SHAH ALAM - Rakyat Thailand yang memasukkan dadah secara sengaja dalam tubuh meskipun berada di negara ini boleh dikenakan tindakan sekiranya ujian air kencing mengesahkan mereka positif mengambil bahan terlarang itu. Pakar kriminologi... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Rakyat Thailand yang memasukkan dadah secara sengaja dalam tubuh meskipun berada di negara ini boleh dikenakan tindakan sekiranya ujian air kencing mengesahkan mereka positif mengambil bahan terlarang itu.

Pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, tiada istilah individu dari luar negara boleh terlepas sekiranya memasukkan dadah ke dalam tubuh meskipun negara mereka meluluskan pengambilan dadah.

Menurut beliau, rakyat Malaysia sendiri tidak boleh menggunakan ganja atau lain-lain dadah dengan sewenang-wenangnya atas sebab apa sekali pun kerana bahan itu masih tertakluk di bawah Akta Dadah Merbahaya.

"Tidak kira di mana bahan itu dimasukkan, kalau mereka tiba dan berada di Malaysia serta diuji positif, maka tindakan boleh dikenakan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun serta perintah pengawasan polis selama dua tahun,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai persoalan mengenai individu dari Thailand yang dikesan positif ganja sewaktu berada di Malaysia.

Thailand menjadi negara Asia pertama yang menghapuskan ganja daripada senarai narkotiknya dan membenarkan orang ramai menanam tumbuhan itu di rumah.

Pada 9 Jun lalu, pemerintah Thailand membuat keputusan mengeluarkan bahagian tertentu dan ekstrak tumbuhan ganja (kecuali bunga dan perbungaan) daripada senarai narkotik terkawal Kategori 5, di bawah Akta Narkotik 1979, supaya boleh digunakan untuk tujuan perubatan.

Bagaimanapun, penggunaan marijuana yang juga dikenali sebagai ganja dan kanabis, secara rekreasi masih diharamkan.

Menurut Shahul Hamid, walau apa pun tujuan penggunaan ganja, rakyat Thailand yang berada di Malaysia perlu tetap akur dengan undang-undang.

"Alasan menggunakan ganja untuk berubat juga tidak boleh diguna pakai kerana jika individu itu kembali ke dalam negara dengan kesan ganja masih di dalam tubuh, polis boleh menahan individu terbabit,” jelas beliau.

Tegasnya, dadah jenis kanabis itu digemari kerana tujuan rekreasinya untuk berkhayal.

"Ganja ini sebenarnya tidak membawa sebarang manfaat dan keberkesanannya untuk tujuan perubatan dan belum menghasilkan sebarang kejayaan,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca