SHAH ALAM - Semakin ramai rakyat Malaysia kini cenderung mencari pekerjaan yang fleksibel sama ada dari segi aturan waktu atau tempat kerja. Walaupun mempunyai kelulusan tinggi sama ada peringkat diploma, ijazah atau sarjana, mereka lebih... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Semakin ramai rakyat Malaysia kini cenderung mencari pekerjaan yang fleksibel sama ada dari segi aturan waktu atau tempat kerja.

Walaupun mempunyai kelulusan tinggi sama ada peringkat diploma, ijazah atau sarjana, mereka lebih utamakan keseimbangan antara kehidupan dan kerjaya.

Faktor kebebasan menguruskan pekerjaan yang tidak terikat dengan masa dan tempat bekerja merupakan antara punca mereka tertarik dengan cara begitu.

Malah, ada graduan sanggup menolak tawaran kerja bergaji lumayan disebabkan mahu mencari kerja yang fleksibel.

Graduan sarjana dalam bidang teknologi maklumat (IT), Muhammad Syahmi Rosli, 25, berkata, aturan waktu kerja yang tetap sudah tidak relevan pada masa kini, malah tidak menyumbang kepada peningkatan produktiviti pekerja.

"Untuk pekerjaan tertentu, contohnya melibatkan kreativiti, ia lebih berkesan dinilai berdasarkan penyelesaian tugasan dan bukannya waktu,” katanya yang mempunyai pengalaman kerja selama tiga tahun sebagai pembangun web.

Pembantu teknikal di sebuah syarikat penyedia rel pengangkutan awam, Anis Helmi Azmi, 36, berkata, kemajuan teknologi komunikasi memudahkannya melakukan sebahagian besar tugasan tanpa perlu berada di tempat tertentu.

"Walaupun ada kerja harian yang memerlukan saya berada di lapangan, tapi bukan semua tugasan begitu. Tapi tidak bermakna lapan jam saya perlu berada di tempat yang sama.

"Untuk kerja pemantauan dan pengurusan teknikal contohnya, saya boleh melakukannya hanya menggunakan telefon pintar,” katanya.

Pekerja swasta, Che Nor Elysha Sofea Che Shaharul, 26, berkata, aturan kerja yang fleksibel mampu mengurangkan tekanan terutama bagi mereka yang tinggal di Lembah Klang.

"Contohnya, apabila kita boleh bekerja dari rumah ketika penularan Covid-19, kita lebih produktif kerana tidak perlu habiskan banyak masa di atas jalan raya untuk pergi kerja,” katanya.

Bagaimanapun, bagi pegawai bank, Liew Yong Tack, 29, bidang pekerjaannya dilihat sukar untuk melakukan seperti itu.

"Kalau aturan kerja yang lebih fleksibel misalnya dari segi masa, kita boleh melakukan perkara lain selepas tugasan ditetapkan selesai,” ujarnya.

Pelajar, Sachkeerat Singh, 18, pula berkata, dia sememangnya merancang untuk mencari pekerjaan dengan persekitaran yang fleksibel selepas tamat pengajian kelak.

Pada Khamis lalu, kerajaan mengumumkan pekerja di negara ini dibenarkan memohon aturan kerja fleksibel kepada majikan masing-masing mengikut pindaan Akta Kerja 1955 berkuat kuasa 1 September ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, pekerja hanya perlu membuat surat permohonan kepada majikan sama ada memohon perubahan waktu, hari dan tempat kerja.

Klik di sini untuk terus membaca