BARU-BARU ini Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan bahawa kementerian itu berhasrat mewujudkan kawasan tanaman di setiap kem angkatan tentera di seluruh negara bagi menjamin sekuriti makanan terutama untuk keperluan anggota.
Kenyataan ini disokong oleh Panglima Tentera Darat apabila memaklumkan Ladang Integrasi Tentera Darat di Kem Syed Sirajudin telah dijadikan projek rintis menerusi Program Kelestarian Makanan Tentera Darat (TD) bertujuan membantu meringankan kos sara hidup warganya melalui hasil pertanian.
Pelbagai pendapat mengenai perkara ini telah dilontarkan di media elektronik dan sosial dengan ada yang menyokong dan tidak kurang juga yang mencemuh.
Mereka yang kurang bersetuju secara amnya melihat perkara ini sebagai sesuatu yang tidak konsisten dengan tugas teras pegawai dan anggota tentera.
Kata mereka, masa yang terluang perlu diisi dengan latihan dan kemahiran berkaitan ilmu tempur yang semakin mencabar dalam peperangan moden kini dan masa hadapan serta bukannya dikerah untuk bercucuk tanam bagi mengisi keperluan bekalan makanan negara yang semakin mendesak.
Apa yang dilontarkan Hishammuddin adalah sesuatu yang bernas, namun mungkin masa dan keadaan ia diketengahkan tidak begitu tepat serta boleh dianggap sebagai hanya satu langkah populis oleh sesetengah pihak.
Mungkin ada yang akan menyatakan bahawa langkah ini seiringan dengan pepatah Melayu, ‘sudah terhantuk baru tengadah’.
Sekiranya apa yang dijelaskan Panglima TD adalah benar, bahawa ia bertujuan meringankan kos sara hidup warganya melalui penggunaan sendiri dan penjualan hasil pertanian secara berskala kecil, ia adalah langkah bijak.
Apa yang dibimbangkan ialah tanggungjawab sekuriti makanan sektor tertentu pada suatu masa nanti akan dibebankan pula kepada pihak seperti TD.
Ini adalah sesuatu yang tidak mustahil kerana dengan disiplin serta etika kerja warga TD, aktiviti pertanian berskala besar mampu dilaksana dengan jayanya.
Seperti telah dijelaskan, kemunculan krisis bekalan dan sekuriti makanan yang semakin memuncak sejak kebelakangan ini, TD seakan telah dipanggil secara ‘bidan terjun’ untuk, menjamin sekuriti makanan terutama untuk keperluan anggota.
Di negara ini, seharusnya tanggungjawab memastikan bekalan makanan, terutama yang boleh dihasilkan dalam negara, perlu dipikul oleh pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
Cetusan idea seperti yang dinyatakan Hishammuddin sepatutnya telah lama menjadi antara agenda utama MAFI.
Ia sebagai langkah jangka panjang menangani ancaman bekalan dan sekuriti makanan negara.
Sebenarnya idea ini juga, jika mahu dilaksana, tidak perlu dihadkan hanya kepada kem tentera sahaja, bagaimana pula dengan jabatan-jabatan atau agensi kerajaan lain yang turut mempunyai kawasan tanah terbiar?
Malah pada 2018, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ketika itu mengumumkan bahawa ia bakal mengoptimumkan penggunaan tanah-tanah terbiar di seluruh negara dalam usaha menjamin bekalan makanan negara.
Menteri pada waktu itu mengumumkan tanah terbiar seluas 119,273 hektar akan dibangunkan di seluruh negara melalui Inisiatif Projek Pembangunan Tanah Terbiar.
Persoalannya kenapa ia masih gagal menjamin sekuriti makanan negara hari ini?
Dengan ‘pergolakan’ yang dilihat berlaku hari ini dalam kalangan pegawai dan anggota veteran ATM dengan kementerian, mungkin jalan terbaik adalah untuk melibatkan mereka secara langsung dengan aktiviti pertanian secara berskala besar agar dapat memenuhi aspirasi sekuriti makanan negara.
Dengan cara ini pegawai dan anggota TD yang masih berkhidmat tidak perlu ‘dibebankan’ dengan penugasan pertanian dan boleh terus memberikan fokus terhadap kesiapsiagaan mempertingkat ilmu tempur.
Negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) telah lama melaksana program khusus di mana Jabatan Pertanian atau United States Department of Agriculture (USDA) negara tersebut membantu veteran angkatan tenteranya untuk menceburi bidang pertanian.
Antara bantuan yang diberi oleh USDA adalah dalam bentuk dana kewangan untuk pertanian dan penternakan, khidmat teknikal selain pengurusan risiko dalam bidang yang diceburi.
Bantuan ini disalurkan kepada lebih dari 2,300 pusat perkhidmatan khas USDA di seluruh AS.
* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.
Klik di sini untuk terus membaca