BEBERAPA laporan media menyebut Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 pada awal Jun lepas telah berjaya menarik lebih 1.3 juta pengunjung, melebihi jumlah satu juta yang disasarkan penganjur.
Angka itu mendepankan kita dengan dua soalan; apakah ia petunjuk bahawa industri buku di negara ini telah kembali pulih, dan adakah ini bermakna minat membaca buku dalam kalangan rakyat negara ini telah berputik semula?
Saya gunakan istilah berputik kerana umum berpandangan minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia agak rendah. Tidak sesuai untuk dikatakan ia berkembang subur seperti di India, yang kadar membaca rakyatnya dalam seminggu adalah 10 jam 42 minit, menjadikannya tertinggi di dunia. Malah Amerika Syarikat (5:42) yang berada di tempat ke-22 pun kita masih jauh.
Dua soalan di atas berbangkit kerana industri buku di negara ini dikatakan berkeadaan tenat. Satu demi satu syarikat penerbitan ditutup. Yang bertahan pula ibarat penghidap penyakit tiga serangkai yang kronik. Ada yang telah dipotong kaki, tidak kurang juga dibedah injap. Kedai-kedai buku pun begitu. Ada yang telah bertukar menjadi kedai menjual bedak sejuk dan alat-alat solek timbang kilo.
Semua itu dikatakan berpunca daripada perkembangan dunia baharu. Kemajuan telekomunikasi dan perubahan gaya hidup yang dibawa olehnya menyebabkan orang kita yang sememangnya tidak begitu berminat membaca ini semakin menjauhi buku – dan bahan penerbitan konvensional lain.
Ada pendapat mengatakan era kegemilangan penerbitan buku di Malaysia adalah pada tahun 1980-an. Ketika itu syarikat penerbitan tumbuh dengan galaknya. Jumlah buku yang diterbitkan juga cukup banyak. Sebahagiannya diulang cetak berkali-kali. Ada judul yang jualannya ratusan ribu naskhah.
Tetapi dunia baharu mengubah suasana terang-benderang itu menjadi suram. Kata seorang penerbit kepada saya kira-kira 10 tahun lepas, "Sekarang ini jual tokek lebih mudah daripada jual buku.”
Fenomena itu terjadi di seluruh dunia. Selepas JK Rowling dan Harry Potternya, tidak terdengar lagi cerita buku terjual ratusan juta naskhah. Jadi sekali pandang memang benarlah industri buku sedang tenat.
HURUNG APA SAHAJA
Disebabkan itu kalangan yang skeptikal tidak teruja sangat dengan kebanjiran pengunjung di PBAKL 2022. Kata mereka, selepas dua tahun ‘dikurung’ oleh Covid-19, keghairahan untuk lepas bebas akan mendorong manusia menghurung apa sahaja. Masing-masing mahu melepaskan geram.
Tetapi saya positif. Saya yakin kehadiran itu memberi petunjuk bahawa industri buku sebenarnya kekal segar. Analisis pasaran oleh Grand View Research Inc menunjukkan saiz pasaran buku global pada tahun 2021 ialah AS$138.35 bilion (RM594.9 bilion) dan dijangka meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan 1.9 peratus mulai tahun 2022 ke 2030.
Soalannya, jika saiz pasarannya begitu besar dan pertumbuhan positif berlaku, kenapa banyak syarikat penerbitan dan kedai buku gulung tikar?
Jawapannya sekali lagi terletak pada perubahan gaya hidup. Penutupan syarikat-syarikat itu tidak bermakna dunia penerbitan buku mendekati liang lahad. Sebabnya, pemain-pemain besar ini diganti oleh pemain-pemain kecil yang muncul hampir setiap hari. Kemajuan teknologi membolehkan ramai penulis menerbitkan buku sendiri. Mereka juga mempunyai pelbagai kaedah untuk memasarkannya tanpa perlu bergantung pada kedai buku.
Dunia buku juga sekarang ini tidak lagi terbatas pada buku-buku konvensional. Kemunculan buku elektronik, buku digital dan buku audio sebagai contoh, bukanlah ancaman kepada industri buku kerana naskhah-naskhah itu sendiri adalah buku, hanya sifatnya sahaja berbeza daripada buku biasa.
Pada masa yang sama, penggemar buku-buku konvensional tetap ada. Kajian menunjukkan segmen buku hard copy masih menguasai 78.7 peratus pasaran buku bagi tahun 2021. Naskhah bercetak mempunyai tarikannya sendiri. Ia lebih menarik, lebih mudah disemak dan lebih sedap dibaca berbanding dengan menghadap skrin. Sifatnya lebih kalis perubahan berbanding teks digital yang boleh disunting.
Yang lebih penting, ia boleh disusun di rak supaya kita boleh berdiri untuk bergambar di depannya, sekali gus menampakkan kita macam orang pandai. #dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik. Mulai tahun 2022 menulis mengenai pengurusan perubahan.
Klik di sini untuk terus membaca