FILEM Mat Kilau kini menjadi salah sebuah topik yang tular. Ia bakal mengatasi kutipan tertinggi filem Malaysia yang disandang filem Munafik 2 sebanyak RM37.74 juta. Awal-awal lagi sebelum mula ditayangkan pada 23 Jun, pasukan pemasaran... Klik di sini untuk terus membaca

FILEM Mat Kilau kini menjadi salah sebuah topik yang tular. Ia bakal mengatasi kutipan tertinggi filem Malaysia yang disandang filem Munafik 2 sebanyak RM37.74 juta.

Awal-awal lagi sebelum mula ditayangkan pada 23 Jun, pasukan pemasaran Kembara Studios telah merangka pelan promosinya dengan tersusun. Sehingga catatan ini ditulis, promosi mereka di YouTube sahaja sudah melebihi 1.2 juta tontonan.

Hebahan melalui laman-laman sosial telah menangkap minat golongan penggemar filem yang matang atau sukakan filem-filem lebih serius. Trailer promosinya sahaja sudah cukup mengundang ramai khususnya YouTubers perfileman untuk mengulasnya, termasuk melalui pendekatan reaction videos.

Pure Pixels, F8Buzz dan Mawi World adalah di antara saluran YouTube yang terkenal dengan ulasan-ulasan mereka khususnya mengenai hiburan termasuk perfileman. Portal-portal berita seperti MeleTOP dan KiniTV serta dua orang ustaz selebriti iaitu Ustaz Badli Shah dan Ustaz Elyas Ismail turut mengulasnya.

Tidak lupa, ramai para pelakon sendiri yang mempromosikan filem ini di laman sosial masing-masing. Barangkali kita mula perasan pengulas-pengulas dari tanah seberang seperti Cak Lonjong, Endhy JR dan Cak Mojib turut tumpang sekaki memberi ulasan. Dan, Tayangan Perdana filem yang dihadiri para pengkarya perfileman, para pelakon dan petugas media membuka tirai merungkai apa yang ada dinanti-nantikan.

Kesannya, cerita mengenai filem Mat Kilau menjadi tular bila dihebahkan oleh mereka yang menjadi influencer media sosial. Ia mengundang ramai untuk tertanya-tanya mengenai filem ini. Ramai golongan warga emas yang dipimpin anak-anak turun ke panggung untuk menonton.

Sebilangan besar kaki wayang sudah terlupa dengan pawagam akibat Covid-19 dan juga dengan adanya Netflix, Viu dan Astro mula belajar menempah tiket dan membeli jagung bertih secara online kerana itulah SOP terkini.

Apakah Mat Kilau menjadi mangkin mengembalikan hobi menonton filem yang akan memulihkan industri perfileman Malaysia?

Filem ini dikategorikan sebagai PG13. Satu keluarga boleh pergi menonton. Apa impaknya? Kanak-kanak akan terdedah dengan seni silat yang menjadi warisan bangsa. ‘Oh rupa-rupanya kita juga ada seni mempertahankan diri sehebat karate dan tekwando.’ Mungkin itulah kata mereka yang tidak pandang sebelah mata terhadap seni mempertahankan diri ini.

PENANGAN MATKILAUCHALLENGE

Jika hendak lihat filem ini menjadi tular kerana hype atau over-rated, ia terjadi secara semula jadi apabila golongan muda terkejut dengan visual yang disampaikan. Sekejap sahaja ia melarat dan tular di TikTok dengan MatKilauChallenge di mana masing-masing menunjukkan aksi silat walaupun dengan cara yang canggung tetapi menghiburkan.

Bagi orang Melayu, filem Mat Kilau telah menghidupkan kembali ‘DNA Melayu’ yang sudah lama terbenam di ceruk hati. Meskipun dialog-dialog di dalam filem ini ada kalanya bagai berkhutbah mengenai penyatuan Melayu, tidak mengapa. Sebabnya, pemimpin politik kita tidak boleh diharap bercakap mengenainya lagi. Tiada rotan, akar pun berguna.

Andainya orang filem terpaksa mengambil peranan meniupkan semangat bangsa, biarlah. Siapa yang boleh menafikan bahawa di dalam dada mereka juga tertanam semangat kemelayuan? Mungkin inilah satu-satunya filem yang mereka bukan sekadar melakonkan watak, tetapi meresapkan sekali jiwa watak itu ke dalam diri.

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) sebagai NGO yang cukup kuat menyokong filem ini harus dipuji kerana berjaya menggunakan medium filem untuk menyampaikan mesej mengenai penyatuan Melayu yang sudah dianggap tidak penting. Ia menepati kata-kata Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai tetamu khas Tayangan Perdana.

Menurutnya, filem ini menjadikan ‘kemelayuan yang ada, luluh’ begitu tepat sekali. Filem Mat Kilau telah mencairkan otak dan hati yang beku untuk melancarkan aliran semangat Melayu yang kian pudar.

Dahulu, semangat Melayu ditiup melalui pentas bangsawan, kini ia dihembus melalui filem. Barangkali Perdana Menteri boleh singgah menonton filem ini untuk menghidu denyut rasa orang Melayu pada hari ini.

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca