SELEPAS Rusia menyerang Ukraine pada 24 Februari lalu, sejumlah negara Barat dan Amerika Syarikat (AS) melancarkan sekatan ekonomi ke atas Moscow sebagai tanda bantahan terhadap tindakan serangan itu.
Sekatan itu dilakukan oleh lebih 30 buah negara dan menyebabkan pelbagai jenis barangan tidak lagi dibenarkan memasuki Rusia manakala hasil keluaran Moscow juga tidak lagi dibeli oleh negara-negara tersebut.
Bagaimanapun, Turkiye yang pernah menjadi tuan rumah dalam rundingan bagi mencari penyelesaian secara aman dalam perbalahan antara Moscow dengan Kiev itu sebanyak dua kali dalam bulan Mac lalu tidak mengikut negara-negara Barat untuk mengadakan sekatan ekonomi ke atas Rusia.
Dalam perang yang berlaku itu, dari segi geografi, Turkiye mempunyai sempadan maritim dengan Ukraine dan Rusia manakala Ankara menjadi rakan perdagangan terbesar Moscow di rantau Timur Tengah serta Afrika Utara.
Negara yang dipimpin oleh Presiden Recep Tayyip Erdogan itu juga bersaing dan bekerjasama dengan Rusia di zon-zon yang dilanda peperangan dan konflik seperti di Syria, Libya dan Nagorno-Karabakh dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Justeru, kenapakah Ankara tidak melaksanakan sekatan ekonomi seperti yang dilakukan oleh negara-negara Barat termasuk AS ke atas Rusia walaupun ia sebelum ini pernah menjual dron buatan syarikat swasta ke atas Ukraine?
Turkiye merupakan salah seorang anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel yang mana Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy ialah rakyat negara berkenaan yang berketurunan Yahudi.
Sehubungan itu, ia tidak mengikut telunjuk Barat dalam melakukan sekatan ekonomi ke atas Rusia kerana Ankara dipandu oleh pertimbangan ekonomi yang pragmatik dan keseimbangan dasar-dasarnya, kata jurucakap presiden Turkiye, Ibrahim Kalin.
Walau bagaimanapun, Ankara telah menjelaskan secara terperinci mengenai sebab-sebab mengapakah ia tidak melaksanakan sekatan ekonomi terhadap Moscow menerusi temu bual Kalin dengan saluran televisyen Haberturk yang disiarkan pada Ahad lalu.
Menurut jurucakap itu, pentadbiran Ankara lebih suka bersikap berkecuali untuk melindungi kepentingan tanah airnya dan jika sekatan dikenakan ke atas Moscow, ia akan menyebabkan ekonomi Turkiye akan menerima kesan yang lebih banyak berbanding Rusia.
Dalam temu bual itu, Kalin menjelaskan bahawa bahawa Turkiye kebanyakannya bergantung kepada Rusia dan Iran sebagai sumber tenaga utamanya dan menambah jika sekatan dilaksanakan, ia akan menjejaskan ekonominya sendiri.
Bagaimanapun, jurucakap itu mendakwa bahawa pendirian negaranya buat masa kini tidak menjejaskan hubungannya dengan AS dan negara-negara Barat.
Kalin menjelaskan bahawa negaranya melihat operasi ketenteraan Rusia sebagai pencerobohan dan menyatakannya dengan jelas dan tidak berbelah bahagi namun beliau menegaskan bahawa Turkiye menyatakan kepada Ukraine dan Rusia bahawa semakin lama kedua-dua negara berperang, kosnya akan menjadi lebih tinggi.
"Terus terang, tidak ada negara lain yang berusaha untuk menyatukan kedua-dua pihak. Ia akan menjadi contoh bahawa kerjasama boleh dibuat dalam isu-isu tertentu walaupun dalam persekitaran perang,” kata Kalin dalam temu bual itu.
Beliau menekankan peranan yang dimainkan oleh Ankara dalam rundingan bagi menyelesaikan isu-isu penting global seperti bekalan bijirin dari wilayah yang dilanda konflik.
"Siapa yang akhirnya akan bercakap dengan Rusia jika semua orang membakar jambatan itu?” Soalnya.
Pada awal bulan ini, Ukraine telah bersetuju untuk menjual bijirin kepada Turki pada diskaun 25 peratus, menurut Menteri Pertanian dan Perhutanan Turkiye, Vahit Kirişci.
Namun, sehari kemudian ketika ditanya sama ada sebarang perjanjian telah dicapai untuk menjual bijirin kepada Turkiye atau negara Timur Tengah, jurucakap Moscow, Dmitry Peskov dilaporkan berkata: "Setakat ini tiada persetujuan dicapai."
Bagaimanapun, Ankara telah menyelaras rapat dengan Moscow dan Kiev untuk mencapai persetujuan bagi menyambung semula penghantaran produk pertanian Ukraine dari Odessa iaitu sebuah pelabuhan Laut Hitam utama negara itu.
Kalin mengakui bahawa dia tidak dapat meramalkan bila pasukan tentera Rusia akan meninggalkan Ukraine tetapi menegaskan bahawa perang mempunyai kesan jangka pendek, sederhana dan jangka panjang.
"Ramalan saya ialah kita akan sibuk dengan peperangan dan kesannya adalah untuk 10 tahun akan datang. Perang mungkin berakhir, tetapi kesannya akan berterusan dengan cara yang berbeza,” kata Kalin dalam temu bual itu.
Tindakan Turkiye tidak mahu melaksanakan sekatan ekonomi itu adalah bermotifkan kepentingan tanah airnya kerana ketika ini negara-negara Barat termasuk AS mengalami masalah harga barang yang melonjak setelah mengenakan sekatan ke atas Rusia. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca