SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, mungkin dipecat atau digantung keahlian UMNO susulan pendedahan berhubung peranan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam mengumpul akuan bersumpah (SD)... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, mungkin dipecat atau digantung keahlian UMNO susulan pendedahan berhubung peranan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam mengumpul akuan bersumpah (SD) Ahli Parlimen bagi menyokong usaha menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Bekas Timbalan Ketua UMNO Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, beliau percaya Tajuddin bakal dikenakan tindakan tegas oleh parti dan akan menerima nasib sama sepertinya susulan mengeluarkan kenyataan memburukkan kepimpinan Presiden UMNO.

Bagaimanapun, Tun Faisal berkata, sepatutnya apabila ada pendedahan seperti dibuat oleh Tajuddin itu, maka Presiden UMNO mestilah segera tampil memberikan penjelasan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan ahli parti, sama ada apa yang didakwa oleh Duta Malaysia ke Indonesia berkenaan betul atau tidak.

"Kalau dulu Tan Sri Annuar Musa (Ahli Parlimen Ketereh) mendedahkan mengenai kewujudan surat sokongan kepada Anwar yang ditandatangani oleh Presiden UMNO, semua orang tidak percaya biarpun pada ketika itu, sebagai Setiausaha Agung UMNO beliau sudah pasti mempunyai integriti dan terlibat dalam pengurusan parti.

TUN FAISAL

"Jadi sekarang ini, Tajuddin bercakap mengenai perkara sama dan lebih mendalam daripada apa didedahkan oleh Annuar sebut. Ahli Parlimen Pasir Salak berkenaan adalah seorang sumber mempunyai kredibiliti kerana bukan hanya terbabit dalam mengatur pertemuan dan rancangan itu, malah beliau menjadi antara Ahli Parlimen UMNO yang menandatangani SD bagi menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri.

"Justeru, apa yang sepatutnya MKT dan UMNO buat sekarang adalah meminta penjelasan daripada presiden parti sama ada betul atau tidak apa yang didedahkan oleh Tajuddin semalam," katanya kepada wartawan Sinar Premium.

Terdahulu, Tajuddin yang juga bekas Ahli MKT UMNO, mengesahkan memang wujud SD daripada ahli Parlimen UMNO untuk menyokong Ahli Parlimen Port Dickson menjadi Perdana Menteri.

Malah, Duta Besar Malaysia ke Indonesia itu mendedahkan bahawa dia adalah saksi hidup yang turut menandatangani SD itu meskipun yang pada awalnya menolak cadangan pucuk pimpinan parti berkenaan.

"Jajaran baru... saya saksi hidup, tak usah nafi memang ada SD ditandatangan hendak sokong Anwar jadi perdana menteri dan surat ditulis pada istana memang ada.

"Saya juga digesa, saya cakap saya tak nak. Tetapi akhirnya sampai nak bermasam muka, saya akhirnya tandatangan. Saya yang tandatangan, macam mana (Zahid) kata tak ada," katanya dalam sidang media di Petaling Jaya pada Isnin.

Tajuddin ketika mengadakan sidang akhbar khas pada Isnin mengenai pemecatan jawatannya sebagai ahli MKT UMNO baru-baru ini.

DASAR NO ANWAR

Berikutan itu, Tun Faisal berkata, jika betul pendedahan dibuat Tajuddin maka ia menunjukkan jelas bahawa Presiden sudah melanggar dasar dan keputusan dibuat MKT dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU), sebelum ini bahawa parti itu tidak akan menjalinkan sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), PKR mahu pun Anwar sendiri atau 'No PH, No Bersatu dan No Anwar'.

"Sekarang bukan soal UMNO perlu ambil tindakan kepada Tajuddin kerana dedahkan rahsia parti tetapi jika Presiden sekali pun melanggar keputusan mesyuarat MKT, PAU dan dasar maka dia perlu dikenakan tindakan tegas bukannya meletakkan jawatan sekarang, malah dipecat daripada UMNO.

"Sebelum ini, tujuan utama kita (Annuar dan Tun Faisal) mendedahkan bahawa Presiden menandatangani SD menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri adalah kerana tidak mahu UMNO menjadi mangsa selepas ia didapati benar dan diakui sendiri oleh Tajuddin," katanya.

Untuk rekod, sebelum ini media melaporkan Tun Faisal yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Komunikasi dan Multi Media digantung keahlian selama enam tahun mulai Mac 2021 susulan tindakannya membuat kenyataan terbuka menentang Ahmad Zahid.

Klik di sini untuk terus membaca