah katanya, jika membuat pembelian di pasar raya, pelanggan hanya dibenarkan untuk membeli dua peket sahaja.

"Beli online bungkusan cantik, kemas. Cuma harga mahal RM5 satu peket. Tetapi tidak apa, beli di pasar raya atau mana-mana kedai seorang hanya dapat dua peket sahaja,” luahnya.

Turut senada, seorang lagi pembeli yang mana dia mengakui bahawa kesukaran untuk mendapat bekalan minyak masak peket di pasaran menyebabkan dia mengambil keputusan membeli secara dalam talian.

"Alhamdulillah, minyak masak selamat sampai tanpa kerosakan. Disebabkan susah nak dapat minyak di kedai, beli online je senang. Yang seronoknya, semalam seller pos barang, hari ni dah dapat,” katanya.

Sementara itu, bagi pemilik akaun, suzana16 pula, dia membeli pakej tersebut sebagai stok simpanan memandangkan minyak masak berkenaan semakin sukar didapati di pasaran ketika ini.

Klik di sini untuk terus membaca