SHAH ALAM - Kesedaran terhadap kepentingan memelihara kesihatan mental dan fizikal menjadi faktor utama menyebabkan ramai rakyat Malaysia terutama anak muda kini cenderung memilih persekitaran kerja fleksibel. Pensyarah Kanan Fakulti... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kesedaran terhadap kepentingan memelihara kesihatan mental dan fizikal menjadi faktor utama menyebabkan ramai rakyat Malaysia terutama anak muda kini cenderung memilih persekitaran kerja fleksibel.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (Sumber Manusia), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Muhammad Aiman Arifin berkata, trend tersebut mampu menyediakan persekitaran lebih terbuka, sekali gus mengurangkan tekanan kepada pekerja.

Beliau berkata, pengalaman bekerja sewaktu pandemik juga membuka mata ramai pihak berkenaan kebolehlaksanaan amalan tersebut dalam pasaran pekerjaan di dalam negara.

"Saya jangkakan pada masa depan perubahan ini memang berlaku secara berperingkat disebabkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kesihatan mental dan fizikal.

"Kedua-dua aspek ini hanya jika persekitaran pekerjaan itu lebih terbuka dan memberikan lebih kebebasan kepada pekerja dalam membuat pilihan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Muhammad Aiman berkata, sebahagian besar majikan mungkin berhadapan cabaran untuk beradaptasi jangkaan perubahan amalan dalaman pasaran pekerjaan itu terutama di sektor teknikal pembuatan dan perkilangan.

Bagaimanapun, katanya, pendekatan baharu itu boleh direalisasikan jika syarikat terbabit melakukan penstrukturan, antaranya dalam mewujudkan sistem laporan dan kehadiran yang praktikal.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Abdul Rahim Zumrah berpandangan, trend tersebut dijangka tidak akan menjejaskan sektor perniagaan di dalam negara.

Sebaliknya, beliau berpendapat, situasi itu bakal memberi kesan positif terhadap sektor pasaran pekerjaan di Malaysia khususnya sektor berorientasikan perkhidmatan.

"Persekitaran kerja yang positif seperti kerja fleksibel ini selari dengan jiwa anak muda yang suka bekerja mengikut rentak mereka dan di bawah penyeliaan minimum.

"Faktor ini akan menjadi motivasi kepada anak muda untuk bekerja. Ini akan mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan anak muda di Malaysia,” jelas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca