IMPLIKASI faktor luaran kepada pengoperasian sesebuah organisasi seperti penularan pandemik Covid-19 telah mengubah landskap sektor kerja tempatan dan fungsi pengurusan sumber manusia. Amalan Bekerja Secara Hibrid (BSH) dan fleksibel... Klik di sini untuk terus membaca

IMPLIKASI faktor luaran kepada pengoperasian sesebuah organisasi seperti penularan pandemik Covid-19 telah mengubah landskap sektor kerja tempatan dan fungsi pengurusan sumber manusia.

Amalan Bekerja Secara Hibrid (BSH) dan fleksibel menjadi buah fikir dalam kalangan para majikan, pekerja dan pengguna media sosial.

Terkini pekerja diberi kebenaran memohon kepada majikan aturan kerja fleksibel (AKF) mengikut pindaan Akta Kerja 1955 berkuat kuasa 1 September.

BSH ditakrifkan sebagai pelaksanaan kerja dengan keberadaan pekerja di pejabat (BDP) dan bekerja dari rumah (BDR).

Ketika sesetengah majikan terus merangka strategi amalan BSH, elemen fleksibiliti turut dikaitkan, dalam konteks semasa merujuk kepada jumlah jam dan hari bekerja yang harus dipenuhi.

Meskipun istilah ‘hibrid’ semakin diketengahkan, akan tetapi panduan menyeluruh tentang cara pelaksanaannya masih di peringkat perkembangan dan tidak semua majikan serta industri bersedia melaksanakannya. Ia disebabkan, Akta Kerja 1955 memperuntukkan situasi dengan keberadaan pekerja di pejabat secara bersemuka.

Persoalan seterusnya menjurus kepada adakah ia wajar diperluas dengan mengambil kira pendekatan fleksibiliti terutama mendepani era pascapandemik yang semakin kompetitif.

Di Malaysia, penekanan terhadap amalan elemen fleksibiliti itu bukan kali pertama dilaksanakan melalui konsep Waktu Kerja Berperingkat (WBB) pada tahun 1998.

Pada tahun 2019, konsep Waktu Bekerja Fleksi (WBF) dibangunkan, merangkumi seluruh agensi Kerajaan Persekutuan. Tahun lalu pula, kerajaan memperkenalkan amalan BSH ketika dunia berdepan dengan situasi pandemik yang memerlukan satu anjakan paradigma baharu dalam sektor kerja berkuat kuasa serta-merta.

Ini jelas menunjukkan amalan BSH mahupun fleksibel bukan sesuatu yang baharu dari segi pelaksanaan, malah mula diadaptasi individu pekerja dan majikan dalam sektor kerja tempatan.

Secara justifikasi, tinjauan yang dijalankan penyelidikan Qualtrics pada Mei 2022 merangkumi negara di Asia Tenggara termasuk Malaysia mendapati, sejumlah 62 peratus pekerja sepenuh masa lebih gemar fleksibiliti dalam bekerja berbanding hari kerja yang pendek seperti empat hari seminggu.

MAJIKAN BELUM BERSEDIA

Namun, situasi majikan juga harus diambil kira. Kaji selidik oleh Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menunjukkan sebahagian besar majikan di negara ini tidak bersedia melaksanakan dasar bekerja secara fleksibel, iaitu waktu bekerja empat hari dalam seminggu.

Konsep BSH dan fleksibel memerlukan dasar yang seimbang. Contohnya, dalam penetapan pekerja yang diberikan kebenaran BDR dan sebaliknya.

Begitu juga dengan aspek tempoh masa bekerja. Penyataan dasar yang jelas bukan hanya penting bagi pekerja menyesuaikan diri dengan perubahan cara bekerja tetapi bagi majikan merencana aspek pengurusan terutama proses penstrukturan di peringkat dalaman.

Contohnya, syarikat Microsoft telah membangunkan panduan menyeluruh berkaitan BSH merangkumi tiga aspek utama iaitu apabila bekerja dari rumah, di pejabat dan waktu bekerja secara fleksibel.

Pemahaman kepada jenis pekerjaan secara spesifik sangat penting kepada majikan bagi melihat keberkesanan model BSH.

Justeru, bagi mengisi jurang yang telah dikenal pasti, pelaksanaan kajian yang lebih komprehensif perlu dilaksanakan. Kajian rintis perlu dijalankan bagi mengukur tahap keberkesanan model BSH.

Selain itu, penambahbaikan dalam Akta Kerja 1955 bagi menampung amalan BSH dan fleksibel ini wajar diperhalusi di bawah Seksyen 60a merangkumi bahagian kerja lebih masa, waktu rehat, cuti, upah dan sebagainya.

Kesimpulannya, asas pengoperasian BSH dan fleksibel sememangnya bukan sesuatu yang baharu di Malaysia melalui inisiatif pihak kerajaan disokong penglibatan syarikat swasta.

* Dr Muhammad Aiman Arifin ialah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Arau, Perlis

Klik di sini untuk terus membaca