MANILA - Wanita ini terkenal dengan perwatakan yang agak lasak dan selamba. Sara Duterte-Carpio, 44, tidak segan silu menunggang motosikal, menjadi anggota simpanan tentera, membawa senjata api dan paling menggemparkan apabila bekas Datuk... Klik di sini untuk terus membaca

MANILA - Wanita ini terkenal dengan perwatakan yang agak lasak dan selamba.

Sara Duterte-Carpio, 44, tidak segan silu menunggang motosikal, menjadi anggota simpanan tentera, membawa senjata api dan paling menggemparkan apabila bekas Datuk Bandar Davao City ini pernah menumbuk muka seorang syerif mahkamah beberapa kali kerana meneruskan rancangan perobohan penempatan setinggan di bawah kawasan pentadbirannya.

Rakaman insiden pada 2011 itu ketika beliau memegang jawatan datuk bandar untuk penggal pertama turut menjadi tular sebelum media sosial semakin mendominasi kehidupan manusia selain dijadikan tajuk utama akhbar tempatan.

"Pada masa itu, saya amat kecewa. Saya tidak boleh menangis kerana mereka akan fikir saya sangat emosional. Saya terbawa-bawa dengan sifat panas baran dan saya langsung tidak berbangga dengan perbuatan itu,” katanya ketika wawancara bersama portal berita, Rappler.

Tingkah laku itu menerima kritikan banyak pihak, namun disokong para penyokong beliau kerana menganggap Duterte-Carpio hanya menunaikan tanggungjawab dan mandat yang diberikan penduduk Davao City.

Paling melucukan kejadian itu turut mencetuskan idea untuk menghasilkan minuman digelar ‘Davao punch’.

Lebih sedekad kemudian, Sara Duterte mampu membawa kenangan kontroversi itu dengan penuh bangga apabila beliau kini bergelar Naib Presiden ke-15 Filipina sekali gus meneruskan legasi bapanya, Presiden Rodrigo Duterte selepas penggal perkhidmatan pemimpin tersebut berakhir pada Khamis ini.

Kedudukannya kini boleh disifatkan sebagai titik tolak dalam kerjaya politik Duterte-Carpio walaupun wanita itu pernah berkeras enggan memegang jawatan tertinggi dalam negara ketika pencalonan untuk bertanding pada pilihan raya dibuka tahun lalu.

Penyokongnya berpendapat wanita tersebut seorang pemimpin yang bersikap adil dan berusaha mencorak sendiri laluannya dalam dunia politik tanpa menggunakan pengaruh bapanya walaupun ia sedikit sebanyak ‘menumpang’ populariti presiden kontroversi tersebut.

Seperti bapanya, Duterte-Carpio bukan ahli politik yang senang dipermainkan atau diperlekehkan mana-mana pihak berikutan kerjayanya dalam bidang itu bermula dengan penglibatan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terutamanya berkaitan usaha memperjuangkan hak golongan wanita.

Duterte-Carpio dikatakan sering berselisih pendapat dengan bapanya tentang beberapa isu sensitif.

Pada Mac lalu, beliau dengan berani mengakui dirinya sebagai golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kerana kadangkala cenderung kepada ekspresi jantina yang lebih maskulin.

Tetapi, Duterte-Carpio juga menjelaskan beliau tidak pernah tertarik kepada wanita.

Datuk Bandar Zamboanga City, Maria Isabelle Climaco pernah berkongsi kisah ‘hubungan formal’ antara Duterte-Carpio dan bapanya yang mana beliau tetap menghormati kedudukan presiden berkenaan.

"Pada asasnya, beliau adalah seorang ibu, anak perempuan dan wanita. Walaupun anak presiden, beliau mempunyai gaya kepimpinan tersendiri dan disenangi penduduk Davao City.

"Beliau tidak pernah menolak jika diajak mengambil swafoto bersama penyokongnya malah turut mempunyai kumpulan sembang sendiri untuk menyelaraskan bantuan ketika insiden pesawat tentera terhempas pada Julai 2021,” ujarnya.

DATUK BANDAR TERMUDA

Tambah Climaco, beliau percaya Duterte-Carpio akan memulihkan semula hubungan bersama Amerika Syarikat (AS) selepas bapanya bertindak ‘menjauhkan diri’ daripada Washington.

Bagaimanapun, pendirian dasar luar beliau bersama bakal pengganti bapanya, Ferdinand ‘Bongbong’ Marcos Jr dikatakan masih belum jelas sehingga kini.

Sara Zimmerman Duterte-Carpio atau lebih dikenali sebagai Inday Sara dilahirkan pada 31 Mei 1978 di Davao City.

Anak kedua daripada tiga adik-beradik itu merupakan puteri tunggal kepada Duterte bersama bekas isterinya, Elizabeth Zimmerman.

Beliau juga mempunyai pencapaian akademik yang membanggakan kerana ketegasan bapanya yang mahu kesemua adik-beradiknya mendapat pendidikan hingga ke peringkat lebih tinggi.

Duterte-Carpio melanjutkan pengajian di San Pedro College dan memperoleh Ijazah Sains Terapi Pernafasan selepas tamat belajar pada 1999.

Wanita itu kemudiannya menyambung pengajian dalam bidang undang-undang di San Sebastian College-Recoletos.

Pada usia 31 tahun, beliau mencipta sejarah menjadi datuk bandar paling muda pernah dilantik memegang jawatan itu.

Pada Oktober 2007, Duterte-Carpio mengahwini peguam, Manases ‘Mans’ R Carpio dan mereka dikurniakan tiga cahaya mata.

Hubungan antara wanita itu bersama bapanya juga dikatakan agak dingin sebelum ini, namun Duterte-Carpio dikatakan tetap menjadi puteri kesayangan presiden tersebut yang turut mengiringi anaknya ketika majlis angkat sumpah jawatan di Davao City minggu lalu.

Di bawah pentadbiran Marcos Jr, Duterte-Carpio diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai Setiausaha Pendidikan memandangkan bidang tersebut merupakan salah satu keutamaan bakal Presiden ke-17 Filipina berkenaan. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca