KUALA KRAI - Sejak kebelakangan ini, tercetus konflik antara manusia dan gajah apabila haiwan liar tersebut semakin kerap muncul sehingga memusnahkan tanaman penduduk di Kampung Tok Uban, Lata Rek di sini. Lebih membimbangkan apabila 20... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA KRAI - Sejak kebelakangan ini, tercetus konflik antara manusia dan gajah apabila haiwan liar tersebut semakin kerap muncul sehingga memusnahkan tanaman penduduk di Kampung Tok Uban, Lata Rek di sini.

Lebih membimbangkan apabila 20 ekor gajah liar tersebut mula berani masuk ke kawasan kediaman penduduk sejak Mei lalu sehinggakan ia dapat dilihat secara jelas menerusi jendela rumah.

Tindakan haiwan berkenaan dipercayai berpunca daripada kawasan ‘kediamannya’ diceroboh sekali gus menyaksikan gajah-gajah itu hilang arah dan masuk ke penempatan penduduk untuk mencari makanan.

Saiz gajah yang besar dan berat mencecah sehingga dua tan itu menyebabkan penduduk kampung trauma selain berada dalam ketakutan apabila melihat secara dekat haiwan berkenaan.

Wakil penduduk, Mohd Ridzuman Hanapi, 37, berkata, sepanjang hayatnya gajah hanya dikenali pada nama sahaja namun kini ia boleh dilihat di depan rumah.

"Kalau seekor dua tidak mengapa lagi tetapi ia mencecah sehingga 20 ekor yang bergerak secara berkumpulan.

"Setakat ini yang kami tahu ada dua kumpulan gajah terdiri daripada 14 ekor dan enam ekor,” katanya kepada Sinar Harian.

Saiznya yang besar dan mencecah sehingga dua tan menyebabkan penduduk di Kampung Tok Uban, Lata Rek, Kuala Krai menjadi trauma.

Menurutnya, serangan haiwan liar berkenaan bermula sejak 26 Mei lalu sehingga menyebabkan 90 keluarga di sini hidup dalam ketakutan.

Katanya, pelbagai langkah yang diambil penduduk termasuklah melaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (Perhilitan) bagi mengatasi masalah tersebut.

"Ada juga penduduk menggunakan mercun bola untuk menghalau gajah-gajah itu. Satu peket mercun bola berharga RM35 dan mengandungi 100 biji.

"Setiap penggunaan melibatkan tiga hingga empat peket dan sekarang penduduk berdepan dengan masalah bekalan mercun bola yang sukar diperoleh.

"Hanya ini yang kami mampu lakukan demi menjaga keselamatan penduduk serta menjarakkan haiwan liar tersebut daripada memasuki kawasan perkampungan,” katanya.

BERMALAM DI KEBUN

Sementara itu, pekebun, Mohd Azhar Mat Jusoh, 43, berkata, dia kini terpaksa bermalam di kebun bagi memastikan haiwan liar tersebut tidak kembali memusnahkan tanaman sayur dan pisang yang diusahakan.

"Saya bermalam di kebun sambil memasang unggun api bagi memastikan gajah tidak mendekati kawasan kebun.

"Walaupun berada dalam keadaan berdebar kerana bimbang jika haiwan liar itu mendekati, hanya itu yang mampu saya lakukan demi menjaga periuk nasi kami sekeluarga,” katanya.

Dia juga dikejutkan dengan perbuatan gajah yang sanggup memakan kulit pokok getah untuk kelangsungan hidup kerana sebelum ini ia belum pernah berlaku.

"Disebabkan selera makan mereka sudah berubah, banyak pokok getah penduduk kampung rosak serta tumbang,” katanya.

Pokok pisang di halaman rumah penduduk dirosakkan oleh gajah liar.

Penoreh, Abdul Rani Mamat, 42, berkata, pendapatannya kini sudah tidak menentu disebabkan serangan haiwan liar tersebut.

"Dalam seminggu hanya dua atau tiga hari sahaja boleh menoreh. Selebihnya saya tidak berani masuk ke kebun bila melihat tapak kaki, najis serta bunyi gajah,” katanya.

Bagaimanapun, dia dan penduduk di sini bersyukur kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah ada memberikan bantuan bekalan makanan kepada penduduk.

"Masalah ini harus diselesaikan segera kerana ia bukan sahaja mengganggu kehidupan harian penduduk tetapi apa yang berlaku sudah tidak normal,” katanya.

RM50,000 UNTUK PINDAH GAJAH

Proses untuk memindahkan gajah bukan tugas mudah kerana operasi menangkap dan memindahkan mamalia itu memerlukan belanja yang besar.

Mengikut perkiraan melalui Sistem Perakaunan Mikro, kos untuk memindah seekor gajah liar boleh mencecah sehingga RM50,000.

Disebabkan kurang pengetahuan berkenaan perkara ini, pihak Perhilitan sering menjadi mangsa cercaan masyarakat yang menganggap pihak terbabit seperti memandang ringan isu ancaman gajah.

Tanaman penduduk yang dimusnahkan oleh haiwan liar tersebut.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, beberapa kaedah akan diambil pihaknya apabila menerima aduan berkaitan ancaman gajah.

"Antaranya ialah tembak halau, tangkap dan pindah. Termasuklah mendirikan pagar elektrik, longkang, pagar berduri dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, tahap gangguan gajah akan dapat dikurangkan apabila langkah-langkah pengawalan sepatutnya diambil.

KES MELIBATKAN PENCEROBOHAN GAJAH

28 Februari 2018 - Sebanyak 10 ekor gajah telah merosakkan pagar dan ‘menyerang’ Balai Polis Telupid di Sabah.

1 Mac 2018 - Pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telupid di Sabah gempar apabila seekor gajah masuk ke dalam kantin asrama.

6 Julai 2019 - Dua ekor gajah meranapkan rumah seorang penduduk di Kampung Sri Timur, Kluang , Johor.

20 Ogos 2019 - Sekeluarga tujuh beranak Orang Asli di Kampung Aring 5, Gua Musang, Kelantan cemas apabila seekor gajah jantan liar memasuki kawasan kampung dan mengelilingi rumah mereka.

5 Julai 2020 - Sekumpulan gajah liar masuk ke dusun durian di Kampung Jalong, Sungai Siput, Perak.

8 September 2020 - Seekor gajah jantan yang dipercayai kelaparan memasuki kawasan kedai makan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa dan menggeledah barangan di premis itu.

25 Julai 2021 - Dua ekor gajah liar dari Hutan Simpan Kampung Air Kerilla memasuki kawasan kampung di Kampung Kuala Tiga, Tanah Merah, Kelantan untuk mencari makanan.

27 November 2021 - Seekor gajah jantan menceroboh masuk ke kawasan perumahan nelayan Sungai Puteri di Rompin Pahang untuk mencari makan.

19 Oktober 2021 - Seekor gajah liar yang dipercayai tersesat dan berkeliaran di kawasan Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit Kuala Terengganu berjaya ditangkap.

14 Februari 2022 - Seekor gajah menceroboh gudang simpanan rangsum tentera di Kem Sri Banding, Gerik Perak.

17 Februari 2022 - Seekor gajah berusia 30 tahun dan seberat dua tan telah menceroboh masuk ke kawasan kebun milik penduduk Kampung Jerek di Jeli Kelantan.

20 Februari 2022 - Dua penternak lembu di Bandar Al Muktafi Billah Shah, Terengganu kerugian lebih RM30,000 selepas sekumpulan gajah liar menceroboh ladang dan memusnahkan tanaman rumput napier diusahakan mereka.

24 Mac 2022- Pengusaha kebun buah-buahan dan agro pelancongan Desaru Fruit Farm bimbang kehadiran kumpulan gajah liar yang semakin kerap merosakkan tanaman mereka di kawasan kebun di Desaru, Pengerang, Johor.

5 Mei 2022 - Kira-kira 20 ekor gajah liar telah menceroboh masuk kawasan petempatan penduduk dan memusnahkan sebuah rumah ibu tunggal di Kampung Kuala Sat, dekat Jerantut Pahang.

14 Mei 2022- Penduduk Kampung Gol, Mukim Tembeling Tengah di Jerantut, Pahang kerap diganggu dua ekor gajah liar yang menceroboh tanaman dan mendekati kediaman penduduk kampung tersebut.

28 Mei 2022 - Sebanyak 14 ekor gajah liar dipercayai dari kumpulan Awang Tok Uban telah menceroboh masuk ke tiga buah kampung di Lata Rek , Kelantan.

Klik di sini untuk terus membaca