SHAH ALAM - Penceraian yang berlaku dalam perkahwinan akan mengundang pelbagai masalah termasuk merosakkan emosi anak-anak.
Pakar Motivasi Pelajar dan Ibu Bapa, Fauziah Sirat berkata, keadaan itu akan menyebabkan anak-anak terutama yang sudah remaja terlibat dalam pelbagai masalah sosial.
Malah, beliau berkata, remaja tersebut yang tertekan dengan penceraian ibu bapa juga berisiko untuk mencederakan diri sendiri sehingga sampai ke tahap cubaan membunuh diri.
"Anak-anak ini sebenarnya sudah bertarung dengan emosi sekian lama seperti contoh ketika melihat pergaduhan antara ibu dan bapa sebelum penceraian itu berlaku lagi. Ia sekali gus menyebabkan anak berada dalam keadaan 'toksik' dan menyakitkan emosi mereka.
"Apabila ibu bapa telah sah bercerai, ia terus menjadi trauma yang besar kepada anak. Berdasarkan pengalaman saya, ada anak-anak yang saya santuni menyimpan rasa tidak percaya diri, tidak disayangi dan tidak mahu hidup lagi sebab tidak ada yang mahu mendengar keluh kesah mereka.
"Ada yang memilih untuk kelar diri dan sebagainya. Kes terbaharu yang saya santuni ini, anak itu mengambil panadol secara berlebihan dengan harapan untuk tidak lagi berhadapan dengan situasi yang memberi tekanan kepada mereka itu," katanya dalam Wacana Sinar Harian Edisi ke-354 bertajuk Dipenjara Kerana Anak pada Selasa.
Menurutnya, ibu bapa perlu mengutamakan hak anak dan perlu mempunyai ilmu sebelum bercerai agar anak tidak perlu menanggung derita selain mempengaruhi gaya hidup mereka pada masa akan datang.
Beliau berkata, pihak berwajib juga mungkin boleh memainkan peranan untuk memastikan ibu bapa mengutamakan hak anak sekali gus memastikan mereka dapat membesar dengan baik.
"Tentunya menjadi satu kewajipan pihak berwajib untuk memastikan anak itu berada dalam satu persekitaran yang kondusif dan menyokong tumbesarannya.
"Ia bukan sahaja secara mental, tetapi secara fizikal dan emosi. Sangat penting untuk anak-anak yang berhadapan dengan penceraian ibu bapa untuk disanjungi dan memastikan mereka tahu ada orang yang sayang kepada mereka. Jika tidak, anak-anak itu akan hilang pedoman," katanya.