SHAH ALAM - Pendedahan dibuat oleh Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, tidak akan memberikan tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, supaya segera membubarkan Parlimen untuk membolehkan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pendedahan dibuat oleh Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, tidak akan memberikan tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, supaya segera membubarkan Parlimen untuk membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan lebih cepat daripada sepatutnya.

Bagaimanapun, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Dr Azmi Hassan berpandangan impak negatif pendedahan Tajuddin berkenaan akan sampai kepada Ismail Sabri kerana hubungan mereka yang dikatakan amat rapat terutama selepas pelantikan Ahli Parlimen Pasir Salak itu selaku Duta Besar Malaysia ke Indonesia, baru-baru ini.

Azmi juga melihat, kumpulan pro Presiden UMNO tidak akan menarik sokongan terhadap Ismail Sabri dalam masa terdekat susulan pendedahan Tajuddin kerana ia bukan sesuatu strategik politik yang baik buat masa ini.

"Jika UMNO menarik sokongan terhadap Ismail Sabri kerana pendedahan Tajuddin itu bukan sebab kuat dan memberi impak negatif kepada parti itu sendiri jika mereka berbuat demikian.

"Impak pendedahan Tajuddin itu amat UMNO adalah amat minimum jadi mereka tidak perlulah mengambil tindakan drastik sampai menarik sokongan kepada kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Ismail Sabri, dalam masa terdekat," katanya kepada wartawan Sinar Premium.

Terdahulu, Tajuddin yang juga bekas Ahli MKT UMNO, mengesahkan memang wujud SD daripada ahli Parlimen UMNO untuk menyokong Ahli Parlimen Port Dickson menjadi Perdana Menteri.

Malah, bakal Duta Besar Malaysia ke Indonesia itu mendedahkan bahawa dia adalah saksi hidup yang turut menandatangani SD itu meskipun yang pada awalnya menolak cadangan pucuk pimpinan parti berkenaan.

Tajuddin mengadakan sidang media khas hari ini mengenai pemecatan jawatannya sebagai ahli MKT UMNO baru-baru ini.

IMPAK NEGATIF KEPADA TAJUDDIN SENDIRI

Mengulas lanjut, Azmi berkata, kesan pendedahan dibuat oleh Tajuddin berkenaan adalah minimum kepada Ahmad Zahid dan UMNO kerana apa diperkatakan oleh Ahli Parlimen Pasir Salak berkenaan bukan lagi satu rahsia sulit tetapi sudah diketahui umum.

Sebaliknya Azmi berkata, beliau melihat impak negatif paling besar adalah kepada Tajuddin sendiri kerana Ahli Parlimen Pasir Salak berkenaan adalah bakal Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

"Sebagai seorang diplomat Tajuddin tidak sepatutnya membuat pendedahan mengenai rahsia dan keburukkan kepemimpinan partinya sendiri kepada umum kerana ia akan menjejaskan reputasi dan kredibilitinya sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

"Jadi saya melihat impak negatif pendedahan dibuat Tajuddin itu lebih kuat kepada dirinya sendiri berbanding Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO," katanya.

Berikutan itu, Azmi menjelaskan pendedahan Tajuddin itu memberikan impak negatif kepada kumpulan yang mahu Ahmad Zahid berundur daripada UMNO sebelum ini termasuklah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ismail Sabri sendiri.

"Seperti kita tahu memang ramai pemimpin UMNO mendesak Zahid Hamidi berundur susulan kes mahkamah dihadapinya sekarang. Jadi tindakan Tajuddin itu bukan memberikan impak positif sebaliknya negatif kerana stigma negatif Tajuddin sendiri.

"Apabila orang luar dan ahli UMNO mendengar pendedahan Tajuddin pada Isnin mereka berasa sinis kerana peristiwa berlaku semasa Ahli Parlimen Pasir Salak berkenaan menjadi Pengerusi Prasarana Negara Berhad di mana beliau sudah mengeluarkan kenyataan tidak sepatutnya," katanya.

Dalam pada itu, Azmi menegaskan, UMNO tidak perlu memecat Tajuddin kerana beliau sudah tidak mempunyai jawatan dan pengaruh dalam parti.

Malah, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh tidak perlu menjawab dakwaan Tajuddin kerana akan ada orang lain menjawab bagi pihaknya.

Klik di sini untuk terus membaca