SHAH ALAM - Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz menegaskan kerajaan sepatutnya memastikan stok penimbal bekalan sekuriti makanan negara seperti beras dan ayam, disimpan pada tahap minimum 65 peratus daripada penggunaan rakyat di sepanjang tempoh krisis.
Jelas Rafidah yang juga bekas Menteri Perusahaan Awam, langkah strategik berkenaan penting bagi memastikan rakyat ketika ini tidak terbeban dengan krisis sekuriti makanan dan masalah inflasi luar biasa disebabkan senario konflik ekonomi ‘bertindih’.
Tegasnya, pada saat negara berdepan kesan pandemik Covid-19 dan implikasi ekonomi akibat konflik Rusia-Ukraine secara serentak, masalah utama yang betul-betul harus ditangani kerajaan adalah isu sekuriti makanan, sekuriti ubat-ubatan serta peralatan perubahan untuk hospital serta klinik kerajaan.
"Itu perkara asas. Saya khuatir adakah kerajaan kita pada hari ini masih mengawasi adanya stok penimbal bekalan beras untuk satu tempoh krisis yang kritikal seperti sekarang ?
"Sewaktu saya menjadi Menteri Perusahaan Awam dan menjaga bekalan beras, saya akan memastikan stok penimbal bekalan beras wajib merangkumi minimum 65 peratus daripada penggunaan rakyat dalam satu-satu masa.
"Ini bererti Lembaga Padi Negara (LPN) ketika itu simpan beras, pemborong simpan beras, malah pengilang juga mengambil inisiatif simpan bekalan beras.
"Justeru, bila timbul isu bencana, kita tidak bimbang kerana stok penimbal bekalan beras mencukupi. Saya tidak tahu sama ada kita ada melaksanakan langkah penting ini.
"Di Thailand, usaha mengukuhkan stok simpanan bekalan beras menjadi keutamaan pada saat getir ini,” ujarnya menerusi satu wawancara eksklusif bersama Sinar Premium pada Khamis.
Beliau mengulas langkah-langkah penting yang perlu diutamakan kerajaan dalam menangani krisis ekonomi ‘bertindih’ susulan negara baru beralih ke fasa endemik, selain implikasi ekonomi dunia akibat krisis Rusia-Ukraine.
Rafidah yang juga bekas Timbalan Menteri Kewangan menggesa kerajaan agar memberi penekanan lanjut terhadap isu sekuriti makanan dan ubat-ubatan dan tidak mengambil sikap ‘sudah terhantuk baru hendak tengadah’.
Selain itu, beliau meminta kerajaan mewujudkan sistem pengurusan krisis negara yang efisien dengan agenda memastikan stok penimbal bekalan sekuriti makanan dan ubat-ubatan mencukupi wajar menjadi keutamaan.
"Agenda ini sepatutnya menjadi keutamaan negara kerana semua negara luar kini menumpukan sepenuhnya usaha dan perancangan ke arah itu. Janganlah kita buat tidak tahu dan beri jawapan bersifat feel good factor sahaja kepada rakyat.
"Kerajaan kena akui negara berdepan krisis sekuriti makanan kerana masalah ini turut melibatkan negara-negara lain di seluruh dunia. Yang penting apa solusi kita terhadap krisis berkenaan?
"Inisiatif memperkukuhkan sistem pengurusan krisis perlu dipecah-pecahkan mengikut keutamaan rakyat. Kerajaan perlu tahu apa yang harus didahulukan semasa krisis berlangsung.
"Kalau isu sekuriti makanan menjadi keutamaan, kena fokus selesaikan itu dahulu. Kemudian tengok pula isu pendidikan agar masa depan generasi muda tidak terjejas,” tegasnya lagi.
Klik di sini untuk terus membaca