SHAH ALAM - Persekitaran kerja fleksibel yang lazimnya diamalkan dalam industri ekonomi gig dijangka menjadi trend yang mendominasi sektor pasaran pekerjaan di dalam negara pada masa akan datang. Presiden Majlis Profesor Negara (MPN),... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Persekitaran kerja fleksibel yang lazimnya diamalkan dalam industri ekonomi gig dijangka menjadi trend yang mendominasi sektor pasaran pekerjaan di dalam negara pada masa akan datang.

Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, perubahan dalam amalan pasaran pekerjaan itu bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi seluruh dunia.

Beliau berkata, trend tersebut yang memberikan lebih kebebasan kini diakui menjadi pilihan sebahagian besar pekerja di dalam negara terutama anak muda.

"Amalan kerja ini memberi mereka ruang untuk menikmati kualiti kehidupan lebih baik. Dalam masa sama kita juga mengakui bahawa pekerjaan secara tetap ini sudah sangat berkurangan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Raduan berkata, amalan persekitaran kerja yang fleksibel bermaksud majikan memberikan kebebasan untuk pekerja menetapkan masa dan tempat bagi menyelesaikan tugasan.

Katanya, konsep tersebut dilihat lebih praktikal kerana ia memberikan penekanan nilai kerja berasaskan tugasan (task-based) dan bukannya waktu bekerja (time-based).

"Ini akan menimbulkan rasa tanggungjawab yang lebih kepada pekerja sebab mereka perlu selesaikan tugasan diberi dan dibayar berdasarkan kepada kerja yang diselesaikannya,” ujarnya.

Raduan

Sementara itu, Raduan berkata, trend bekerja fleksibel kini juga didapati semakin menjadi pilihan majikan di Malaysia khususnya di beberapa sektor pekerjaan di dalam negara, antaranya keselamatan dan kebersihan.

"Dulu kita pernah menggantikan pekerjaan tetap kepada kontrak atau outsourcing (sumber luar) tugasan itu.

"Contohnya, pekerjaan dalam bidang keselamatan dan kebersihan yang dulu pekerjanya diambil secara tetap, kini dilakukan secara kontrak.

"Malah, fungsi tugasan sumber manusia pun sudah outsource termasuk menyediakan latihan dan sedikit demi sedikit perkara ini akan berlarutan menjadi trend,” ujarnya.

Raduan berkata, majikan juga cenderung untuk memilih konsep kerja sedemikian kerana memberi lebih fleksibiliti untuk beradaptasi mengikut keperluan semasa.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan perlu lebih jelas dalam dasarnya terhadap amalan persekitaran pekerjaan tersebut khususnya yang diamalkan dalam sektor gig ekonomi.

"Ini kena ia perlu diinstitusikan sebagai satu bidang atau sektor yang diiktiraf. Sekarang ini tidak ada. Perlu ada langkah kawal selia yang bukan untuk mengawal tapi menguruskan,” jelas beliau.

Tambahnya, kerajaan juga sebenarnya kehilangan punca pendapatan dari segi cukai sekiranya trend tersebut tidak diuruskan dengan jelas.

Klik di sini untuk terus membaca