ANAK gajah yang terjerat kakinya di Lahad Datu, Sabah gagal diselamatkan dan menjadi korban akibat tindakan yang sangat zalim, kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Kegiatan memasang jerat memberi ancaman utama kepada haiwan liar kerana ia menyebabkan kecederaan dan kematian sekali gus menyumbang kepada peningkatan kepupusan haiwan tertentu.
Teknik kejam ini antara lain menyebabkan hidupan liar yang dijerat putus kaki atau mengalami kecacatan kekal, serta terpaksa meneruskan sisa-sisa hidup dengan keupayaan yang terbatas, malah ada yang mati.
Dari tahun 2015 hingga 2018, terdapat kira-kira 75 ekor spesies hidupan liar mati disebabkan jerat. Jerat maut ini bukan hanya digunakan untuk menangkap kijang atau rusa malah turut digunakan terutama oleh pemburu haram untuk menjerat harimau, beruang, tapir, kambing gurun dan pelbagai mamalia besar lain.
Harimau Malaya dan Beruang Madu adalah antara spesies haiwan liar yang diburu dan dijerat kerana sering mendapat permintaan tinggi dalam pasaran gelap.
Harga seekor Harimau Malaya dianggarkan RM600,000 hingga RM1 juta di pasaran gelap menyebabkan haiwan ini diburu dan dijerat bagi mendapatkan kulit, daging, kuku dan taringnya, selain tulang dan tengkorak harimau yang menjadi bahagian paling bernilai di pasaran gelap.
Malah, terdapat permintaan yang tinggi terutamanya untuk organ dan tulang harimau di kalangan pembuat arak selain pengeluar produk ubat-ubatan tradisional.
Justeru perbuatan memiliki, memasang, meletakkan, menggunakan mana-mana jerat bagi maksud memburu mana-mana hidupan liar adalah satu kesalahan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].
Umumnya ada pelbagai teknik dan peralatan digunakan untuk memburu, berbeza-beza bergantung pada jenis haiwan yang hendak ditangkap.
Paling mudah adalah penggunaan jerat yang mana penjenayah hidupan liar hanya perlu ke YouTube untuk mengetahui cara-cara membuat jerat. Terdapat pelbagai jenis jerat antaranya, jerat bingkas/bidas, jerat simbat, jerat hempap dan jerat jerut.
Akibatnya, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) melaporkan, sejumlah 1,435 jerat hidupan liar dikesan dan dimusnahkan hasil daripada 39 siri rondaan sepanjang tiga tahun Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dilancarkan di seluruh Semenanjung bermula tahun 2019.
Dalam tempoh sama, sebanyak 187 kertas siasatan dibuka yang membabitkan 356 pesalah jenayah yang terdiri daripada 257 warga tempatan dan 99 warga asing.
Disebabkan masalah jerat sering dipasang oleh pemburu haram di kawasan hutan, pihak Perhilitan telah mengambil inisiatif mengisytiharkan tahun 2018 sebagai Tahun Perangi Jerat.
Ia bertujuan memberi fokus terhadap operasi penguatkuasaan dan pembasmian jerat di seluruh kawasan perlindungan serta habitat hidupan liar secara agresif dan menyeluruh.
Sebagai salah satu usaha pencegahan jenayah hidupan liar, Perhilitan akan mula menguatkuasakan Akta Pemulihan Hidupan Liar Pindaan 2021 yang dijangka bermula hujung Jun ini.
Antara perkara penting yang ditambah baik dalam pindaan tersebut adalah meningkatkan kadar denda maksimum daripada RM500,000 kepada RM1 juta serta hukuman penjara maksimum 10 tahun kepada 15 tahun.
Pindaan ini antara usaha serius kerajaan untuk memelihara khazanah negara bagi mengawal pencerobohan dan pemburuan hidupan liar.
Sehubungan itu, orang ramai juga diseru terus membantu dengan menjadi mata dan telinga Perhilitan dengan menyalurkan maklumat dalam usaha melindungi haiwan liar sebagai khazanah negara yang berterusan diancam kepupusan.
* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca