SHAH ALAM - Pihak berkuasa digesa supaya melakukan pemantauan lebih ketat terhadap penjual minyak masak peket dalam talian yang merupakan satu bentuk penyelewengan.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, minyak masak peket adalah barang subsidi dan perlu dijual dengan harga yang telah ditetapkan.
Menurut beliau, penjual tidak seharusnya mengambil kesempatan menjual dengan harga yang mahal atau berdasarkan pakej tertentu apatah lagi golongan sasar untuk minyak masak peket adalah golongan berpendapatan rendah (B40).
"Apabila barang itu harga subsidi ia perlu dijual dengan harga subsidi, tidak kira sama ada dijual secara fizikal atau dalam talian.
"Cuma dalam talian ini, mungkin cajnya lebih sedikit kerana perlu untuk pembungkusan atau kos penghantaran yang tidak termasuk dalam subsidi tersebut.
"Ia mungkin dibolehkan untuk kos pembungkusan dan penghantaran oleh penjual, namun tidak boleh terlalu tinggi sehingga menjadi harga tidak munasabah,” katanya.
Minyak masak peket yang diberikan subsidi oleh kerajaan kini boleh didapati dengan mudah kerana banyak dijual secara dalam talian.
Namun, ada penjual mengambil kesempatan dengan menjual minyak tersebut dengan harga yang lebih mahal atau dengan pakej tertentu.
Mengulas lanjut mengenai perkata itu, Mohd Yusof berkata, pengguna juga perlu untuk lebih bertanggungjawab dengan tidak menyokong dan membeli daripada penjual yang mengambil kesempatan.
"Sekarang ini, memang membeli secara dalam talian adalah cara mudah untuk mendapatkan bekalan. Kita juga tahu kalau beli di kedai ada kuota yang ditetapkan atau mungkin ada sesetengah tempat bekalan berkurangan.
"Walaupun mungkin ada pembeli yang membeli secara sukarela tetapi kita tidak mahu mewujudkan satu galakan. Apabila ada yang membeli daripada penjual tersebut, maka penjual itu akan terus menjual dengan harga yang tidak sepatutnya.
"Pembeli kena laporkan kepada pihak berkuasa kalau ada kedai dalam talian menjual melebihi harga pasaran,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca